30 June 2008

HADIAH DARIPADA MENTERI BESAR TERENGGANU

Dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung PIBG, YAB Dato' Ahmad Said telah bersetuju untuk menyumbangkan 40 buah komputer kepada SMA. Al-Falah pada tahun ini.


Pengumuman ini telah mendapat tepukan gemuruh daripada ibubapa, guru-guru dan para jemputan. Sebelum itu, Pengetua Al-Falah, Encik Che Ali Che Mat menyatakan bahawa Makmal Komputer yang baru siap mampu memuatkan 80 buah komputer tetapi sehingga kini hanya 40 buah komputer sahaja yang dibekalkan oleh JKR.

Pelajar Terbaik PMR 2007 dan Kumpulan Nasyid Al-Falah.

PERASMIAN MESYUARAT AGUNG PIBG

Pada 16 mei yang lalu, Mesyuarat Agung PIBG kali ke-6 telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said. Ketibaan YAB Dato' Ahmad Said disambut oleh YB Dato; Mohamed bin Awang Tera (ADUN Chukai Merangkap YDP PIBG), YM Dato' Shaikh Harun Ismail (Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu), Encik Mohd Noor (Pegawai Daerah Kemaman) dan Encik Che Ali Che Mat (Pengetua SMA.Al-Falah).


YAB Dato' Ahmad Said yang baru dilantik sebagai Menteri Besar diberi sambutan permaidani merah dan disambut dengan pencak silat oleh pesilat Al-Falah.

Selepas menyempurnakan Perasmian mesyuarat Agung PIBG Kali ke-6, YAB Dato' Ahmad Said menyampai hadiah dan cenderamata kepada pelajar yang beroleh kejayaan cemerlang dalam PMR dan SPM 2007.
Mesin Perakam Waktu Akan Diganti???
Punch Card....punya nilai sentimental

Dalam era teknologi moden pada hari ini, mesin perakam waktu masih lagi relevan dan digunapakai.Di SMA Al-Falah, mesin perakam waktu menjadi sesuatu yang sentimental kerana sudah sekian lama digunakan.

Mungkinkah suatu hari nanti, AlFalah sudah tidak mahu menggunakan lagi mesin perakam waktu ini dan digantikan dengan mesin perakam waktu berkomputer?
Ustaz Tg Zulkeplee sedang berceramah

KEM PERKASA REMAJA

Seramai 130 orang pelajar tingkatan 5 akan mengikuti Kem Perkasa Remaja yang akan diadakan pada 3-5 Julai 2008.

Kursus yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Timur dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan SMA. Al-Falah Kemaman akan diadakan selama 3 hari di Institiut Integriti Negeri Terengganu, Kemaman.

Menurut Guru Kaunseling SMA Al-Falah, Ustaz Tengku Zulkeplee Abdullah, penganjuran kursus seumpama ini tepat pada masanya kerana pelajar perlu diberi banyak bimbingan dan peringatan memandangkan gelaja sosial yang semakin parah pada hari ini lebih mudah memerangkap pelajar jika kurang didikan agama.

Menurut Pengarah Kursus, Tuan Haji Razak Jusoh (Penolong Pesuruhjaya Hal Ehwal Pelajar),objektif kem ini antara lain ialah untuk meningkatkan keupayaan serta kecerdasan emosi dan motivasi diri pelajar, memperkasakan minda kelas pertama, penyediaan diri untuk menjadi pelaajar dan ummah terbaik.
PERKHEMAHAN KELAB & BADAN BERUNIFORM SMA. TERENGGANU 2008

Pada 16 Julai hingga 18 Julai 2008, perkhemahan perdana yang melibatkan semua Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu akan diadakan di Pusat Ko-kurikulum Universiti Darul Iman (UDM), Merang, Terengganu.

Setiap sekolah akan menghantar seramai 25 orang pelajar yang mewakili badan beruniform sekolah seperti Pengakap, PBSM, Puteri Islam, Bomba dan lain-lain badan beruniform.

Antara pertandingan yang akan dijalankan ialah kawad kaki, model gajet, pertandingan memasak, berhalangan, lukisan rimba dan juga persembahan kebudayaan.

Menurut Penyelaras Kokurikulum SMA. Al-Falah, Cikgu Ahmad Pauzi Abu Bakar, latihan awal akan diadakan sebagai persediaan untuk menyertai perkhemahan ini.
ANUGERAH KECEMERLANGAN DWI-BULANAN

Mulai bulan Mei, satu anugerah kecemerlangan peringkat sekolah akan diperkenalkan. Setiap 2 bulan, guru dan kakitangan sekolah akan dipilih dan dinobatkan sebagai Staf Cemerlang.

Pemilihan ini akan dibuat oleh Panel di peringkat jabatan (JHEAT) berdasarkan pencalonan yang dibuat oleh pihak sekolah.

Antara syaratnya ialah seseorang calon itu hendaklah terdiri daripada mereka yang pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di peringkat jabatan atau negeri, selain mempunyai rekod cemerlang selama 3 tahun berturut-turut.

Pekerja Cemerlang akan menerima cenderamata yang bernilai RM300 dan juga sijil

26 June 2008

Peserta sedang khusyuk mendengar ceramah

KURSUS KESEDARAN AQIDAH

Pejabat Agama Daerah Kemaman dengan kerjasama Unit Kaunseling dan Kerjaya SMA. Al-Falah mengadakan Kursus Kesedaran Aqidah untuk pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5 seramai 300 orang.

Antara tajuk ceramah yang disampaikan ialah Gejala Dadah & Cara Mengatasinya yang disampaikan oleh Agensi Dadah Kebangsaan Cawangan Kemaman. Selain itu, Kaunselor Pejabat Agama Daerah menyampaikan ceramah yang bertajuk "Cabaran Pelajar Masakini Bagi Menghadapi Abad ke-21.

Kursus ini dibiayai sepenuhnya oleh Pejabat Agama Daerah Kemaman.

25 June 2008


Persembahan Koir Sekolah

HARI KOPERASI SEKOLAH 2008

Hari ini, diadakan Hari Koperasi Sekolah, kali kedua dianjurkan semenjak tahun lepas. Sambutan Hari Koperasi Sekolah pada tahun ini lebih meriah apabila banyak gerai jualan dibuka, banyak acara yang diadakan bagi memeriahkan lagi Hari Koperasi Sekolah.

Dalam ucapan perasmian, Tuan Pengetua mengharapkan Koperasi Sekolah akan mendapat tempat atau penghargaan yang lebih tinggi berbanding pencapaian tahun lepas.

Penglibatan banyak organisasi luar seperti Celcom, A&W, gerai jualan makanan, ubat-ubatan, pakaian dan insurans takaful menambahkan lagi kemeriahan.

Antara acara yang diadakan ialah nyanyian koir, pertandingan catur, pertandingan penulisan khat, gubahan hantaran, story telling, khidmat basuh kereta dan sebagainya.

Antara pelajar yang hadir

KURSUS MOTIVASI JATI PELAJAR TERBILANG

Pada 16 Jun lalu, seramai 300 pelajar tingkatan 3 dan 5 telah dipilih mengikuti Kursus Motivasi Jati Pelajar Terbilang. Kursus yang dianjurkan oleh PIBG turut melibatkan sebahagian besar ibu bapa pelajar yang bakal menduduki PMR dan SPM pada tahun ini.

Kursus diselia oleh Unit kaunseling dan Kerjaya berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Di akhir kursus, ibu bapa dan anak masing-masing diberi amanat dan motivasi oleh penceramah sehingga ramai yang hadir mengalirkan air mata.

Kursus berakhir kira-kira jam 11.45 malam.
MAHKAMAH AL-FALAH

Pada 19 Jun baru-baru ini, Lembaga Disiplin bersidang ala mahkamah bagi membicarakan beberapa kes disiplin. Pelajar-pelajar yang didapati bersalah oleh Guru Disiplin dipanggil untuk membela diri di hadapan Lembaga Disiplin Sekolah yang dipengerusikan oleh Pengetua. Penolong Kanan HEM yang bertindak selaku Pendakwaraya membaca kes dan pelajar diberi peluang untuk membela diri dan membuat rayuan.

Pengetua selalu Hakim membuat keputusan berdasarkan pandangan dan perbincangan bersama AJK Lembaga Disiplin Sekolah.

Semua keputusan dibuat secara sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa Disiplin atas beberapa kesalahan seperti ponteng sekolah, mencuri, bergaduh dan mengugut pelajar.

Ibubapa atau penjaga pelajar terbabit akan dipanggil untuk diberi penjelasan mengenai kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak mereka.

Dalam mesyuarat tersebut, Guru Kaunseling dan guru tingkatan turut dijemput untuk memerhati dan memberikan pandangan.
Guru Cemerlang Ko-Kurikulum Sek. Men. Agama Negeri Terengganu 2008
Guru Cemerlang Tahun 2008

GURU CEMERLANG SEMPENA HARI GURU 2008

3 orang guru dari SMA. Al-Falah, Kemaman telah dipilih sebagai Guru Cemerlang sempena Sambutan Hari Guru Sek. Men. Agama Negeri Terengganu yang diadakan pada 26 Mei 2008 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Pn. Syarifah Sakinah bt Engku Muda telah dipilih sebagai Guru Cemerlang SMA. Al-Falah, Kemaman, manakala Encik Zakaria Jusoh dinobatkan sebagai Guru Cemerlang Ko-Kurikulum dan Pn. Zaleha Salleh pula menerima anugerah sebagai Guru Cemerlang Akademik bagi tahun 2008.

Masing-masing menerima sijil dan saguhati daripada YB. Encik Razif bin Ismail, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Negeri Terengganu yang mewakili YAB. Dato' Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu.


24 June 2008

Berat sangat ke batu yang dipegang tu Cikgu denan?


GOTONG-ROYONG

Pada 16 Mei, sehari sebelum Majlis Perasmian Mesyuarat Agung PIBG Kali ke-7 diadakan, seluruh warga pendidik dan pelajar asrama mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekolah.


Gotong-royong mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Kemaman dan semua petugas menjalankan kerja membersih longkang, membawa bahan buangan, sampah dan menebang pokok.

SAMBUTAN HARI GURU
Pengetua diapit dan oleh guru-guru wanita yang cun-cun belake!
Guru-guru berarak masuk ke Dewan Besar

16 Mei disambut meriah oleh seluruh warga Alfalah sebagai tanda penghargaan tertinggi kepada warga pendidik. Sejak awal pagi, seluruh warga pelajar sangat teruja untuk menyambut Hari Guru dengan mengadakan pelbagai persiapan dan sambutan.

Bermula pada jam 8.00 pagi, guru-guru diarak dengan kompang, bunga manggar serta silat sebelum diarak masuk ke Dewan Besar.

Di dalam Dewan Besar, selepas upacara membaca perutusan, ikrar guru serta nyanyian koir Guru Malaysia, pelajar-pelajar dan guru-guru bergabung tenaga dalam pasukan masing-masing dalam acara bola jaring, bola tampar, merebut kerusi, boling buah kelapa, isi air dalam botol, tarik tali dan juga Explore Race.

Dalam acara persembahan pentas pula, guru-guru menunjukkan bakat masing-masing dalam persembahan nasyid, sajak, syair, seloka dan dikir barat.

Sebelum acara penutup, diadakan majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang di samping acara cabutan nombor bertuah. Bertuahlah masing-masing, ada yang bawa pulang hamper, bantal buah labu, barangan kaca dan sebagainya.