09 October 2008

BERITA SEKOLAH

LAMAN SITI KHADIJAH
Cikgu rasa kawasan bekas taman bunga yang berada di depan bilik guru perempuan yang kini sudah dihiasai dengan paving block lebih sesuai dinamakan sebagai LAMAN SITI KHADIJAH. Nama dataran tidak begitu sesuai memandangkan makna dataran itu sendiri bermaksud kawasan yang sangat luas.

Jadi cikgu berpendapat, kawasan itu merupakan sebuah laman dan mengambil sempena nama isteri Nabi Mohd S.A.W., kita namakan sebagai LAMAN SITI KHADIJAH. Walau bagaimanapun, ini sekadar cadangan.
Laman ini nanti akan digunakan sebagai tapak Jamuan Hari Raya Peringkat Sekolah.

08 October 2008

BERITA GURU

KURSUS PENGURUSAN PELAJAR UNTUK GURU-GURU

Pihak sekolah akan mengadakan Kursus Pengurusan dan Kaunseling Pelajar untuk guru-guru pada 16 - 18 November ini di Hotel YT Midtown, Kuala Terengganu.

Penolong Kanan HEM selaku penyelaras kursus memberitahu bahawa, kursus ini telah mendapat kelulusan Bahagian Pendidikan dan semua guru diwajibkan hadir.

Menurutnya lagi, pihak sekolah telah berjaya mendapatkan khidmat Pensyarah Kanan IAB, iaitu Encik Dawi Ithnin sebagai fasilitator untuk mengendalikan kursus selama 3 hari 2 malam. En. Dawi merupakan seorang pakar yang paling popular dan sering mendapat jemputan dari seluruh negara. Peluang ini perlu diambil oleh semua guru untuk menimba pengalaman dan bimbingan bagi mengurus dan menangani masalah pelajar.

BERITA SEMASA

SAMBUTAN AIDIL FITRI PERINGKAT SEKOLAH

Sekolah akan mengadakan Jamuan Hari Raya pada 19 Oktober ini. Sementara itu, Koperasi Sekolah turut memeriahkan aidilfitri dengan menganjurkan Jamuan Hari Raya pada 12 Oktober 2008.

Semua warga sekolah dijemput.

SELAMAT PENGANTIN BARU

SELAMAT PENGANTIN BARU, CIKGU

Salam semua, belum terlambat nak ucapkan selamat hari raya buat semua warga sekolah, ibubapa, bekas pelajar dan sesiapa jua yang beragama Islam.

Dalam kesibukan kita menyambut syawal, warga sekolah ingin mengucapkan selamat pengantin baru kepada Cikgu Normazida Long bersama pasangannya Yusri Hj Mamat.

Cikgu Normazida akan melangsungkan hari bahagia dan kenduri pada 10 Oktober / 10 Syawal di kediaman No. 927, Kampung Sungai Rengas, Kuala Terengganu.

Seluruh warga sekolah mendoakan agar Cikgu Normazida berbahagia sehingga ke akhir hayat.

20 September 2008

VIDEO KLIP DENDANG PERANTAU ALFALAH

Video klip ini dibuat oleh Cikgu Junaidi pada tahun lepas untuk diabadikan kenangan bersama guru-guru sempena menyambut hari raya aidil fitri. Diharapkan dengan tersiarnya video klip ini, akan terubat rasa rindu kat orang-orang tersayang, orang yang jauh, orang yang dah lama tak jumpa, dan paling istimewa video klip ini menampilkan bekas pengetua, Ustaz Che Ali selaku sumber inspirasi. Antara yang memegang watak utama dalam video klip arahan Cikgu Junaidi ini ialah; Ustaz Che Ali, Pn. Suzana (pembantu tadbir kewangan), Siti Fatimah (jurutaip), Cikgu Rosdi, Cikgu Azizah, Cikgu Wan Fauziah, Cikgu Suriati, Cikgu Mustaffa, Cikgu Syarifah Sakinah, Cikgu Norhayati, Ustazah Wan Hafsah, Cikgu Adnan, ustaz Tengku Zulkeplee, Cikgu Marina, Cikgu Noor Zuliana, Ustaz Wan Ahmad Bushra, Cikgu Suriyani, Cikgu Pauzi, Cikgu As'ari, Cikgu Wan Nabihah, Cikgu Sulha (sudah bertukar ke Mahmuddiah), Cikgu Norlida, Cikgu Rusiah, Cikgu Maziah, ustazah Siti Mariam, dan beberapa orang pelakon pembantu.
Salam aidil fitri buat semua!

19 September 2008

BERITA AKTIVITI


MEMBURU LAILATUL QADAR

Pada 22 Ramadhan ini, satu ceramah bertajuk 'MEMBURU LAILATUL QADAR' akan diadakan di Dewan Sekolah.

Ceramah akan disampaikan oleh ustaz yang tak asing lagi, seorang guru agama dan juga Guru Kaunseling, Ustaz Sahari Anuar.

Semua pelajar, guru dan kakitangan dijemput hadir.

BERITA PELAJAR

CERAMAH PERSEDIAAN PMR

Pada 18 September lalu, Guru Kaunseling, Ustaz Tengku Zulkeplee telah menyampaikan ceramah kepada semua pelajar yang bakal menduduki PMR pada tahun ini.

Ceramah yang bertajuk "PERSEDIAAN SEBELUM MEMASUKI DEWAN PEPERIKSAAN" disampaikan secara berkesan sebagai persediaan sebelum pelajar menduduki PMR sebaik sahaja berakhirnya bulan Ramadhan.

Menurut Ustaz Tengku Zulkeplee, ceramah ini mesti diadakan bagi menjamin persediaan yang menyeluruh dari segi mental kerana ramai pelajar kecundang apabila gagal mengawal emosi dan tekanan perasaan apabila berada dalam dewan peperiksaan.

BERITA PELAJAR

MAJLIS KHATAM AL-QURAN DAN BERBUKA PUASA

Pada 24 September ini akan diadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Berbuka Puasa Warga Sekolah. Majlis akan bermula jam 5 petang dengan program Khatam Al-Quran dan akan dipimpin oleh Ustaz Sahari Anuar. Wakil Bahagian Pendidikan juga akan hadir untuk bersama-sama warga sekolah berbuka puasa.

selepas khatam al-Quran, akan diadakan penyampaian bantuan dan zakat kepada pelajar-pelajar miskin dan yatim.

Kepada semua pelajar dan ibubapa yang tinggal berhampiran dengan sekolah dijemput hadir untuk bersama-sama warga sekolah berbuka puasa.

Pihak sekolah juga menjemput wakil komuniti berhampiran untuk bersama-sama warga sekolah berbuka puasa.

12 September 2008

FORUM BLOG CIKGUJUNAIDI

FORUM UNTUK SEMUA

Blogcikgujunaidi memperkenalkan Forum untuk semua pengunjung blog Al-Falah. Berdaftarlah dengan forum blog cikgujunaidi dan bersama-sama berkongsi idea, pandangan, masalah, petua dan sebagainya.

Sila berkunjung ke Blog Cikgu Junaidi dan Forum Blog Cikgujunaidi.

BERITA SEMASA

PENGETUA BARU

Bekas pengetua, Ustaz Che Ali akan bertukar ke SMAASZA, Batu Buruk sebagai guru penolong berkuatkuasa 1 September selepas melalui beberapa siri tsunami. Pengganti beliau di AlFalag ialah Ustaz Aziz Muda dari Bahagian Pendidikan.

Warga AlFalah mengalu-alukan kedatangan pengetua baru dan kepada Ustaz Che Ali, diucapkan selamat bertugas di tempat baru, segala jasa baik dan kenangan bersama akan diabadikan.

08 September 2008

BERITA SEMASA

PERTUKARAN PENGETUA

Sehingga berita ini ditulis, Pengetua Ustaz Che Ali Che Mat dikhabarkan tidak akan bertukar ke SMA. Maarif, Besut, sebaliknya menunggu arahan untuk bertukar ke sekolah lain.

Sebelum ini, Penolong Kanan 1 SMA. Maarif diberitakan akan mengambilalih jawatan Pengetua SMA. Alfalah manakala Ustaz Che Ali akan mengambil tempat sebagai Guru Penolong Kanan 1 di SMA. Maarif.

Atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, pertukaran tersebut ditangguhkan buat sementara waktu.

BERITA KEBAJIKAN

SUMBANGAN KURMA

Sebanyak 480 kotak kurma diagihkan kepada pelajar-pelajar yang tidak tinggal di asrama. Menurut Penyelia Hal Ehwal Pelajar (Bahagian Pendidikan), kurma ini adalah sumbangan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Setiausaha Biro Kebajikan, Cik Suriyani Hassan mengagihkan kesemua kurma kepada pelajar melalui ketua kelas masing-masing.

BERITA PEPERIKSAAN

SELAMAT MENDUDUKI UPSR 2008

Esok seramai 26 orang pelajar Sekolah Rendah Agama Bersepadu AlFalah, Kemaman akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Menurut Guru Kanan SRABAK, Ustazah Salbaniah Ali, persiapan dan persediaan UPSR telah dibuat sejak 2 tahun yang lalu dan diharapkan keputusan UPSR pada tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun lepas dan menjadi kayu pengukur bahawa SRAB mampu memberikan pencapaian yang terbaik hasil kerjasama semua pihak terutamanya para guru, pihak sekolah dan Bahagian Pendidikan.

Pihak pengurusan sekolah dan PIBG mengucapkan selamat menduduki peperiksaan semoga beroleh kejayaan yang cemerlang!

02 September 2008

BERITA PELAJAR


IMTIAZ KUALA TERENGGANU JOHAN


Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-51, AlFalah menjadi tumpuan kontijen yang akan menyertai pertandingan perarakan. AlFalah tidak ketinggalan untuk menyertai pertandingan buat kali yang pertama.

Semua sekolah yang menghantar kontijen masing-masing seperti SMA. Khairiah, Imtiaz Kuala Terengganu(KOSPINT), SMA. Sultan Zainal Abidin, Ladang, SMA. Atas Sultan Zainal Abidin Batu Buruk dan UDM merupakan pasukan favourite yang sentiasa mendapat tempat dalam setiap pertandingan perarakan.

Pada 31 Ogos 2008, seperti yang telah diramalkan, semua kontijen yang menginap di AlFalah memenangi hadiah dalam pertandingan perarakan Hari Kemerdekaan ke-51.

KOSPINT memenangi tempat pertama dalam kategori Sekolah Menengah Tidak Beruniform dan membawa pulang piala dan wang tunai RM4000. Manakala SMAASZA Batu Buruk mendapat tempat kedua (RM3000) dan SMAASZA Ladang pula meraih tempat ketiga dalam kategori yang sama membawa pulang sebuah piala serta wang tunai RM2000.

Sebagai pasukan yang berpengalaman, sewajarnya masing-masing mencapai kemenangan, dan pasukan AlFalah yang pertama kali menyertai pertandingan ini sekadar berpuashati sebagai pasukan biasa-biasa sahaja.

Semua pasukan dari daerah Kemaman tidak mendapat apa-apa kemenangan.

29 August 2008

Berita Sensasi

USTAZ CHE ALI BERTUKAR?

Pada hari ini, tiba-tiba suhu pertukaran pengetua mulai dirasai oleh seluruh warga AlFalah. Mulai dengan khabar angin, kemudian timbul desas-desus, dan akhirnya berita ini menjadi sahih apabila menerima kiriman faks dari Bahagian Pendidikan.

Sah, Ustaz Che Ali ditukarkan ke Sek. Men. Agama Maarif, Besut sebagai Guru Penolong Kanan, menggantikan Ustaz Abdul Rahman Mohamad yang akan menjadi Pengetua baru di Al-Falah.

Suasana di AlFalah menjadi panas seketika kerana terkejut dan di luar jangka. Masing-masing tidak pernah menyangka bahawa Ustaz Che Ai yang baru 2 tahun menjadi pengetua, terpaksa bertugas di tempat baru, nun di daerah Besut.

Ramai yang menyangka berita pertukaran ini sebagai gurauan dan khabar angin sahaja. Namun, akhirnya warga AlFalah terpaksa akur dengan arahan dan berita 'mengejut' ini.

Kami di AlFalah, mendoakan yang terbaik buat ayahanda Ustaz Che Ali, semoga beliau tabah menghadapinya dan akan mendapat semangat baru, dan sentiasa 'think positive'.

ALFALAH MENJADI PILIHAN

Sempena menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-51, AlFalah telah dipilih menjadi pusat penginapan beberapa buah kontijen sekolah yang akan menyertai perarakan. Semalam, kira-kira 300 orang pelajar dari beberapa buah sekolah dari daerah Kuala Terengganu telah menginap di Al-Falah untuk menjalani raptai perarakan Hari Kemerdekaan.

Antara yang berkampung di sini ialah Univerdisiti Darul Iman (UDM)< Sek. Men. Atas Sultan Zainal Abidin Baru Buruk, Sek, Men. Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, Sek. Men. Agama Khairiah, Sek. Men. Tengku Bariah, Sek. Men. Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malik dan peserta dari tuan rumah sendiri.

Pada 30 Ogos ini, sekali lagi kontijen perarakan akan tertumpu di sini bagi menyertai perarakan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini. Pada tahun ini, daerah Kemaman menjadi tuan rumah sambutan Hari Kemerdekaan, yang pertama kali diadakan di luar daerah Kuala Terengganu.

13 August 2008

BERITA GURU

SELAMAT PENGANTIN BARU

Seluruh warga AlFalah, guru-guru, kakitangan dan pelajar mengucapkan SELAMAT PENGANTIN BARU buat Ustazah Siti Mariam binti Daud yang akan melangsungkan perkahwinan pada 16 Ogos 2008 ini.

Semoga berbahagia dan kekal sehingga ke akhir hayat!

BERITA GURU

KURSUS PERKEMBANGAN GURU DAN KAKITANGAN 2008

Pada 14 hingga 16 Ogos 2008, 99 guru dan kakitangan akan mengikuti kursus yang akan diadakan di INTAN Wilayah Timur (INTIM), Kemaman.

Guru-guru dan kakitangan akan mula mendaftar di INTAN pada jam 2.30 petang dan diikuti dengan slot pertama yang akan disampaikan oleh Pegawai Intan.

Antara penceramah jemputan ialah Tuan Haji Latif bin Salleh (PP Penaziran Bahagian Pendidikan), Encik Safruddin bin Ali Hussain (Pegawai Pelajaran Daerah Hulu Terengganu), Tuan Haji Kifayatullah bin Dato' Mohd Said (Pengetua SMK. Padang Mengkuang, Ktrg) selain 2 orang pegawai INTAN.

Majlis penutup akan disempurnakan oleh KPP Bahagian Pendidikan, Tuan Haji Abdul Aziz bin Abdullah pada 16 Ogos 2008.

OPSYEN SABK

SABK ATAU JHEAT

Guru-guru tetap JHEAT diberi tempoh sehingga 24 Ogos ini untuk menyerahkan surat opsyen sama ada menerima atau menolak tawaran yang dikemukakan oleh Bahagian Pendidikan Islam (BPI).

Jika dulu ramai guru merasa bimbang jika opsyen berkenaan mengkehendaki guru-guru tanpa diploma pendidikan diminta menjalani kursus dalam cuti.
Ternyata, guru-guru JHEAT diberi keistimewaan, apabila diploma pendidikan tidak dijadikan prasyarat, malah guru tetap diberi beri keistimewaan tukarlantik. Tukarlantik bermakna, kekananan dan servis diambilkira dari mula-mula jawatan disandang ketika dilantik oleh SUK dan bukannya bermula 1 November 2007.

Guru-guru yang memilih menerima opsyen diberi kenaikan gaji, kekal mengajar di sekolah yang sama, peluang kenaikan pangkat dan gred seperti amalam KPM, tidak perlu mempunyai diploma dan banyak lagi kelebihan yang ditawarkan.

Guru-guru JHEAT juga boleh memilih untuk kekal dengan JHEAT dan kekal mengajar di sekolah yang sama tanpa kenaikan gaji. Peluang kenaikan pangkat dan gred tidak diberi jaminan yang jelas.
Jadi semuanya terpulanglah kepada diri masing-masing, samada untuk kekal dengan JHEAT atau memilih untuk menyertai SABK.

06 August 2008

SETINGGI-TINGGI TAHNIAH!

Setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada penama-penama berikut di atas anugerah perkhidmatan cemerlang 2008.

1. Syarifah Sakinah bt Engku Muda
2. Morni Hasniza bt Hassan
3. Azizah bt Omar Baki
4. Salbaniah bt Ali
5. Wan Ahmad Bushra bin Wan Zainal Abidin
6. Mazlan bin Abd Razak
7. Ahmad Shukri bin Alias

Ucapkanlah syukur akhamdulillah atas kurniaan yang diberikan olehNya.

Semoga anda terus memberikan perkhidmatan cemerlang dan terbaik!

04 August 2008

MAJLIS TAKLIMAT DAN PENYERAHAN SURAT TAWARAN PERTUKARAN PELANTIKAN MELALUI OPSYEN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN NEGERI TERENGGANU KE KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Semua guru tetap JHEAT akan dijemput untuk majlis diadakan sebagaimana berikut:

Tarikh : 8 Ogos 2008
Masa : 8.45 pagi
Tempat : DewanAuditorium, Taman Budaya, Kuala Ibai.

Blogger juga dengar cerita, semua guru tetap sudahpun disenaraikan mengikut rangking senioriti, maknanya, kalau guru yang telah lama berkhidmat dan menjawat gred tertinggi, akan berada dalam rangking yang lebih atas.

Saspen juga kalau betul-betul semua perjawatan dan jawatan yang sedang disandang akan dibuat penstrukturan semula.

Apapun, kita tunggu dan lihat pada 8 Ogos ini.

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!

01 August 2008

30 July 2008

KURSUS GURU ALFALAH : PERUBAHAN TARIKH

Besar kemungkinan kursus guru akan diadakan pada 21 hingga 23 Ogos 2008 dan bukannya pada 14 hingga 16 Ogos 2008.Perubahan ini disebabkan oleh pertindihan jadual kelas tambahan cuti terangcang.

Kursus yang akan diadakan di INTAN WILAYAH TIMUR (INTIM) akan disertai oleh semua kakitangan, berkursus bersama-sama guru-guru.

Pihak urusetia sedang berurusan dengan pihak JHEAT, INTAN dan fasilitator bagi menjayakan kursus pada kali ini.
JHEAT ATAU JAPIM : RAMAI MEMILIH JAPIM

Ramai yang masih menanti dan menanti, bilakah guru tetap JHEAT akan diberi opsyen sama ada nak memilih Kerajaan Negeri (JHEAT) atau JAPIM. Mereka yang telah lama mengajar, tidak ada dip***** lebih gusar dan gelisah. Kalau mereka yang tidak mempunyai dip***** dan diminta menjalani pengajian lanjutan, mungkin ramai yang akan berfikir 10 kali.

Menurut sumber yang sahih, lebih daripada 400 guru tetap JHEAT akan dipanggil untuk diberi penerangan oleh pihak JAPIM dalam bulan Ogos nanti, dan semuanya akan diselesaikan dan berkuatkuasa pada 1 Sepetember 2008.

Yang lebih menggembirakan, maklumat yang disampaikan kepada blogger, guru tetap yang tidak mempunyai Sijil Perguruan atau Diploma Pendidikan juga akan diserap dan ditukarlantik tanpa syarat.

Dalam perkataan lain, hampir 100% guru JHEAT akan memilih opsyen menyertai JAPIM kerana banyak peluang, keistimewaan dan kelebihan memilih JAPIM.

Menurut sumber itu lagi, sebaik-baiknya semua guru memilih opsyen JAPIM.

29 July 2008

ADAKAH MIMPI BOLEH MENJADI REALITI?

Sesekali bila difikirkan, sukar untuk kita terima. Sukar untuk kita memahami akan mimpi. Mimpi Tsunami.Mengapa ianya harus terjadi?

Tidak ada yang mustahil, semuanya boleh berlaku dengan sekelip mata. Adakah kita akan kehilangan seseorang yang kita sayangi dan yang kita senangi dalam masa yang terdekat ini?

Itulah yang bermain di fikiranku sejak beberapa hari ini. Sukar juga untuk aku membuat spekulasi. Walau apapun yang berlaku, kta redha. Semuanya ada sebab dan musabab. Semuanya terbaik untuk kita. Terbaik untuk semua.

Datang silih berganti, yang patah akan tumbuh dan yang hilang akan berganti.itulah adat dunia. Tiada yang kekal walapun orang yang kita sayangi!

28 July 2008

MESYUARAT AGUNG BADAN KEBAJIKAN GURU & KAKITANGAN

Pada 13 Ogos, jam 2.30 petang akan diadakan Mesyuarat Agung Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan Sek. Men. Agama Al-Falah, Kemaman kali yang pertama.

Mulai tahun ini, Badan Kebajikan Guru dan Kakitangan Al-Falah diterajui oleh guru-guru dan kakitangan yang akan dipilih melalui Mesyuarat Agung yang pertama kali diadakan bagi memberi peluang kepada semua warga AlFalah memilih ahli jawatankuasa yang akan memimpin mulai Ogos 2008 hingga Ogos 2009.

Jawatan yang akan dipertandngkan ialah Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha, Penolong Setiausaha, Bendahari, Penolong Bendahari serta 6 orang ahli jawatankuasa serta seorang juru audit dalaman.
Selepas mesyuarat agung nanti, Pengetua akan menjawat jawatan sebagai Penaung dan bukan lagi sebagai Pengerusi seperti sekarang.

Kepada guru-guru dan kakitangan yang masih belum menjelaskan yuran diminta berbuat demikian secepat mungkin.

MAGHI MAKANG PENGAT DERIANG

Asrama Alfalah mengadakan Pesta MAGHI MAKANG PENGAT DURIAN pada 28 Julai 2008. Menurut Pengarah Projek, Cikgu Ahmad Pauzi, sebanyak 180 biji durian telah dibeli dari kebun durian Kijal akan dijamu kepada semua pelajar asrama termasuk jemputan yang terdiri daripada guru-guru dan kakitangan sekolah.

Setiap tahun, asrama Alfalah menganjurkan pesta seumpama ini dan pada tahun ini menurut Cikgu Ahmad Pauzi, pesta ini lebih meriah dan bermakna kerana semua guru dan kakitangan akan turut sama menikmati pengat durian special yang dimasak oleh tukang masak asrama yang terkenal dengan kemahiran masak-memasak.

Pihak asrama merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada bekas pelajar AlFalah, Encik Azmi yang kini bergelar tauke kitar semula (tauke besi buruk) yang turut memberi sumbangan buah durian bagi menjayakan pesta Maghi Makang Pengat Deriang.

Pesta Maghi Makang Duriang akan berlangsung di dewan makan asrama pada jam 4.30 petang dan turut dihadiri oleh pengetua, Ustaz Che Ali bin Che Mat.

CERAMAH ISRAK & MIKRAJ

Unit Kerohanian dan Sahsiah Pelajar mengadakan ceramah sempena Israk dan Mikraj di Dewan AlFalah pada jam 8 pagi. Penceramah jemputan ialah Ustaz Mohd Yusof bin Razak, seorang pendakwah bebas.

Semua pelajar dan guru mengikuti ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Mohd Yusof selama 1 jam yang disampaikan dengan penuh keinsafan.

26 July 2008

(FOTO HIASAN SAJE)TERSEPIT...babi betina dari Kemasik tersepit

BABI KEMASIK SUKA MENGUSIK

Pagi ini, 26 Julai aku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada seseorang yang sangat aku kenali. Suaranya biasa dan bersahaja.

Apabila aku bertanya, di mana beliau berada, dia menjawab, " Aku sedang berehat dekat Awana Kijal'. Aku kaget seketika, buat apa kat Hotel Awana pagi-pagi buta ini, sedangkan beliau sepatutnya sudah berada di sekolah.

" Aku terlanggar babi!" Terpacul kata-kata dari mulutnya, spontan. Rupa-rupa, Matrix TAL 1922 dari Kampung Nibung, Kuala Terengganu merempuh seekor babi (atau bahasa lemah -lembutnya dipanggil khinzir!).

Pengetua Al-Falah, Ustaz Che Ali Che Mat tidak perasan seekor babi dari Kemasik yang agak besar melintas di depan keretanya. Apa lagi, berdentumlah dan terperanjatlah babi Kemasik yang suka sangat mengusik pengguna jalanraya. Pengetua tidak mengalami sebarang kecederaan , dan mungkin babi betina (sebab pakai lipstik, eye shadow serta bedak pipi) berkenaan sedang menahan kesakitan akibat dirempuh kereta Ustaz Che Ali dalam kelajuan 130 km sejam.

Wartawan Sinar Harian yang dihubungi berkata, beliau tidak mendapat apa-apa maklumat daripada mangsa, dan beliau tidak sempat nak berkejar ke tempat kejadian sebab belum mandi lagi.

Ustaz Che Ali ketika dihubungi berkata, beliau sedang menunggu mekanik dapat melihat kerosakan pada keretanya dan yang pasti kereta itu tidak dapat dihidupkan. (Ketika berita ini ditulis, tidak pasti sama ada babi itu masih hidup atau sudah mati!).

Seluruh warga AlFalah mengucapkan takziah atas kejadian yang tidak diingini itu, dan bersyukur semuanya selamat.

24 July 2008

MIMPI TSUNAMI DI ALFALAH

Malam tadi, ketika daerah kelahiran Menteri Besar Terengganu ditimpa hujan renyai-renyai di awal pagi, aku enak dibuai mimpi, aku terdengar seperti ada suara berbisik di telingaku. Tapi aku yakin, bahawa bisikan itu hanyalah mimpi, bukannya bisikan isteri tersayang. Sebab isteriku tak suka berbisik, dia suka berkata-kata dalam tidur. Hehehehe .....Aku terus menyambung tidurku sehingga ayam kokok (ayam jantan,bukan ayam betina,tau!) di Jalan Dato.

Aku masih teringat-ingat akan bisikan mimpi malam tadi. Seolah-olah Alfalah akan menerima suatu perubahan atau gelombang yang aku yakin bukannya Tsunami. Ahh...semuanya itu hanya mimpi, buat apa nak dipening-peningkan kepala....

Kadang-kadang,kata orang mimpi boleh menjadi alamat atau petanda tertentu. Kalau benar akan berlaku Tsunami, apakah Tsunami itu?

Bila aku ke sekolah pagi itu, aku lihat kawasan asrama puteri dan sekitar Kampung Besut dinaiki air kerana hujan lebat. Semua longkang kecil dan besar dipenuhi air. Oh....rupa-rupanya mimpiku malam tadi benar-benar memberi isyarat akan berlakunya banjir dan bukannya Tsunami.

Tetapi, adakah ada perkara lain yang akan berlaku di Alfalah selain peristiwa Asrama Puteri dinaiki air? Atau akan ada perubahan besar akan berlaku?Apa? Bila? Siapa? Aku tidak berani membuat spekulasi.

Seperti biasa, aku sentiasa memikirkan yang positif, apapun yang bakal berlaku atau yang telah berlaku, pasti ada kebaikan dan rahmat di sebaliknya. Ambil positif!


PROGRAM 'MENDAMBAKAN KASIH SAYANG ILLAHI'

Pada 23 Julai 2008, sekumpulan bekas pelajar AlFalah yang kini menuntut di Institut Al-Quran Terengganu (dulunya Maahad Tahfiz) yang berkebetulan sedang bercuti semester telah sudi menjayakan program untuk pelajar-pelajar ASPURI.

Program yang bermula pada sebelah petang dengan aktiviti suaikenal, riadah dan penyampaian mesej berlangsung dengan penuh harmoni dan ceria. Pada sebelah malamnya pula, pelajar-pelajar diberi bimbingan dan nasihat dalam slot selepas solat Isyak di surau sekolah.

Pihak sekolah merakamkan ribuan terima kasih atas kesudian dan kesungguhan bekas pelajar AlFalah yang terdiri daripada Siti Fatimah Azzahrah bt Muhd Zuki, Nurul Syatilla bt Azmi, Farhani bt Razali, Siti Khadijah bt Ali dan Siti Nur Syafiqah bt Saibi dalam menyumbangkan bakti kepada Al-Falah.

Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa baik dan keluhuran budi anda semua.

23 July 2008

CERAMAH MOTIVASI & PERSEDIAAN MENGHADAPI PMR / SPM 2008

Pada 24 julai 2008, satu siri ceramah motivasi akan diadakan di Dewan Sekolah bagi semua pelajar tingkatan 3 dan 5 yang bakal menduduki PMR dan SPM pada penghujung tahun ini.

Menurut PK HEM, ceramah dan kursus motivasi serta petua menangani stres bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan perlu diadakan dan diberi tumpuan memandangkan sebahagian besar pelajar menghadapi masalah tekanan mental dan perasaan. Tambah beliau lagi, pada tahun ini semua pelajar yang akan menduduki PMR dan SPM telah banyak kali diberi pendedahan kursus motivasi dan kali ini mereka diberi peluang sekali lagi untuk lebih bersedia menghadapi peperiksaan.

Ceramah dan kursus ini akan dikendalikan oleh YM Raja Ismail Raja Shahdan, seorang pakar motivasi terkenal dari Kuantan.
KURSUS GURU ALFALAH 2008

AlFalah akan menganjurkan Kursus Pengurusan Sumber Manusia untuk guru-guru Al-Falah selama 3 hari di INTAN Wilayah Timur (INTIM), Kemaman bermula 14 hingga 16 Ogos 2008.

Kursus yang akan berlangsung selama 3 hari ini akan dikendalikan oleh YM Raja Ismail Raja Shahdan dari Kuantan.

Pada tahun lalu, AlFalah mengadakan kursus seumpama ini di Cititel Hotel, Kuala Lumpur. Memandangkan keadaan ekonomi yang tidak mengizinkan, pihak sekolah bercadang untuk mengadakan kursus ini d premis kerajaan bagi menjimatkan kos pembiayaan kursus.
KEM ELIT PMR ZON 5

Seramai 45 pelajar elit PMR terpilih untuk mengikuti Kem Elit di Awang Beach Resorts, Rantau Abang selama 3 hari bermula 24 Julai 2008.

Menurut Pengurus Projek PMR, Cikgu Rusiah Abdullah, kem ini turut disertai 45 pelajar elit PMR dari Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, Dungun.

Kursus kecemmerlangan akademik ini dianjurkan oleh Bahagian Pendidikan(JHEAT) dan dikendalikan sepenuhnya oleh guru-guru yang dilantik sebagai fasilitator mengikut subjek masing-masing.

17 July 2008

KEM KESEDARAN DAN PEMANTAPAN JATI DIRI

Seramai 40 orang pelajar telah dipilih untuk mengikuti Kursus Kesedaran dan Pemantapan Jati Diri di Kem Wataniah, Bukit Kuang, Kemaman selama 3 hari bermula 17 Julai 2008.

Peserta terdiri daripada pelajar perempuan dari tingkatan 2 dan 4. Kursus ini adalah bertujuan untuk menyuntik semangat jati diri dan kesedaran bagi menghadapi pelbagai cabaran pada masa kini.

Para peserta akan diberi latihan kawad kaki, bimbingan dan kaunseling selain aktiviti kerohanian.

3 orang fasililator dari Bahagian Pendidikan akan mengambil bahagian selain 2 orang fasilitator jemputan dari Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu.

15 July 2008


LAWATAN KE SARAWAK

Badan Pengawas AlFalah merancang untuk mengadakan Lawatan Sambil Belajar pada kahir tahun ini sebagai menghargai sumbangan yang diberikan oleh pengawas sekolah.

Menurut Guru Penasihat Badan Pengawas, Cikgu Zahian Harun, seramai 20 orang pengawas akan dipilih untuk mengikuti rombongan ini dan diiringi beberapa orang guru penasihat.

Sepanjang lawatan terssbut, rombongan akan melawat ke beberapa buah sekolah terpilih, tempat-tempat menarik, tempat bersejarah dan beberapa destinasi lain.

Sebelum ini, pada bulan Februari lepas Cikgu Zahian dan Cikgu Suhaiza sudah membuat tinjauan ke Sarawak untuk mengenalpasti tempat-tempat menarik selain kemudahan lawatan yang bakal ditempah apabila rombongan sudah bersedia untuk ke Sarawak.

Pihak sekolah akan membuat surat rasmi ke Bahagian Pendidikan untuk memohon kelulusan sebelum membuat beberapa persediaan awal.
KIRI KANAN, KIRI KANAN, KIRI KANAN!


PERKHEMAHAN PERDANA : ALFALAH TERUS GIAT BERLATIH

Kontijen AlFalah yang bakal menyertai Perkhemahan Perdana anjuran Bahagian Pendidikan, JHEAT terus giat berlatih sebagai persediaan.

Latihan kawad di bawah tunjukajar Jurulatih Askar Wataniah Kem Bukit Kuang diadakan setiap hari bermula jam 3 petang. Latihan kawad disertai oleh peserta badan beruniform lelaki dan perempuan.

Pada sebelah malam pula, diadakan latihan membuat gajet, ikatan, pertolongan cemas dan juga persembahan.

Guru-guru penasihat dan pembimbing turut sama berganding bahu dan memberi tunjuk ajar kepada para peserta yang akan menyertai Perkhemahan pada 16 - 18 Julai 2008 di Pusat Kokurikulum, Merang, Setiu.
Cikgu Zakaria cuba menghalang tendangan Ustaz Zulkifli


PENJARING GOL TERBANYAK

Fiesta Futsal Asrama 2008 menyaksikan Ustaz Zulkifli terus mengungguli sebagai penjaring gol terbanyak setakat ini. Beliau yang juga bakal dinobatkan sebagai Pemain Terbaik telah menjaringkan 12 gol, belum diambil kira dalam perlawanan separuh akhir dan akhir yang akan berlangsung pada 15 dan 16 Julai di Gelanggang Futsal Asrama.

Cikgu Zakaria yang juga pemain futsal setakat ini masih ketandusan gol, mungkin kerana berat badan yang berlebihan atau lemak yang berlebihan menyebabkan beliau terus gagal meledakkan sebarang gol.

Cikgu Pauzi selaku Penolong Kanan Koko yang pertama kali turun padang sebagai pemain futsal mengaku bahawa beliau kepenatan walaupun sempat beraksi selama 10 minit. Kesungguhan Cikgu Pauzi terserlah apabila beliau jatuh terlentang di gelanggang futsal sebelum dibantu oleh rakan sepasukan. Tahniah Cikgu Pauzi!

HMM...BAU NASIK MINYAK SIAPA NI?

Angin sepoi-sepoi bahasa membisikkan aroma nasi minyak dan gulai kawah dalam masa yang terdekat ini.

Nasi minyak siapakah ini? Mungkinkah nasi minyak empunya diri yang bernama Siti Mariam Daud? Atau nasi minyak pemilik kereta TS 73?

Kalau dicongak-congak dan ditenung-tenung, rasanya tiada orang lain lagi yang hampir menjejakkan kaki di jinjang pelamin. Sudah lama tak merasa nasi minyak orang nak jadi pengantin baru. Yang dah jadi pengantin lama acapkali jugak buat jamuan nasik minyak di bilik guru. Tapi itu nasik minyak hari jadi, hari tanggal pusat dan hari lahir, tak sama nasik minyak gulai kawah orang naik pelamin.

