03 August 2007

PETIKAN AKHBAR: UTUSAN MALAYSIA

Rayuan ibu bapa 15 pelajar MRSM dibuang tidak dipertimbang
CYBERJAYA 16 Julai – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi tidak akan mempertimbangkan rayuan ibu bapa kepada 15 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Negeri Sembilan yang dibuang sekolah kerana masalah disiplin.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tindakan yang diambil itu adalah sebagai satu teladan dan peringatan kepada semua pelajar di MRSM seluruh negara agar tidak berkelakuan sedemikian.

Malah katanya, hukuman tersebut dibuat selepas pihak pengurusan MRSM membuat pertimbangan yang sewajarnya.
“Kalau kita mahu layan rayuan ibu bapa pelajar berkenaan, saya rasa tidak payahlah kita hukum mana-mana pelajar yang didapati melanggar disiplin.
“Kita bukan mahu lepas tangan tetapi tidak mahu masalah itu berulang kerana ada sebahagian daripada pelajar terbabit bukan kali pertama didapati terlibat dalam kejadian sedemikian,” katanya.

Kesemua 15 pelajar itu terbabit didapati bersalah oleh Lembaga Disiplin MRSM kerana memukul dan mencederakan 10 pelajar tingkatan dua dalam kejadian pada 17 Jun lalu.
Bagaimanapun, Mohamed Khaled memberitahu, 15 pelajar terbabit masih boleh meneruskan persekolahan mereka di mana-mana sekolah milik Kementerian Pelajaran.
“Mereka masih boleh meneruskan persekolahan seperti biasa tetapi bukan dengan MRSM,” katanya.

No comments: