03 August 2007

PETIKAN AKHBAR: UTUSAN MALAYSIA

15 Pelajar MRSM dibuang
JOHOR BAHRU 14 Julai – Seramai 15 pelajar tingkatan tiga di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuala Klawang, Negeri Sembilan dikenakan tindakan buang sekolah kerana terlibat dalam pergaduhan berkumpulan dengan pelajar junior sekolah tersebut.

Kesemua 15 pelajar terbabit didapati bersalah oleh Lembaga Displin MRSM kerana memukul dan mencederakan 10 pelajar tingkatan dua dalam kejadian pada 17 Jun lalu itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan yang dikenakan itu agak keras namun ia sebagai peringatan kepada pelajar MRSM lain agar tidak terlibat dalam sebarang masalah displin.

“Kami membuat keputusan ini kerana MRSM merupakan pusat untuk melahirkan pelajar cemerlang bukan sahaja dari segi akademik malah merangkumi insaniah.

“Kami tidak dapat berkompromi lagi kerana ini bukan kali pertama berlaku,'' katanya selepas majlis perasmian persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya di sini hari ini.

Menurut Mohamad Khaled yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, para pelajar MRSM sepatutnya bersyukur dapat diterima belajar di sekolah tersebut dan bukannya melibatkan diri dalam masalah disiplin yang boleh menjejaskan perjalanan persekolahan.
“Sudahlah tempat di MRSM tidak mencukupi, pelajar-pelajar ini nyata tidak memanfaatkan peluang untuk belajar di MRSM,” katanya.

Tambahnya, pihaknya kini menjalankan kajian menyeluruh di semua 40 MRSM dan berkemungkinan akan mengambil tindakan terhadap pelajar-pelajar bermasalah di sebuah lagi MRSM.

No comments: