30 July 2008

KURSUS GURU ALFALAH : PERUBAHAN TARIKH

Besar kemungkinan kursus guru akan diadakan pada 21 hingga 23 Ogos 2008 dan bukannya pada 14 hingga 16 Ogos 2008.Perubahan ini disebabkan oleh pertindihan jadual kelas tambahan cuti terangcang.

Kursus yang akan diadakan di INTAN WILAYAH TIMUR (INTIM) akan disertai oleh semua kakitangan, berkursus bersama-sama guru-guru.

Pihak urusetia sedang berurusan dengan pihak JHEAT, INTAN dan fasilitator bagi menjayakan kursus pada kali ini.
JHEAT ATAU JAPIM : RAMAI MEMILIH JAPIM

Ramai yang masih menanti dan menanti, bilakah guru tetap JHEAT akan diberi opsyen sama ada nak memilih Kerajaan Negeri (JHEAT) atau JAPIM. Mereka yang telah lama mengajar, tidak ada dip***** lebih gusar dan gelisah. Kalau mereka yang tidak mempunyai dip***** dan diminta menjalani pengajian lanjutan, mungkin ramai yang akan berfikir 10 kali.

Menurut sumber yang sahih, lebih daripada 400 guru tetap JHEAT akan dipanggil untuk diberi penerangan oleh pihak JAPIM dalam bulan Ogos nanti, dan semuanya akan diselesaikan dan berkuatkuasa pada 1 Sepetember 2008.

Yang lebih menggembirakan, maklumat yang disampaikan kepada blogger, guru tetap yang tidak mempunyai Sijil Perguruan atau Diploma Pendidikan juga akan diserap dan ditukarlantik tanpa syarat.

Dalam perkataan lain, hampir 100% guru JHEAT akan memilih opsyen menyertai JAPIM kerana banyak peluang, keistimewaan dan kelebihan memilih JAPIM.

Menurut sumber itu lagi, sebaik-baiknya semua guru memilih opsyen JAPIM.

29 July 2008

ADAKAH MIMPI BOLEH MENJADI REALITI?

Sesekali bila difikirkan, sukar untuk kita terima. Sukar untuk kita memahami akan mimpi. Mimpi Tsunami.Mengapa ianya harus terjadi?

Tidak ada yang mustahil, semuanya boleh berlaku dengan sekelip mata. Adakah kita akan kehilangan seseorang yang kita sayangi dan yang kita senangi dalam masa yang terdekat ini?

Itulah yang bermain di fikiranku sejak beberapa hari ini. Sukar juga untuk aku membuat spekulasi. Walau apapun yang berlaku, kta redha. Semuanya ada sebab dan musabab. Semuanya terbaik untuk kita. Terbaik untuk semua.

Datang silih berganti, yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti.itulah adat dunia. Tiada yang kekal walapun orang yang kita sayangi!

28 July 2008

MESYUARAT AGUNG BADAN KEBAJIKAN GURU & KAKITANGAN

Pada 13 Ogos, jam 2.30 petang akan diadakan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan Sek. Men. Agama Al-Falah, Kemaman kali yang pertama.

Mulai tahun ini, Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan Al-Falah diterajui oleh guru-guru dan kakitangan yang akan dipilih melalui Mesyuarat Agung yang pertama kali diadakan bagi memberi peluang kepada semua warga AlFalah memilih ahli jawatankuasa yang akan memimpin mulai Ogos 2008 hingga Ogos 2009.

Jawatan yang akan dipertandngkan ialah Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari, Penolong Bendahari serta 6 orang ahli jawatankuasa serta seorang juru audit dalaman.
Selepas mesyuarat agung nanti, Pengetua akan menjawat jawatan sebagai Penaung dan bukan lagi sebagai Pengerusi seperti sekarang.

Kepada guru-guru dan kakitangan yang masih belum menjelaskan yuran diminta berbuat demikian secepat mungkin.

MAGHI MAKANG PENGAT DERIANG

Asrama Alfalah mengadakan Pesta MAGHI MAKANG PENGAT DURIAN pada 28 Julai 2008. Menurut Pengarah Projek, Cikgu Ahmad Pauzi, sebanyak 180 biji durian telah dibeli dari kebun durian Kijal akan dijamu kepada semua pelajar asrama termasuk jemputan yang terdiri daripada guru-guru dan kakitangan sekolah.

Setiap tahun, asrama Alfalah menganjurkan pesta seumpama ini dan pada tahun ini menurut Cikgu Ahmad Pauzi, pesta ini lebih meriah dan bermakna kerana semua guru dan kakitangan akan turut sama menikmati pengat durian special yang dimasak oleh tukang masak asrama yang terkenal dengan kemahiran masak-memasak.

Pihak asrama merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada bekas pelajar AlFalah, Encik Azmi yang kini bergelar tauke kitar semula (tauke besi buruk) yang turut memberi sumbangan buah durian bagi menjayakan pesta Maghi Makang Pengat Deriang.

Pesta Maghi Makang Duriang akan berlangsung di dewan makan asrama pada jam 4.30 petang dan turut dihadiri oleh pengetua, Ustaz Che Ali bin Che Mat.

CERAMAH ISRAK & MIKRAJ

Unit Kerohanian dan Sahsiah Pelajar mengadakan ceramah sempena Israk dan Mikraj di Dewan AlFalah pada jam 8 pagi. Penceramah jemputan ialah Ustaz Mohd Yusof bin Razak, seorang pendakwah bebas.

Semua pelajar dan guru mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Yusof selama 1 jam yang disampaikan dengan penuh keinsafan.

26 July 2008

(FOTO HIASAN SAJE)TERSEPIT...babi betina dari Kemasik tersepit

BABI KEMASIK SUKA MENGUSIK

Pagi ini, 26 Julai aku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada seseorang yang sangat aku kenali. Suaranya biasa dan bersahaja.

Apabila aku bertanya, di mana beliau berada, dia menjawab, " Aku sedang berehat dekat Awana Kijal'. Aku kaget seketika, buat apa kat Hotel Awana pagi-pagi buta ini, sedangkan beliau sepatutnya sudah berada di sekolah.

" Aku terlanggar babi!" Terpacul kata-kata dari mulutnya, spontan. Rupa-rupa, Matrix TAL 1922 dari Kampung Nibung, Kuala Terengganu merempuh seekor babi (atau bahasa lemah -lembutnya dipanggil khinzir!).

Pengetua Al-Falah, Ustaz Che Ali Che Mat tidak perasan seekor babi dari Kemasik yang agak besar melintas di depan keretanya. Apa lagi, berdentumlah dan terperanjatlah babi Kemasik yang suka sangat mengusik pengguna jalanraya. Pengetua tidak mengalami sebarang kecederaan , dan mungkin babi betina (sebab pakai lipstik, eye shadow serta bedak pipi) berkenaan sedang menahan kesakitan akibat dirempuh kereta Ustaz Che Ali dalam kelajuan 130 km sejam.

Wartawan Sinar Harian yang dihubungi berkata, beliau tidak mendapat apa-apa maklumat daripada mangsa, dan beliau tidak sempat nak berkejar ke tempat kejadian sebab belum mandi lagi.

Ustaz Che Ali ketika dihubungi berkata, beliau sedang menunggu mekanik dapat melihat kerosakan pada keretanya dan yang pasti kereta itu tidak dapat dihidupkan. (Ketika berita ini ditulis, tidak pasti sama ada babi itu masih hidup atau sudah mati!).

Seluruh warga AlFalah mengucapkan takziah atas kejadian yang tidak diingini itu, dan bersyukur semuanya selamat.

24 July 2008

MIMPI TSUNAMI DI ALFALAH

Malam tadi, ketika daerah kelahiran Menteri Besar Terengganu ditimpa hujan renyai-renyai di awal pagi, aku enak dibuai mimpi, aku terdengar seperti ada suara berbisik di telingaku. Tapi aku yakin, bahawa bisikan itu hanyalah mimpi, bukannya bisikan isteri tersayang. Sebab isteriku tak suka berbisik, dia suka berkata-kata dalam tidur. Hehehehe .....Aku terus menyambung tidurku sehingga ayam kokok (ayam jantan,bukan ayam betina,tau!) di Jalan Dato.

Aku masih teringat-ingat akan bisikan mimpi malam tadi. Seolah-olah Alfalah akan menerima suatu perubahan atau gelombang yang aku yakin bukannya Tsunami. Ahh...semuanya itu hanya mimpi, buat apa nak dipening-peningkan kepala....

Kadang-kadang,kata orang mimpi boleh menjadi alamat atau petanda tertentu. Kalau benar akan berlaku Tsunami, apakah Tsunami itu?

Bila aku ke sekolah pagi itu, aku lihat kawasan asrama puteri dan sekitar Kampung Besut dinaiki air kerana hujan lebat. Semua longkang kecil dan besar dipenuhi air. Oh....rupa-rupanya mimpiku malam tadi benar-benar memberi isyarat akan berlakunya banjir dan bukannya Tsunami.

Tetapi, adakah ada perkara lain yang akan berlaku di Alfalah selain peristiwa Asrama Puteri dinaiki air? Atau akan ada perubahan besar akan berlaku?Apa? Bila? Siapa? Aku tidak berani membuat spekulasi.

Seperti biasa, aku sentiasa memikirkan yang positif, apapun yang bakal berlaku atau yang telah berlaku, pasti ada kebaikan dan rahmat di sebaliknya. Ambil positif!


PROGRAM 'MENDAMBAKAN KASIH SAYANG ILLAHI'

Pada 23 Julai 2008, sekumpulan bekas pelajar AlFalah yang kini menuntut di Institut Al-Quran Terengganu (dulunya Maahad Tahfiz) yang berkebetulan sedang bercuti semester telah sudi menjayakan program untuk pelajar-pelajar ASPURI.

Program yang bermula pada sebelah petang dengan aktiviti suaikenal, riadah dan penyampaian mesej berlangsung dengan penuh harmoni dan ceria. Pada sebelah malamnya pula, pelajar-pelajar diberi bimbingan dan nasihat dalam slot selepas solat Isyak di surau sekolah.

Pihak sekolah merakamkan ribuan terima kasih atas kesudian dan kesungguhan bekas pelajar AlFalah yang terdiri daripada Siti Fatimah Azzahrah bt Muhd Zuki, Nurul Syatilla bt Azmi, Farhani bt Razali, Siti Khadijah bt Ali dan Siti Nur Syafiqah bt Saibi dalam menyumbangkan bakti kepada Al-Falah.

Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik dan keluhuran budi anda semua.

23 July 2008

CERAMAH MOTIVASI & PERSEDIAAN MENGHADAPI PMR / SPM 2008

Pada 24 julai 2008, satu siri ceramah motivasi akan diadakan di Dewan Sekolah bagi semua pelajar tingkatan 3 dan 5 yang bakal menduduki PMR dan SPM pada penghujung tahun ini.

Menurut PK HEM, ceramah dan kursus motivasi serta petua menangani stres bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan perlu diadakan dan diberi tumpuan memandangkan sebahagian besar pelajar menghadapi masalah tekanan mental dan perasaan. Tambah beliau lagi, pada tahun ini semua pelajar yang akan menduduki PMR dan SPM telah banyak kali diberi pendedahan kursus motivasi dan kali ini mereka diberi peluang sekali lagi untuk lebih bersedia menghadapi peperiksaan.

Ceramah dan kursus ini akan dikendalikan oleh YM Raja Ismail Raja Shahdan, seorang pakar motivasi terkenal dari Kuantan.
KURSUS GURU ALFALAH 2008

AlFalah akan menganjurkan Kursus Pengurusan Sumber Manusia untuk guru-guru Al-Falah selama 3 hari di INTAN Wilayah Timur (INTIM), Kemaman bermula 14 hingga 16 Ogos 2008.

Kursus yang akan berlangsung selama 3 hari ini akan dikendalikan oleh YM Raja Ismail Raja Shahdan dari Kuantan.

Pada tahun lalu, AlFalah mengadakan kursus seumpama ini di Cititel Hotel, Kuala Lumpur. Memandangkan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan, pihak sekolah bercadang untuk mengadakan kursus ini d premis kerajaan bagi menjimatkan kos pembiayaan kursus.
KEM ELIT PMR ZON 5

Seramai 45 pelajar elit PMR terpilih untuk mengikuti Kem Elit di Awang Beach Resorts, Rantau Abang selama 3 hari bermula 24 Julai 2008.

Menurut Pengurus Projek PMR, Cikgu Rusiah Abdullah, kem ini turut disertai 45 pelajar elit PMR dari Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, Dungun.

Kursus kecemmerlangan akademik ini dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan(JHEAT) dan dikendalikan sepenuhnya oleh guru-guru yang dilantik sebagai fasilitator mengikut subjek masing-masing.

17 July 2008

KEM KESEDARAN DAN PEMANTAPAN JATI DIRI

Seramai 40 orang pelajar telah dipilih untuk mengikuti Kursus Kesedaran dan Pemantapan Jati Diri di Kem Wataniah, Bukit Kuang, Kemaman selama 3 hari bermula 17 Julai 2008.

Peserta terdiri daripada pelajar perempuan dari tingkatan 2 dan 4. Kursus ini adalah bertujuan untuk menyuntik semangat jati diri dan kesedaran bagi menghadapi pelbagai cabaran pada masa kini.

Para peserta akan diberi latihan kawad kaki, bimbingan dan kaunseling selain aktiviti kerohanian.

3 orang fasililator dari Bahagian Pendidikan akan mengambil bahagian selain 2 orang fasilitator jemputan dari Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

15 July 2008


LAWATAN KE SARAWAK

Badan Pengawas AlFalah merancang untuk mengadakan Lawatan Sambil Belajar pada kahir tahun ini sebagai menghargai sumbangan yang diberikan oleh pengawas sekolah.

Menurut Guru Penasihat Badan Pengawas, Cikgu Zahian Harun, seramai 20 orang pengawas akan dipilih untuk mengikuti rombongan ini dan diiringi beberapa orang guru penasihat.

Sepanjang lawatan terssbut, rombongan akan melawat ke beberapa buah sekolah terpilih, tempat-tempat menarik, tempat bersejarah dan beberapa destinasi lain.

Sebelum ini, pada bulan Februari lepas Cikgu Zahian dan Cikgu Suhaiza sudah membuat tinjauan ke Sarawak untuk mengenalpasti tempat-tempat menarik selain kemudahan lawatan yang bakal ditempah apabila rombongan sudah bersedia untuk ke Sarawak.

Pihak sekolah akan membuat surat rasmi ke Bahagian Pendidikan untuk memohon kelulusan sebelum membuat beberapa persediaan awal.
KIRI KANAN, KIRI KANAN, KIRI KANAN!


PERKHEMAHAN PERDANA : ALFALAH TERUS GIAT BERLATIH

Kontijen AlFalah yang bakal menyertai Perkhemahan Perdana anjuran Bahagian Pendidikan, JHEAT terus giat berlatih sebagai persediaan.

Latihan kawad di bawah tunjukajar Jurulatih Askar Wataniah Kem Bukit Kuang diadakan setiap hari bermula jam 3 petang. Latihan kawad disertai oleh peserta badan beruniform lelaki dan perempuan.

Pada sebelah malam pula, diadakan latihan membuat gajet, ikatan, pertolongan cemas dan juga persembahan.