Adakah 2008 akan menyaksikan semua guru GSTT AlFalah ( yang sudah berpunya, jangan pulak nak perasan!) akan sama-sama memotong kek 7 tingkat.

Alangkah indah dan bahagianya jika....

Apa-apapun, seluruh warga AlFalah menunggu-nunggu kad undangan berlorek keemasan sampai di meja. Kalau beritahu awal-awal, taklah panik nak beli hadiah perkahwinan. Kalau beri kad undangan last minute, alamat dapat hadiah gelas RM12 sedozenlah jawabnya. Kenduri gelaslah kita!

13 July 2008

FIESTA NASYID ALFALAH 2008

Pada 3 Julai 2008, sebanyak 24 kumpulan nasyid yang terdiri daripada pelajar-pelajar tingkatan 1,2 dan 3 telah menyertau Pertandingan Nasyid yang dianjurkan oleh Pelatih UDM yang sedang menjalani latihan mengajar di sekolah ini.

Pertandingan ini berjaya mencungkil bakat pelajar lelaki dan perempuan dan masing-masing berpeluang merebut gelaran Juara dan Naib Juara Fiesta Nasyid AlFalah 2008.

Program seperti ini sepatutnya diadakan setiap tahun dan tidak terhad kepada pertandingan nasyid semata-mata.

Menurut Penyelaras Ko-Kurikulum, Cikgu Ahamd Pauzi Abu Bakar, banyak lagi program lain akan diadakan sebagai aktiviti selepas PMR seperti pertandingan pidato, syarahan, khat, catur dan juga tilawah.
FIESTA FUTSAL ASPURA 2008

Sebanyak 14 pasukan telah menyertai Fiesta Futsal Aspura AlFalah yang pertama kali diadakan pada tahun ini.

Menurut Pengarah Fiesta Futsal Aspura, Ustaz Zulkifli Makhtar,pertandingan futsal ini merupakan Pertandingan Futsal Tertutup Asrama dan sambutan yang diberikan oleh penghuni asrama di luar dugaan.

Pasukan futsla yang terdiri daripada guru-guru juga berjaya ke peringkat separuh akhir. Pasukan ini terdiri daripada warden aspura dan kombinasi pelatih UDM yang sedang menjalani latihan amali di sekolah ini.

Fiesta ini berlangsung selama 3 hari bermula 8 Julai 2008 di Gelanggang Futsal AlFalah.
PROGRAM BERSIH KUBUR

Seramai 30 pelajar asrama menyertai aktiviti membersih Tanah Perkuburan Islam Jabur Kubur dekat Kampung Mak Cili, Kemaman.

Aktiviti ini sebahagian daripada program kemasyarakatan yang dianjurkan oleh Koperasi Sekolah dengan kerjasama Asrama Al-Falah.

Aktiviti turun padang dan mendekati masyarakat merupakan aktiviti yang memberi faedah kepada pelajar agar tidak kekok berada dalam komuniti dan sedar akan tanggungjawab sosial yang dipikul oleh setiap ahli masyarakat.

Turut sama dalam program ini ialah Cikgu Adnan, Ustaz Hamzah dan Cikgu Rodziah.

05 July 2008

Check out my Slide Show!

Tergelak mendengar seloka

Pengetua menenangkan seorang pelajar yang sebak

Pengetua menerima cenderhati daripada Tn. Hj.Razak Jusoh

Ustaz Che Ali menyampaikan cenderahati kepada Pengarah Yadim, En. Mahadi Awang


PERASMIAN PENUTUP KEM PERKASA REMAJA

Perasmian Penutup Kem Perkasa Remaja yang dianjurkan oleh YADIM ZON TIMUR dengan kerjasama JHEAT disempurnakan oleh Tuan Hj. Razak bin Jusoh (Pen. Pesuruhjaya Hal Ehwal Pelajar) di Dewan Abdul Rahman Limbong, Institut Integriti Negeri Terengganu.

Dalam ucapan tersebut, Tuan Hj Razak Jusoh berpesan kepada semua peserta supaya berusaha mempertingkatkan potensi diri dan menjadi pelajar yang cemerlang dalam bidang akademik dan juga sahsiah. Tambah beliau lagi, semua pelajar mempunyai potensi dan keupayaan yang sama dan tidak mustahil untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Pihak jabatan sentiasa memberi sokongan untuk mengadakan pelbagai kursus untuk para pelajar.

Sebelum itu, Ustaz Che Ali bin Che Mat, Pengetua SMA.Al-Falah, Kemaman mengharapkan semua peserta akan beroleh manfaat dan mampu untuk mengubah diri masing-masing kerana banyak yang dicurahkan oleh pihak sekolah mahupun jabatan untuk mengadakan pelbagai kursus. Jika pelajar tidak mahu berubah, semua usaha, tenaga dan wang ringgit yang dibelanjakan akan menjadi sia-sia.

Pengarah YADIM Zon Timur, Encik Mahadi Awang dalam ucapannya merakamkan ucapan terma kasih kerana JHEAT dan SMA. Al-Falah kerana memberikan kerjsama yang baik kepada YADIM untuk mengadakan kem seumpama ini. Beliau juga mengharapkan semua peserta akan membawa pulang semua ilmu yang diperoleh untuk dipraktikkan dalam kehidupan.

04 July 2008

Tak tahu nak cari jalan keluar!

Terjumpa peta harun karun!

Wirawati Al-Falah

Janganlah geletek, gelilah!


KEMBARA KEM PERKASA REMAJA

Seramai 130 orang pelajar yang mengikuti Kem Perkasa Remaja anjuran YADIM dan JHEAT di Institut Integriti Negeri Terengganu, Teluk Kalong telah menjalani aktiviti kembara di perbukitan Teluk Kalong.

