15 August 2007

GAMBAR DI PULAU TIOMAN

Klik gambar ini, anda terus dibawa ke Koleksi Gambar Pulau Tioman !

Gambar-gambar menarik di Pulau Tioman ketika menghadiri Kursus Team Bulding, boleh di klik di sini. Untuk makluman, semua gambar yang dirakam di Pulau Tioman bebas dimiliki oleh sesiapa sahaja, percuma. Saya berusaha dari semasa ke semasa untuk upload semua gambar. Harap bersabar!

06 August 2007

BERITA SEMASA




CANGGIH.....Makmal komputer yang baru dibina


AL-FALAH DAPAT MAKMAL KOMPUTER BARU

Al-Falah mendapat sebuah bangunan Makmal Komputer baru yang bernilai RM300 ribu. Makmal Komputer yang dibina sejak akhir tahun lepas sudah siap untuk digunakan oleh pelajar.

Menurut Pengetua, Ustaz Che Ali bin Che Mat, makmal ini sudah siap sepenuhnya dan diserahkan kepada sekolah pada 24 Julai 2007. Makmal komputer ini boleh menampung seramai 80 orang pelajar pada satu masa, iaitu seorang pelajar satu komputer.

Menurut Ustaz Che Ali lagi, selain makmal komputer, Al-Falah sedang rancak menerima perubahan pembangunan fizikal dengan bajet RM1.5 juta yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri. Antara yang sedang giat dijalankan ialah, membina pejabat pentadbiran, Bilik Pengetua, Bilik Guru Penolong Kanan, Pondok Pengawal Keselamatan,surau, mengecat Dewan Sekolah, bangunan asrama putera dan puteri serta kerja-kerja membina gajah menyusul.

Dijangkakan kerja-kerja pembinaan akan disiapkan sepenuhnya sebelum Bulan Ramadhan ini.







05 August 2007

BERITA SEMASA

WAN NORIAH DAPAT BABY GIRL

Guru IT, Cikgu Wan Noriah Wan Ramli telah selamat melahirkan seorang bayi perempuan di Hospital Pakar Kuantan pada 12 Julai 2007, jam 3.15 petang.Bayi yang diberi nama Najla Arissa dilahirkan seberat 2.99 kg menjadi kebanggaan kepada Cikgu Wan Noriah dan suami.

Warga Al-Falah merakamkan ucapan tahniah kepada Wan Noriah dan suami dengan kehadiran orang baru dalam keluarga. Semoga kehadiran Arissa akan menyerikan lagi rumahtangga Cikgu Wan Noriah.

Ehem: Menanti berita baik dari Rumah Murah Binjai.

BERITA FESYEN

BATIK RASMI AL-FALAH
Pengetua sedang mencuba batik rasmi sekolah

Semua guru dan kakitangan Al-Falah akan mempunyai pakaian rasmi batik sekolah yang diperkenalkan oleh Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan Al-Falah mulai tahun ini.

Corak batiknya menarik dan warna perang menjadi pilihan untuk menjadi pakaian rasmi sekolah dan akan dipakai apabila mempunyai program rasmi sama ada anjuran sekolah mahupun yang dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan.

Pakaian batik yang diperagakan oleh guru lelaki dan perempuan akan menjadi identiti Al-Falah.

BERITA AL-FALAH

AUDIT DALAMAN JHEAT BERKAMPUNG DI AL-FALAH
KIRA BETUL-BETUL...Tuan Hj.Yusof Mustaffa dan Encik Nik Ismail sedang mengaudit akaun

Al-Falah dikunjungi Juruaudit Dalaman Jheat untuk menjalankan kerja-kerja pengauditan akaun sekolah bagi tahun 2007. Sejak awal pagi lagi, Tuan Haji Yusof Mustaffa dan Encik Nik Ismail Mansor memeriksa dan mengaudit akaun sekolah bagi memastikan semua urusan perakaunan dilakukan dengan sempurna dan mematuhi piawaian pengauditan.

Sepanjang berada di Al-Falah, juruaudit memeriksa dan mengaudit akaun sekolah, SUWA, asrama dan semua resit yang berkaitan seperti yuran sekolah,yuran literasi komputer,takaful dan yuran SRAB.

Guru-guru tingkatan juga diminta memastikan semua kutipan yuran sentiasa dikemaskini dan direkodkan di dalam buku Buku Kedatangan Pelajar bagi memastikan semua pelajar membuat bayaran seperti yang ditentukan. Guru dan warden yang berkaitan dengan bayaran juga diminta mengemaskini segala kutipan untuk tujuan pengauditan.

03 August 2007

PETIKAN AKHBAR: UTUSAN MALAYSIA

15 Pelajar MRSM dibuang
JOHOR BAHRU 14 Julai – Seramai 15 pelajar tingkatan tiga di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang, Negeri Sembilan dikenakan tindakan buang sekolah kerana terlibat dalam pergaduhan berkumpulan dengan pelajar junior sekolah tersebut.

Kesemua 15 pelajar terbabit didapati bersalah oleh Lembaga Displin MRSM kerana memukul dan mencederakan 10 pelajar tingkatan dua dalam kejadian pada 17 Jun lalu itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan yang dikenakan itu agak keras namun ia sebagai peringatan kepada pelajar MRSM lain agar tidak terlibat dalam sebarang masalah displin.

“Kami membuat keputusan ini kerana MRSM merupakan pusat untuk melahirkan pelajar cemerlang bukan sahaja dari segi akademik malah merangkumi insaniah.

“Kami tidak dapat berkompromi lagi kerana ini bukan kali pertama berlaku,'' katanya selepas majlis perasmian persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, para pelajar MRSM sepatutnya bersyukur dapat diterima belajar di sekolah tersebut dan bukannya melibatkan diri dalam masalah disiplin yang boleh menjejaskan perjalanan persekolahan.
“Sudahlah tempat di MRSM tidak mencukupi, pelajar-pelajar ini nyata tidak memanfaatkan peluang untuk belajar di MRSM,” katanya.

Tambahnya, pihaknya kini menjalankan kajian menyeluruh di semua 40 MRSM dan berkemungkinan akan mengambil tindakan terhadap pelajar-pelajar bermasalah di sebuah lagi MRSM.

PETIKAN AKHBAR: UTUSAN MALAYSIA

Rayuan ibu bapa 15 pelajar MRSM dibuang tidak dipertimbang
CYBERJAYA 16 Julai – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi tidak akan mempertimbangkan rayuan ibu bapa kepada 15 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Negeri Sembilan yang dibuang sekolah kerana masalah disiplin.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan yang diambil itu adalah sebagai satu teladan dan peringatan kepada semua pelajar di MRSM seluruh negara agar tidak berkelakuan sedemikian.

Malah katanya, hukuman tersebut dibuat selepas pihak pengurusan MRSM membuat pertimbangan yang sewajarnya.
“Kalau kita mahu layan rayuan ibu bapa pelajar berkenaan, saya rasa tidak payahlah kita hukum mana-mana pelajar yang didapati melanggar disiplin.
“Kita bukan mahu lepas tangan tetapi tidak mahu masalah itu berulang kerana ada sebahagian daripada pelajar terbabit bukan kali pertama didapati terlibat dalam kejadian sedemikian,” katanya.

Kesemua 15 pelajar itu terbabit didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin MRSM kerana memukul dan mencederakan 10 pelajar tingkatan dua dalam kejadian pada 17 Jun lalu.
Bagaimanapun, Mohamed Khaled memberitahu, 15 pelajar terbabit masih boleh meneruskan persekolahan mereka di mana-mana sekolah milik Kementerian Pelajaran.
“Mereka masih boleh meneruskan persekolahan seperti biasa tetapi bukan dengan MRSM,” katanya.

PETIKAN AKHBAR: UTUSAN MALAYSIA

Sembilan pelajar perempuan mohon maaf belasah rakan
MUADZAM SHAH 3 Ogos - Sembilan pelajar perempuan Sekolah Menengah Kebangsaan Keratong, Bandar Tun Razak, di sini yang membelasah serta merakam gambar bogel rakan mereka pada Jumaat lepas, memohon maaf di atas tindakan melampau itu hari ini.

Kesemua pelajar tingkatan empat yang ditemani ibu bapa masing-masing dilihat menangis serta menyatakan kekesalan mereka ketika bersalaman dengan mangsa dalam satu pertemuan di sekolah terbabit.

Pengarah Pelajaran Pahang, Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, kes itu berjaya diselesaikan secara penuh harmoni dan kemesraan dengan penglibatan pelbagai pihak termasuk ibu bapa, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru dan pemimpin setempat.

Beliau berkata, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar yang turut prihatin dengan kejadian terbabit turut menghantar pegawai khasnya, Shashim Shah Harun bagi menyelesaikan perkara tersebut.

“Perjumpaan hari ini bertujuan mencapai persetujuan dan berdamai antara pihak terlibat selain mengembalikan keharmonian masyarakat Felda dan mengembalikan suasana pembelajaran di sini,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 16 tahun sedang dalam perjalanan ke rumah rakannya sebelum dihampiri sembilan pelajar perempuan lalu dibawa ke sebuah rumah kosong di Felda Keratong 1, kira-kira 5 petang.

Mangsa kemudian ditumbuk, ditampar dan diterajang sebelum salah seorang daripada mereka bertindak merakam gambar bogelnya menggunakan telefon bimbit dipercayai akibat rasa tidak puas hati.

Ekoran kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan serta lebam di beberapa bahagian badan sebelum keluarganya membuat laporan polis.
Abdul Aziz berkata, kesemua pelajar berkenaan telah diberikan amaran keras dan akan dikenakan tindakan untuk mengikuti kursus jati diri serta sesi kaunseling selama sebulan.
Katanya, kesemua pelajar terbabit juga akan dipantau secara berterusan sehingga pihak sekolah berpuas hati.

“Apa yang dapat dijadikan iktibar daripada kejadian ini ialah penglibatan guru-guru tidak seharusnya berakhir di sekolah sahaja, tetapi perlu mengambil berat apa juga yang berlaku di luar sekolah,” katanya.

Sementara itu, mangsa yang dijadual memulakan pembelajaran di sekolah baru pada Isnin ini setelah memohon bertukar sekolah, namun telah memaafkan kesemua sembilan pelajar terbabit. - Bernama

PETIKAN AKHBAR: BERITA HARIAN

Sektor awam perkenal VSS
SPA diminta kaji skim bagi lepaskan kakitangan kerajaan bermasalah, tak berdisiplin
KUALA TERENGGANU: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, semalam membayangkan kerajaan mungkin memperkenalkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bagi ‘melepaskan’ kakitangan awam yang bermasalah dan tidak berdisiplin.Beliau meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengkaji kemungkinan menggunakan skim yang diamalkan sektor swasta itu supaya kakitangan yang gagal menunjukkan prestasi sepatutnya, meninggalkan perkhidmatan awam.
“Kita perlu wujudkan ‘exit policy” yang jelas kepada anggota bermasalah, tidak berdisiplin mahupun mereka yang tidak menunjukkan prestasi perkhidmatan sepatutnya. Mungkin boleh diwujudkan VSS seperti diamalkan sektor swasta,” katanya ketika menutup Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Pelajaran dan Negeri ke-10 di sini.
Mengikut perangkaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sejak 2002 hingga tahun lalu lebih 10,438 pegawai kerajaan dikenakan tindakan tatatertib kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (Pindaan 2002).Daripada jumlah itu, 2,918 kakitangan dibuang kerja, 1,699 dilucutkan hak emolumen, 1,490 didenda, 813 ditangguhkan pergerakan gaji, 364 diturunkan gaji, 143 diturunkan pangkat, manakala selebihnya diberikan amaran dan surat tunjuk sebab.Kumpulan pegawai sokongan paling ramai dikenakan tindakan, iaitu 9,649 orang atau 92 peratus. Dalam tempoh yang sama, 7,390 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 4,819 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dikenakan tindakan tatatertib.

02 August 2007


KLIK KAT SINI!....Cikgu Irma sedang memberi tunjukajar


KURSUS KOMPUTER GURU-GURU SMA.AL-FALAH


Seramai 38 orang guru Al-Falah telah mengikuti Kursus Komputer yang dianjurkan oleh Pusat Sumber Sekolah.

Kursus selama 3 hari bermula 2 Ogos hingga 5 Ogos bertempat di Makmal Komputer Al-Falah.

Menurut Penyelaras Pusat Sumber Sekolah, Ustazah Wan Hafsah Ton Jusoh, Kursus Microsoft PowerPoint diadakan untuk guru-guru merupakan kursus pemantapan sebagai langkah untuk mempertingkatkan P&P dan memberi pendedahan ke arah penyediaan laporan berkomputer.

Kursus ini dikendalikan oleh fasilitator Al-Falah yang terdiri daripada Ustaz Wan Ahmad Bushra, Cikgu Nor Zuliana, Cikgu Irmawati Hani dan Ustaz Ismail.

01 August 2007



Cikgu As'ari antara pengunjung Pameran Buku yang diadakan di luar perpustakaan

SEHARI BERSAMA PSS MERIAH
Hari Pusat Sumber Sekolah(PSS) yang julung kali diadakan pada 30 Julai 2007 mendapat sambutan hangat dari seluruh warga Al-Falah. Program Sehari Bersama PSS yan dianjurkan oleh Pusat Sumber Sekolah di bawah pimpinan Ustazah Wan Hafsah dan digerakkan secara bersama jawatankuasa PSS serta dibantu oleh semua guru dan kakitangan Al-Falah telah memberi peluang kepada warga Al-Falah untuk mendekati dan mengenali PSS dengan lebih dekat lagi.

Pelbagai program dan acara menarik diadakan untuk semua guru dan pelajar, antaranya Pameran Buku, Pendaftaran Keahlian Perpustakaan Awam Cawangan Kemaman, pertandingan, menaip pantas, Mencari Harta Karun,membaca berita, Teka Silangkata,Meneka jumlah Disket, Meneka Jumlah CD dan meneka jumlah muka surat buku selain acara cabutan bertuah.

Sehari Bersama PSS telah berlangsung sejak awal pagi dengan penyertaan menyeluruh oleh warga sekolah dan kemeriahan sambutan begitu dirasai apabila ramai pelajar yang berebut-rebut untuk mennyertai program dan acara yang dipertandingkan.

Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh Tuan Haji Aziz bin Wahid, Penolong Kanan Pesurujaya (Penaziran) yang mewakili Tuan Ketua Penolong Pesuruhjaya (Bahagian Pendidikan).

PERSATUAN SILAT ALFALAH MENANG TEMPAT PERTAMA

Persatuan Seni Silat Sek.Men.Agama Al-Falah, Kemaman telah mendapat Tempat Pertama Anugerah Kelab, Persatuan dan Badan Beruniform Sempena Hari Anugerah Kokurikulum Sekolah Menengah Agama Terengganu Tahun 2007 yang diadakan pada 28 Julai 2007 di Dewan Auditorium Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Anugerah telah disampaikan oleh Yang Berhormat Tuan Haji Ramli bin Nuh, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam Hadhari dan Kebajikan Negeri Terengganu.

Anugerah Kokurikulum yang diadakan pada tahun ini merupakan anugerah kali pertama di adakan untuk menghargai sumbangan dan kejayaan pelajar dalam bidang kokurikulum di peringkat negeri, kebangsaan dan juga antarabangsa.

Pelajar Al-Falah yang mendapat anugerah kokurikulum ialah Mohd Faiz Anwar bin Abd Ghani(Badminton),Wan Yuhanis bt Wan Nor (Ping Pong)Siti Nor Fatehah bt Othman (Catur), Wan Izaidi Wan Ismail, Sarah Othman, Nur Izzati Isa dan Nor Suhaida Hashim (Silat), Mohd Amizan Mohamad, Mohd Mustakim Ramli (Sepak Takraw).