Guru-guru penasihat dan pembimbing turut sama berganding bahu dan memberi tunjuk ajar kepada para peserta yang akan menyertai Perkhemahan pada 16 - 18 Julai 2008 di Pusat Kokurikulum, Merang, Setiu.
Cikgu Zakaria cuba menghalang tendangan Ustaz Zulkifli


PENJARING GOL TERBANYAK

Fiesta Futsal Asrama 2008 menyaksikan Ustaz Zulkifli terus mengungguli sebagai penjaring gol terbanyak setakat ini. Beliau yang juga bakal dinobatkan sebagai Pemain Terbaik telah menjaringkan 12 gol, belum diambil kira dalam perlawanan separuh akhir dan akhir yang akan berlangsung pada 15 dan 16 Julai di Gelanggang Futsal Asrama.

Cikgu Zakaria yang juga pemain futsal setakat ini masih ketandusan gol, mungkin kerana berat badan yang berlebihan atau lemak yang berlebihan menyebabkan beliau terus gagal meledakkan sebarang gol.

Cikgu Pauzi selaku Penolong Kanan Koko yang pertama kali turun padang sebagai pemain futsal mengaku bahawa beliau kepenatan walaupun sempat beraksi selama 10 minit. Kesungguhan Cikgu Pauzi terserlah apabila beliau jatuh terlentang di gelanggang futsal sebelum dibantu oleh rakan sepasukan. Tahniah Cikgu Pauzi!

HMM...BAU NASIK MINYAK SIAPA NI?

Angin sepoi-sepoi bahasa membisikkan aroma nasi minyak dan gulai kawah dalam masa yang terdekat ini.

Nasi minyak siapakah ini? Mungkinkah nasi minyak empunya diri yang bernama Siti Mariam Daud? Atau nasi minyak pemilik kereta TS 73?

Kalau dicongak-congak dan ditenung-tenung, rasanya tiada orang lain lagi yang hampir menjejakkan kaki di jinjang pelamin. Sudah lama tak merasa nasi minyak orang nak jadi pengantin baru. Yang dah jadi pengantin lama acapkali jugak buat jamuan nasik minyak di bilik guru. Tapi itu nasik minyak hari jadi, hari tanggal pusat dan hari lahir, tak sama nasik minyak gulai kawah orang naik pelamin.

Adakah 2008 akan menyaksikan semua guru GSTT AlFalah ( yang sudah berpunya, jangan pulak nak perasan!) akan sama-sama memotong kek 7 tingkat.

Alangkah indah dan bahagianya jika....

Apa-apapun, seluruh warga AlFalah menunggu-nunggu kad undangan berlorek keemasan sampai di meja. Kalau beritahu awal-awal, taklah panik nak beli hadiah perkahwinan. Kalau beri kad undangan last minute, alamat dapat hadiah gelas RM12 sedozenlah jawabnya. Kenduri gelaslah kita!

13 July 2008

FIESTA NASYID ALFALAH 2008

Pada 3 Julai 2008, sebanyak 24 kumpulan nasyid yang terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan 1,2 dan 3 telah menyertau Pertandingan Nasyid yang dianjurkan oleh Pelatih UDM yang sedang menjalani latihan mengajar di sekolah ini.

Pertandingan ini berjaya mencungkil bakat pelajar lelaki dan perempuan dan masing-masing berpeluang merebut gelaran Juara dan Naib Juara Fiesta Nasyid AlFalah 2008.

Program seperti ini sepatutnya diadakan setiap tahun dan tidak terhad kepada pertandingan nasyid semata-mata.

Menurut Penyelaras Ko-Kurikulum, Cikgu Ahamd Pauzi Abu Bakar, banyak lagi program lain akan diadakan sebagai aktiviti selepas PMR seperti pertandingan pidato, syarahan, khat, catur dan juga tilawah.
FIESTA FUTSAL ASPURA 2008

Sebanyak 14 pasukan telah menyertai Fiesta Futsal Aspura AlFalah yang pertama kali diadakan pada tahun ini.

Menurut Pengarah Fiesta Futsal Aspura, Ustaz Zulkifli Makhtar,pertandingan futsal ini merupakan Pertandingan Futsal Tertutup Asrama dan sambutan yang diberikan oleh penghuni asrama di luar dugaan.

