03 August 2007

PETIKAN AKHBAR: BERITA HARIAN

Sektor awam perkenal VSS
SPA diminta kaji skim bagi lepaskan kakitangan kerajaan bermasalah, tak berdisiplin
KUALA TERENGGANU: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, semalam membayangkan kerajaan mungkin memperkenalkan Skim Pemisahan Sukarela (VSS) bagi ‘melepaskan’ kakitangan awam yang bermasalah dan tidak berdisiplin.Beliau meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) mengkaji kemungkinan menggunakan skim yang diamalkan sektor swasta itu supaya kakitangan yang gagal menunjukkan prestasi sepatutnya, meninggalkan perkhidmatan awam.
“Kita perlu wujudkan ‘exit policy” yang jelas kepada anggota bermasalah, tidak berdisiplin mahupun mereka yang tidak menunjukkan prestasi perkhidmatan sepatutnya. Mungkin boleh diwujudkan VSS seperti diamalkan sektor swasta,” katanya ketika menutup Persidangan Suruhanjaya-Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Pelajaran dan Negeri ke-10 di sini.
Mengikut perangkaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sejak 2002 hingga tahun lalu lebih 10,438 pegawai kerajaan dikenakan tindakan tatatertib kerana melakukan pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 (Pindaan 2002).Daripada jumlah itu, 2,918 kakitangan dibuang kerja, 1,699 dilucutkan hak emolumen, 1,490 didenda, 813 ditangguhkan pergerakan gaji, 364 diturunkan gaji, 143 diturunkan pangkat, manakala selebihnya diberikan amaran dan surat tunjuk sebab.Kumpulan pegawai sokongan paling ramai dikenakan tindakan, iaitu 9,649 orang atau 92 peratus. Dalam tempoh yang sama, 7,390 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan 4,819 dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut dikenakan tindakan tatatertib.

No comments: