15 November 2006

MAJLIS RESTU SPM 2006

Sehari menjelangnya peperiksaan SPM semua pelajar Tingkatan 5 berkumpul di dewan untuk mendengar amanat dan memohon restu dari pengetua dan semua guru. Penolong Kanan HEM sempat menyampaikan pesan supaya menjaga kesihatan, jaga makan minum supaya tidak tertidur di dalam dewan peperiksaan. Penolong Kanan Akademik juga memainkan peranannya menyuntik kata-kata semangat untuk para pelajar. Akhirnya pengetua berpesan supaya bersedia menghadapi perjuangan yang maha besar ini walaupun dilanda seribu masalah seperti banjir.Maklumlah peperiksaan ini muncul seangkatan dengan musim tengkujuh.

Pada akhir majlis, semua pelajar bersalaman dengan guru sebagai memohon restu untuk menghadapi peperiksaan dan memohon maaf atas segala kesilapan. Pelajar perempuan ramai yang menitiskan air mata sambil memeluk cikgu-cikgunya. Tak kurang juga guru-guru perempuan pun sama ‘chengengnya’. Pelajar-pelajar dan guru lelaki bertindak ‘macho’. Namun ramai yang mengintai dan mengejek dari jauh. Sambil berpelukan ada yang membisikkan “cikgu, saya nak dapat A”. Kalaulah cikgu ada power semua A cikgu akan bagi pada pelajar-pelajar ini. Apa pun “pelajar berjaya , cikgu gembira, sekolah dapat nama”.
Penulis Jemputan : Cikgu Syasya

13 November 2006

Ustaz Che Ali sedang menyampaikan hadiah kepada pelajar SRABAK

MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH SRABAK 2006

Sekolah Rendah Agama Bersepadu Al-Falah, Kemaman (SRABAK) telah mengadakan Hari Penyampaian Hadiah 2006 bertempat di bangunan bersejarah Al-Falah, iaitu Bangunan Asrama Lama.

Majlis ini diserikan dengan bacaan sajak, nasyid, hafazan dan juga syarahan Bahasa Arab oleh pelajar-pelajar SRABAK.

Walaupun bilangan pelajar tidak ramai, namun majlis ini berjalan lancar dan meriah sekali. Kehadiran Pengetua, Ustaz Che Ali Che Mat menambahkan lagi seri majlis yang diadakan bagi menghargai pelajar-pelajar yang memegang jawatan penting seperti Ketua Pengawas, Pelajar Contoh, Pelajar Berakhlak Mulia, Olahragawan dan Olahragawati, Pelajar Berkehadiran Penuh, Ketua Kelas, Pelajar Cemerlang dan pelajar terbaik.

Tuan Pengetua berpuashati dengan perjalanan majlis dan kerjasama semua guru dan Guru Kanan SRABAK kerana berjaya mengadakan majlis yang sepatutnya juga diadakan di peringkat sekolah menengah.

Ehem : Guru Kanan SRABAK gemar makan nasi air dan ayam masak kicap.
Ustaz Che Ali merasmikan Teratak Ilmu SRABAK.

PERASMIAN TERATAK ILMU SRABAK

Pengetua selaku Pengerusi Sek. Ren. Agama Bersepadu Al-Falah, Kemaman(SRABAK), Ustaz Che Ali bin Che Mat telah merasmikan Teratak Ilmu yang terletak di belakang bangunan SRABAK pada 9 November 2006. Teratak yang menelan belanja RM10,000 dibina untuk dijadikan tempat perhimpunan, pondok bacaan dan rehat selain tempat untuk aktiviti ko-kurikulum.

Menurut Guru Kanan SRABAK, YM Tengku Zulkeplee Abdullah, Teratak Ilmu ini menjadi lambang kesungguhan dan keprihatinan pihak pengurusan untuk menyediakan tempat pelbagai guna untuk kegunaan SRABAK dan juga sekolah menengah.

Ehem : Guru Kanan SRAB paling tersohor, tak dok orang lain doh!

PENENDER KANTIN 2007-2009

Ramai yang tertanya=tanya, siapakah yang akan menjadi pengusaha kantin sekolah pada tahun depan? Mungkinkah penender baru atau penender lama masih kekal untuk tahun 2007?

Setelah 4 tahun, kantin sekolah kita diusahakan oleh Mohamed Bin Razak, maka pada tahun ini pihak sekolah telah membuka tender baru. Pada minggu lepas,pihak jabatan yang diwakili oleh Encik Azali Abdullah telah datang untuk membuka tender baru.

Siapa yang berjaya?

Penender kantin sekolah kita pada tahun depan, ialah Encik Mohamed bin Abdul Razak, penender yang sedia ada. Beliau telah berjaya untuk memajak kantin sekolah mulai tahun 2007 hingga 31 Disember 2008.

Mahu tidak mahu, itulah keputusannya.

Ehem : Suka makan kepok celup tepung.
KELAS PREMIER AL-FALAH 2007

Seramai 60 pelajar Tingkatan 1 pada tahun depan akan ditawarkan tempat untuk Kelas Premier. Calon-calon yang layak untuk ditempatkan ke Kelas Premier mestilah sekurang-kurangnya mendapat 4A 1B dalam UPSR yang akan diumumkan pada hari Khamis ini (16 November 2006).

Pelajar Premier akan mendapat keistimewaan yang sama seperti pelajar-pelajar lain di Sekolah Premier dari segi bantuan, couseware, komputer, guru-guru yang terpilih dan lain-lain.

Syarat pengambilan pelajar tingkatan 1 pada tahun 2007, mestilah mendapat sekurang-kurangnya 20 unit, dan sebarang surat rayuan atau surat sokongan tidak akan diberi pertimbangan. Ini kehendak kerajaan negeri. Setiap kelas pula, maksimum ialah 30 pelajar sahaja dan tidak boleh lebih daripada itu.

Mengenai pengambilan pelajar SRAB ke tingkatan 1 pula, Dato' Dr. Abdul Latif Awang dipetik sebagai berkata, mereka tidak akan diserap secara automatik malah akan diberikan penilaian yang sama rata seperti pelajar-pelajar lain. Dalam kata lain, tidak akan diberikan keistimewaan. Walau bagaimanapun, perkara ini masih dalam perbincangan.

Dianggarkan pada tahun 2007, seramai 1395 pelajar tingkatan 1 akan belajar di sekolah menengah agama negeri dalam 49 buah kelas.

Ehem : Nak mintak bas, nak tuntut janji YB. Dato' Dr. Abdul Latif bin Awang.
NAK KEKAL SEBAGAI GURU KERAJAAN NEGERI ATAU?

MOU (Memorandum Persefahaman) antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan Kementerian Pelajaran Malaysia sudahpun menjadi kenyataan. MOU sudahpun ditandatangani, dan semalam Pengetua bersama Penolong Kanan Akademik dijemput untuk diberi penerangan oleh EXCO Dato' Dr. Abdul Latiff Awang. Sah! Kita semua akan diberi pilihan sama ada untuk kekal sebagai guru Kerajaan Negeri atau memilih untuk berada di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia. Mana satu pilihan hati!

Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) juga dikhabarkan tidak akan digugurkan malah akan mendapat tawaran istimewa. Satu majlis penerangan akan diadakan untuk semua guru kerajaan negeri berhubung MOU ini.

Ehem : Nak jadi mubaligh je kalau boleh!
Tertidur kepenatan melayan tetamu di rumah terbuka!


MEOW-MEOW KUCING

Dua tiga kucing berlari,
manakah sama sikucing belang;
dua tiga boleh kucari,
manakan sama cik adik seorang.

Begitulah indahnya pantun melayu yang dicipta oleh orang dulu-dulu, masih relevan sehingga ke hari ini.Biasanya yang menggemari kucing ialah kaum wanita, maka tidak hairanlah ramai yang membela kucing.

Menyebut pasal kucing, masih terbau-bau aroma tahi kucing di bilik guru perempuan 1, entah kucing jantan ataupun kucing betina, tidak pula dapat dipastikan jantinanya. Yang kita tahu, bilik guru perempuan disemerbakkan dengan bau-bauan tahi kucing sehari dua ini. Mungkin terdapat lubang atau tingkap yang tidak tertutup, maka si kucing belang ini masuk untuk mengadakan 'rumah terbuka' agaknya.

Hari ini, bilik guru perempuan 1 sudah pulih daripada bau-bauan yang menyesakkan, dan kini bau-bauan minyak wangi dan minyak atar pula yang menebarkan harumannya. Segar seperti berada di pinggir hutan!

Ehem : Suka bela kucing Mongolia yang berbulu lebat.
MASIH PANAS DI SANA SINI
Setelah mengetahui potfolio masing-masing dalam jawatankuasa 2007, ada yang tersenyum puas dan tidak kurang juga yang tersenyum pahit-pahit masam. Yang penting tugas dan tanggungjawab yang digalas adalah untuk kepentingan sekolah dan pelajar. Bukan mudah untuk kita menerima semua tugas yang diberikan secara bulat-bulat, sedikit sebanyak sudah tentu ada yang tidak dapat memuaskan hati semua guru. Tidak dinafikan terdapat tugas yang agak 'janggal' yang diberikan kepada seseorang, tetapi itu tidak bermakna tidak boleh dibawa berbincang walaupun di luar mesyuarat.

Ada juga terdengar, jawatan yang diberikan kepada Ustazah TS tidak begitu sesuai, ada jugak yang sanggup datang secara berdepan untuk menyuarakan hasrat seperti Cikgu WF, Ustazah K dan lain-lain. Sudah menjadi adat, rumah siap pahat berbunyi. Ada juga baiknya, rumah siap masih ada pahat yang berbunyi, itu menandakan tuan rumah masih mahukan yang terbaik untuk rumahnya, untuk keluarganya berlindung. Mungkin ada kewajarannya pendapat mereka, tetapi tidak semestinya pendapat itu diterima jika alasan yang diberikan tidak begitu munasabah atau munasarawak.

Perubahan jawatankuasa yang dilakukan adalah untuk kebaikan dan kepentingan semua. Jika ada sesuatu yang hendak diberitahu, pihak pentadbiran sentiasa menjalankan dasar pintu terbuka, datanglah berjumpa, berbincang, tidak ada yang tidak boleh diselesaikan. Berbincang seperti sebuah keluarga.

Ehem : Harap-harap tidak kekejarkan ke wad kecemasan.

08 November 2006

Sedang khusyuk mendengar kata-kata Pengetua

MESYUARAT GURU
Seperti surat panggilan mesyuarat yang diedarkan, maka tibalah hari yang ditunggu-tunggu oleh semua guru untuk mengetahui rombakan kabinet 2007. Masing-masing dihujani dengan tanda tanya yang bukan sedikit, tak kurang juga yang berdebar-debar. Yang pasti, Setiausaha Projek PMR disandang oleh Cikgu Wan Fauziah Wan Agil, manakala Setiausaha Projek SPM dipikul oleh Cikgu Syarifah Sakinah. Ustazah Tuan Safauwiah pula menjawat Setiausaha Keceriaan, dan Cikgu Mazidah Long diberi tanggungjawab mengepalai Unit Bimbingan Kaunseling memandangkan beliau mempunyai kelulusan Kaunseling.

Cikgu Norazlina Mohd Nor pula akan mengambilalih jawatan sebagai Setiausaha Rawatan dan Kesihatan Pelajar daripada Ustazah Amira. Ustazah Hamidah pula akan beralih angin ke Jawatankuasa Surau, Kerohanian dan Dakwah manakala Cikgu Rabi'ah pula akan memimpin Jawatankuasa Perayaan.

Cikgu Sulha pula akan menjawat Jawatan Penolong Setiausaha Sukan manakala Ustazah Amira akan memberi sentuhannya sebagai Setiausaha Khitobah. Cikgu Zorita akan mengepalai Jawatankuasa Kebersihan.

Cikgu Zahian dipilih untuk menjawat jawatan Setiausaha Badan Pengawas, manakala Lembaga Tatatertib Sekolah masih dipegang oleh Cikgu Zakaria.

Cikgu Marina dipilih menggantikan Cikgu Suziyna Mas Ayu sebagai Setiausaha Mesyuarat.

07 November 2006

AL-FATIHAH
Bapa mertua kepada Ustaz Wan Mansor Wan Jusoh telah kembali ke rahmatullah pada pagi tadi. Allahyarham menghempuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga di Hospital Ampuan Afzan, Kuantan. Jenazah akan dibawa pulang ke Mak Chili pada tengahari ini dan semua warga Al-Falah bolehlah menziarah.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama-sama dengan orang-orang yang soleh. Alfatihah
SUDAH GARU GATAL PULA
Menurut Tuan Pengetua, semasa pembentangan esok, sebarang bantahan dan tidak puas hati guru-guru tidak akan dilayan. Semuanya muktamad! Banyak perkara pelik dan luar jangkaan akan berlaku dalam pembentangan jawatankuasa, terutama dalam ko-kurikulum. Banyak nama yang tidak dijangka akan menerima jawatan baru.

Khabarnya Setiausaha Badan Beruniform, Setiausaha Persatuan dan Kelab dan juga Sukan akan menerima setiausaha baru, yang semestinya guru perempuan. Ada seorang guru (ustazah senior!) akan memegang jawatan yang boleh dikatakan mencabar dalam ko-kurikulum. Penyelaras ko-kurikulum mempunyai hujah untuk mempertahankan kemahuannya. Adakah ustazah akan menjadi penasihat Kelab Seni Silat?

Seorang guru kementerian akan mendapat jawatan baru dan dikatakan sangat sesuai untuk meletakkan beliau di tempat berkenaan. Beliau telah dibawah berhijrah ke unit baru untuk memberi peluang kepada beliau membuktikan kebolehan dan kemampuan sebenar beliau. Setiausaha kantin sekolah juga dikatakan akan menerima setiausaha baru, beliau seorang yang sangat 'mesra makanan'. Koperasi juga akan menerima orang baru!

Ehem : Nak ajak ke rumah terbuka pada minggu depan! Semua dijemput hadir!

GENDANG GENDUT TALI KECAPI
Setiap tahun, bila ada sahaja berita guru dan kakitangan yang disahkan cemerlang, maka jamuan ala-ala istana akan menjadi kenyataan. Pagi tadi, santapan awal disajikan dengan Nasi Dagang, dan hidangan tengahari pulak disediakan Nasi Goreng Ayam ala SMC. Pihak yang menerima jemputan, baik guru lelaki, guru perempuan, kakitangan, tak terkecuali mereka yang berada di sebelah sana! Semuanya dijemput.

Jamuan Pakej Cemerlang akan lebih meriah dan mengenyangkan jika semua yang menerima Anugerah Khidmat Cemerlang membuat jamuan masing-masing dan bukannnya pakej 6 dalam 1. Maknanya selama 6 hari, kita semua sedia memenuhi jemputan makan-makan. Kalau tiap-tiap haripun, takper, sebab Aiman Tak Kesah!

Seluruh warga sekolah mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada penerima anugerah khidmat cemerlang kerana mengadakan jamuan.

Ehem : Suka makan ayam KFC Jamuan Koperasi Esok!
PANAS! PANAS! PANAS!
Sehari dua ini, khabar angin perubahan jawatankuasa 2007 terus bertiup kencang, dan moderator terus menerima sms dan emel bertanyakan kesahihan perkhabaran blog Alfalah. Yang pasti Cikgu Mustaffa akan menjawat sebagai bos Jawatankuasa Kurikulum Sekolah, Jawatankuasa Setiausaha Kaunseling juga diwarwarkan berlaku perubahan drastik.C

Cikgu Zakaria juga dikhabarkan akan menerima jawatan sebagai Setiausaha Kebersihan dan Keceriaan, Cikgu Wan Fauziah mungkin akan ditukarkan ke Unit Projek Akademik, Ustazah Amira mungkin menjawat sebagai Setiausaha SPBT, Ustazah Fauziah Ismail mungkin akan menerajui Setiausaha Projek SPM. Mungkinkah Jawatan Penyelaras PSS juga akan menerima GSTT sebagai penggantinya? Semuanya tidak mustahil.

Ehem : Tukang lapor je!

05 November 2006

SOTO CIKGU YA MEMANG BEST!
Cikgu Zakaria yang lebih dikenali dengan panggilan Cikgu Ya atau Cikgu Zack telah mengadakan Rumah Terbuka (Open House) pada 5 November 2006 bertempat di Dewan Al-Falah. Sejak dari pagi, guru-guru, kakitangan serta jemputan bertali arus mengunjungi Rumah Terbuka (Dewan terbuka!) dan masing-masing tidak melepaskan peluang untung bersalaman dengan Cikgu Ya.

Hidangan istimewa yang disediakan oleh Cikgu Ya tidak lain dan tidak bukan, makanan paling popular orang Jawa, iaitu soto. Hidangan soto menjadi pilihan utama kerana isteri Cikgu Ya berasal dari Tanjung Karang, Selangor. Faham-faham ajerla.

Rata-rata guru-guru yang ditemui dalam majlis tersebut menyatakan soto Cikgu Ya memang best, power dan layak diberi pujian. Paling istimewa, menurut Cikgu Ya ialah taugeh (Orang Terengganu panggil Camboh!) ditanam sendiri oleh Cikgu Ya dan isterinya serta dibantu oleh anak-anak beliau seramai 3 orang(Mungkin tahun depan bertambah seorang lagi anak!). Taugehnya pendek, kepala besar dan tidak sama seperti taugeh yang dijual di pasar, dan inilah keunikan soto resepi original dari Jawa.

Tidak hairanlah, ramai yang meminta resepi soto Cikgu Ya, nak cuba buat sendiri sempena Rumah Terbuka Aidil Adha di rumah masing-masing.

Seluruh warga Al-Falah mengucapkan terima kasih kerana sudi menjemput semua guru dan kakitangan untuk menikmati keenakan soto Jawa Cikgu Ya.

Nak resepi soto, sila klik di sini

03 November 2006

Pesilat Harapan AlFalah 2007

KEM SILAT OLAHRAGA HARAPAN

Seramai 43 orang pesilat harapan SMA.Alfalah mengadakan Kem Silat Olahraga Harapan di Sekayu selama 3 hari bermula 2 hingga 4 November 2006.

Program ini merupakan penutup kalendar aktiviti ko-kurikulum sekolah pada tahun ini.

Kem ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada seluruh ahli silat yang telah mengambil bahagian dalam Demontrasi Seni Mempertahankan Diri sempena Sambutan Bulan Kemerdekaaan di Daerah Kemaman pada 1 September lalu.


Menurut Guru Penasihat , Cikgu Zakaria, kem ini telah dirancang untuk diadakan pada cuti persekolahan bulan Ogos yang lalu tetapi memandangkan terdapat masalah mendapatkan pengangkutan, program ini ditangguhkan ke satu tarikh yang lebih sesuai.


Cikgu Zakaria juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada YDP PIBG, Dato' Mohamed bin Awang Tera kerana memberikan sumbangan sebanyak RM500 untuk program ini. Beliau juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada Ustaz Mohamed Rani bin Mohamed, Pegawai Bahagian Pendidikan kerana menyediakan pengangkutan untuk membawa rombongan ke Sekayu.


Ehem : Pernah belajar silat dengan Perguruan Langkah Seribu

02 November 2006

ROMBAKAN KABINET 2007
Ramai yang akan bertukar jawatan dalam rombakan terbaru jawatankuasa sekolah untuk tahun 2007. Dalam perjumpaan Pengetua dengan Penolong Kanan Akademik, Penolong Kanan HEM dan Penyelaras Kokurikulum yang berakhir jam 3 petang tadi banyak perubahan yang dilakukan demi memantapkan lagi pengurusan sekolah. Cikgu Syarifah Sakinah, Ustazah Tuan Safauwiah, Ustazah Hamidah, Ustazah Amira, Ustazah Hamidah,Cikgu Azizah,Ustazah Kamariah, Cikgu Mustaffa, Cikgu Wan Fauziah, Cikgu Rusiah dan beberapa orang lagi akan berpindah 'kementerian'.

Terdapat juga beberapa jawatankuasa baru yang diperkenalkan pada tahun depan seperti Jawatankuasa Perayaan Sekolah , Jawatankuasa Surau, Jawatankuasa Tugas Mingguan Guru, Jawatankuasa Majalah Sekolah, dan beberapa jawaatankuasa baru.

Dalam kokurikulum juga banyak perubahan dilakukan, dan banyak muka baru yang akan menduduki jawatankuasa ini untuk memberi peluang yang sama rata kepada semua guru.

Semua jawatankuasa 2007 akan dibentangkan dalam Mesyuarat Guru yang akan diadakan pada 8 November ini, jam 2.30 petang.

Mesyuarat terpaksa diadakan lebih awal untuk memberi peluang kepada semua jawatankuasa mengemukakan takwim masing-masing sebelum dibawa ke mesyuarat penyelarasan di peringkat jabatan yang dijangkakan akan diadakan pada bulan ini juga.

Ehem : Mesyuarat minggu depan dijangka hangat lagi hangit!

01 November 2006

KEM PECUTAN AKHIR SPM DI IMPIANA RESORT

Seramai 100 pelajar dari 3 buah sekolah akan menyertai Kem Pecutan Akhir SPM yang akan diadakan selama 3 hari mulai 2 November hingga 4 November di Impiana Resort, Cerating, Pahang. Menurut Penolong Kanan Akademik SMA. Al-Falah, Cikgu Adnan Hamzah, Sek. Men. Agama Al-Falah yang bertindak sebagai tuan rumah menghantar 40 orang pelajar manakala Sek.Men. Agama Sultan Ismail, Dungun dan Sek. Men. Agama Mahmuddiah, Hulu Terengganu masing-masing menghantar 30 orang pelajar.

Menurut Penyelia Hal Ehwal Murid di Bahagian Pendidikan, Ustaz Mohamad Rani bin Mohamad, semua pelajar akan mula tiba seawal jam 2 petang dan masing-masing akan berseminar selama 3 hari.

Pelajar-pelajar akan mendapat bimbingan daripada fasilitator yang berpengalaman, terdiri daripada guru-guru Matematik, Bahasa Arab, Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris.

Majlis penutup akan disempurnakan oleh Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Pendidikan, Tuan Haji Abdul Aziz bin Abdullah pada 4 November jam 12.30 tengahari di Dewan Kasturi.

Ehem : Ada menawarkan pakej bulan madu untuk warga pendidik

AHLI KELUARGA AL-FALAH YANG BARU

Al-Falah mendapat ahli keluarga baru, Cik Saliza binti Salleh yang mula bertugas sebagai Pembantu Makmal mulai 15 Oktober yang lalu. Saliza yang berasal dari Kijal merasa sangat gembira bertugas di sini kerana mendapat tunjuk ajar dan bimbingan daripada guru-guru dan juga kakitangan.

Teman rapat beliau, Encik Hatta telah ditukarkan ke Makmal 3 yang terletak di hadapan perpustakaan mulai 1 November 2006. Maka tiada lagi akan kedengaran dengkuran syahdu dari bilik makmal yang turut menempatkan Cikgu Mustaffa Mamat.

CERITA IBU DAN ANAK

Cikgu Rodziah Yahya, guru Bahasa Inggeris telah selamat melahirkan anak pada 14 September 2006 yang lalu. Putera ketiga yang dilahirkan seberat 3.5 kg diberi nama Irsyad Nuruddin bin Shamiun. Cikgu Rodziah yang sibuk dengan tugas dengan sebagai guru Bahasa Inggeris dan juga pelajar separuh masa di Maktab Perguruan Batu Rakit tidak dijadikan halangan untuk membawa ahli baru dalam keluarga. Walaupun sibuk, tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu tetap menjadi keutamaan. Kehadiran Irsyad Nuruddin menjadi pengikat kasih sayang dan kebahagiaan kepada Cikgu Rodziah di samping suami yang sentiasa memahami kehendak isteri dan keluarganya.

Cikgu Zorita Sulaiman, guru matematik, juga selamat melahirkan seorang puteri yang diberi nama Qurratu 'Ain binti Ismail pada 8 Ogos 2006.

Seluruh warga sekolah mengucapkan tahniah!

Ehem : Sedang membuat bancian anak-anak yang dilahirkan kembar oleh guru dan kakitangan Al-Falah.