Pasukan futsla yang terdiri daripada guru-guru juga berjaya ke peringkat separuh akhir. Pasukan ini terdiri daripada warden aspura dan kombinasi pelatih UDM yang sedang menjalani latihan amali di sekolah ini.

Fiesta ini berlangsung selama 3 hari bermula 8 Julai 2008 di Gelanggang Futsal AlFalah.
PROGRAM BERSIH KUBUR

Seramai 30 pelajar asrama menyertai aktiviti membersih Tanah Perkuburan Islam Jabur Kubur dekat Kampung Mak Cili, Kemaman.

Aktiviti ini sebahagian daripada program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh Koperasi Sekolah dengan kerjasama Asrama Al-Falah.

Aktiviti turun padang dan mendekati masyarakat merupakan aktiviti yang memberi faedah kepada pelajar agar tidak kekok berada dalam komuniti dan sedar akan tanggungjawab sosial yang dipikul oleh setiap ahli masyarakat.

Turut sama dalam program ini ialah Cikgu Adnan, Ustaz Hamzah dan Cikgu Rodziah.

05 July 2008

Check out my Slide Show!

Tergelak mendengar seloka

Pengetua menenangkan seorang pelajar yang sebak

Pengetua menerima cenderhati daripada Tn. Hj.Razak Jusoh

Ustaz Che Ali menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Yadim, En. Mahadi Awang


PERASMIAN PENUTUP KEM PERKASA REMAJA

Perasmian Penutup Kem Perkasa Remaja yang dianjurkan oleh YADIM ZON TIMUR dengan kerjasama JHEAT disempurnakan oleh Tuan Hj. Razak bin Jusoh (Pen. Pesuruhjaya Hal Ehwal Pelajar) di Dewan Abdul Rahman Limbong, Institut Integriti Negeri Terengganu.

Dalam ucapan tersebut, Tuan Hj Razak Jusoh berpesan kepada semua peserta supaya berusaha mempertingkatkan potensi diri dan menjadi pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan juga sahsiah. Tambah beliau lagi, semua pelajar mempunyai potensi dan keupayaan yang sama dan tidak mustahil untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Pihak jabatan sentiasa memberi sokongan untuk mengadakan pelbagai kursus untuk para pelajar.

Sebelum itu, Ustaz Che Ali bin Che Mat, Pengetua SMA.Al-Falah, Kemaman mengharapkan semua peserta akan beroleh manfaat dan mampu untuk mengubah diri masing-masing kerana banyak yang dicurahkan oleh pihak sekolah mahupun jabatan untuk mengadakan pelbagai kursus. Jika pelajar tidak mahu berubah, semua usaha, tenaga dan wang ringgit yang dibelanjakan akan menjadi sia-sia.

Pengarah YADIM Zon Timur, Encik Mahadi Awang dalam ucapannya merakamkan ucapan terma kasih kerana JHEAT dan SMA. Al-Falah kerana memberikan kerjsama yang baik kepada YADIM untuk mengadakan kem seumpama ini. Beliau juga mengharapkan semua peserta akan membawa pulang semua ilmu yang diperoleh untuk dipraktikkan dalam kehidupan.

04 July 2008

Tak tahu nak cari jalan keluar!

Terjumpa peta harun karun!

Wirawati Al-Falah

Janganlah geletek, gelilah!


KEMBARA KEM PERKASA REMAJA

Seramai 130 orang pelajar yang mengikuti Kem Perkasa Remaja anjuran YADIM dan JHEAT di Institut Integriti Negeri Terengganu, Teluk Kalong telah menjalani aktiviti kembara di perbukitan Teluk Kalong.

Para peserta diberi bimbingan dan tunjuk ajar oleh jurulatih dan sukarelawan YADIM sebelum memulakan kembara. Macam-macam pengalaman dikutip oleh para peserta dari mula mendaki bukit berhutan sehingga ke suatu kawasan yang ditetapkan sebagai garisan penamat.

Sepanjang kembara tersebut, para pelajar diberi penunjuk arah dan dibantu oleh sukarelawan dan juga guru. Cikgu Adnan, Cikgu Pauzi dan Cikgu Junaidi turut serta dalam kembara tersebut.

Cg Zorita sibuk melayan pelanggan

Guru-guru KH sibuk memilih dan mencuba gelang!

Cg Morni sedang mencuba gelang untuk hari raya nanti

Pn. Fatimah pengedar Kacip Fatimah. Mari-mari, ada diskaun!

RAGAM HARI KOPERASI

Macam-macam ragam dapat dilihat sepanjang Hari Koperasi Sekolah 2008. Ada yang menjadi usahawan kismis, usahawan gelang dan manik, usahawan cuci kereta. Tidak kurang pula sibuk membeli-belah, terutamanya guru wanita. Gerai menjual gelang dan barang kemas (bukan ori!), gerai produk herba dan gerai pakaian paling mendapat sambutan hangat.
Bebola ikan ke bebola api ni???

Minuman penghilang dahaga.

Produk ini boleh dibeli dengan Siti Fatimah(Jurutaip)


JUALAN HARI KOPERASI SEKOLAH 2008

Banyak aktiviti jualan diadakan sempena Hari Koperasi Sekolah 2008. Pada tahun ini, banyak gerai jualan dibuka oleh peniaga-peniaga sekitar daerah Kemaman yang turut memeriahkan lagi Hari Koperasi Sekolah 2008.

Terdapat gerai menjual makanan seperti keropok, burger, roti, minuman, ubat-ubatan,pakaian dan sebagainya.

Antara yang mendapat sambutan ialah Kismis Tok Guru yang dijual di salah sebuah gerai. Kismis ini dikabarkan sesuai untuk mereka yang menuntut ilmu, menghafaz Al-Quran dan hadis dan mereka yang akan menduduki peperiksaan. Kismis yang telah dibacakan ayat-ayat Al-Quran dan didoakan oleh ustaz dan para pelajar Maahad Tahfiz ini boleh dibeli melalui Puan Siti Fatimah.

03 July 2008

MAJLIS TEMU MURNI 2008

Majlis Temu Murni untuk ibu bapa pelajar diadakan pada 3 Julai 2008 bertempat di Dewan A-Falah sejak jam 8.30 pagi. Majlis yang menghimpunkan semua ibu bapa dan pelajar diadakan saban tahun sebagai suatu majlis hubungan silaturrahim antara ibu bapa dan warga pendidik untuk menilai dan memantau kemajuan pembelajaran pelajar. Pengetua, Encik Che Ali Che Mat meminta semua ibu bapa sama-sama memberi perhatian yang serius terhadap akademik anak masing-masing. Selain itu, Encik Che Ali juga melahirkan rasa kebimbangan terhadap masalah sosial pelajar-pelajar pada hari ini terutamanya pelajar perempuan dan mengharapkan semua ibu bapa memantau aktiviti anak masing-masing agar tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak berfaedah.

01 July 2008

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT KEMBALI

Cikgu Ali Mohd Yatim akan mula bertukar dan kembali semula bertugas di Al-Falah mulai 1 Julai 2008. Cikgu Ali yang sebelum ini berkhidmat lebih dari 3 tahun di SMA. Sultan Ismail, Dungun merupakan guru yang pernah bertugas di Al-Falah.

Beliau yang aktif dalam kegiatan badan beruniform merupakan seorang berpengalaman dan antara guru yang paling lama berkhidmat di Al-Falah. Semoga Cikgu Ali dapat mencurahkan segala pengalaman yang dikutip di SMASID untuk membantu memajukan Al-Falah yang bervisikan AL-FALAH CEMERLANG 2010.

Seorang lagi guru yang akan bertukar ke Al-Falah ialah Cikgu Roslina bt Ismail, dari Kuala Lipis, Pahang. Beliau yang sepatutnya melapor diri pada 1 Julai meminta penangguhan, dan akan mula melapor diri pada minggu depan.
Manakala ustazah Hasnah Zakaria pula diberitakan akan bertukar ke Besut mulai 1 Julai ini.