Para peserta diberi bimbingan dan tunjuk ajar oleh jurulatih dan sukarelawan YADIM sebelum memulakan kembara. Macam-macam pengalaman dikutip oleh para peserta dari mula mendaki bukit berhutan sehingga ke suatu kawasan yang ditetapkan sebagai garisan penamat.

Sepanjang kembara tersebut, para pelajar diberi penunjuk arah dan dibantu oleh sukarelawan dan juga guru. Cikgu Adnan, Cikgu Pauzi dan Cikgu Junaidi turut serta dalam kembara tersebut.

Cg Zorita sibuk melayan pelanggan

Guru-guru KH sibuk memilih dan mencuba gelang!

Cg Morni sedang mencuba gelang untuk hari raya nanti

Pn. Fatimah pengedar Kacip Fatimah. Mari-mari, ada diskaun!

RAGAM HARI KOPERASI

Macam-macam ragam dapat dilihat sepanjang Hari Koperasi Sekolah 2008. Ada yang menjadi usahawan kismis, usahawan gelang dan manik, usahawan cuci kereta. Tidak kurang pula sibuk membeli-belah, terutamanya guru wanita. Gerai menjual gelang dan barang kemas (bukan ori!), gerai produk herba dan gerai pakaian paling mendapat sambutan hangat.
Bebola ikan ke bebola api ni???

Minuman penghilang dahaga.

Produk ini boleh dibeli dengan Siti Fatimah(Jurutaip)


JUALAN HARI KOPERASI SEKOLAH 2008

Banyak aktiviti jualan diadakan sempena Hari Koperasi Sekolah 2008. Pada tahun ini, banyak gerai jualan dibuka oleh peniaga-peniaga sekitar daerah Kemaman yang turut memeriahkan lagi Hari Koperasi Sekolah 2008.

Terdapat gerai menjual makanan seperti keropok, burger, roti, minuman, ubat-ubatan,pakaian dan sebagainya.

Antara yang mendapat sambutan ialah Kismis Tok Guru yang dijual di salah sebuah gerai. Kismis ini dikabarkan sesuai untuk mereka yang menuntut ilmu, menghafaz Al-Quran dan hadis dan mereka yang akan menduduki peperiksaan. Kismis yang telah dibacakan ayat-ayat Al-Quran dan didoakan oleh ustaz dan para pelajar Maahad Tahfiz ini boleh dibeli melalui Puan Siti Fatimah.

03 July 2008

MAJLIS TEMU MURNI 2008

Majlis Temu Murni untuk ibu bapa pelajar diadakan pada 3 Julai 2008 bertempat di Dewan A-Falah sejak jam 8.30 pagi. Majlis yang menghimpunkan semua ibu bapa dan pelajar diadakan saban tahun sebagai suatu majlis hubungan silaturrahim antara ibu bapa dan warga pendidik untuk menilai dan memantau kemajuan pembelajaran pelajar. Pengetua, Encik Che Ali Che Mat meminta semua ibu bapa sama-sama memberi perhatian yang serius terhadap akademik anak masing-masing. Selain itu, Encik Che Ali juga melahirkan rasa kebimbangan terhadap masalah sosial pelajar-pelajar pada hari ini terutamanya pelajar perempuan dan mengharapkan semua ibu bapa memantau aktiviti anak masing-masing agar tidak terjebak dengan aktiviti yang tidak berfaedah.

01 July 2008

SELAMAT DATANG DAN SELAMAT KEMBALI

Cikgu Ali Mohd Yatim akan mula bertukar dan kembali semula bertugas di Al-Falah mulai 1 Julai 2008. Cikgu Ali yang sebelum ini berkhidmat lebih dari 3 tahun di SMA. Sultan Ismail, Dungun merupakan guru yang pernah bertugas di Al-Falah.

Beliau yang aktif dalam kegiatan badan beruniform merupakan seorang berpengalaman dan antara guru yang paling lama berkhidmat di Al-Falah. Semoga Cikgu Ali dapat mencurahkan segala pengalaman yang dikutip di SMASID untuk membantu memajukan Al-Falah yang bervisikan AL-FALAH CEMERLANG 2010.

Seorang lagi guru yang akan bertukar ke Al-Falah ialah Cikgu Roslina bt Ismail, dari Kuala Lipis, Pahang. Beliau yang sepatutnya melapor diri pada 1 Julai meminta penangguhan, dan akan mula melapor diri pada minggu depan.
Manakala ustazah Hasnah Zakaria pula diberitakan akan bertukar ke Besut mulai 1 Julai ini.

30 June 2008

HADIAH DARIPADA MENTERI BESAR TERENGGANU

Dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung PIBG, YAB Dato' Ahmad Said telah bersetuju untuk menyumbangkan 40 buah komputer kepada SMA. Al-Falah pada tahun ini.


Pengumuman ini telah mendapat tepukan gemuruh daripada ibubapa, guru-guru dan para jemputan. Sebelum itu, Pengetua Al-Falah, Encik Che Ali Che Mat menyatakan bahawa Makmal Komputer yang baru siap mampu memuatkan 80 buah komputer tetapi sehingga kini hanya 40 buah komputer sahaja yang dibekalkan oleh JKR.

Pelajar Terbaik PMR 2007 dan Kumpulan Nasyid Al-Falah.

PERASMIAN MESYUARAT AGUNG PIBG

Pada 16 mei yang lalu, Mesyuarat Agung PIBG kali ke-6 telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Ahmad Said. Ketibaan YAB Dato' Ahmad Said disambut oleh YB Dato; Mohamed bin Awang Tera (ADUN Chukai Merangkap YDP PIBG), YM Dato' Shaikh Harun Ismail (Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu), Encik Mohd Noor (Pegawai Daerah Kemaman) dan Encik Che Ali Che Mat (Pengetua SMA.Al-Falah).


YAB Dato' Ahmad Said yang baru dilantik sebagai Menteri Besar diberi sambutan permaidani merah dan disambut dengan pencak silat oleh pesilat Al-Falah.

Selepas menyempurnakan Perasmian mesyuarat Agung PIBG Kali ke-6, YAB Dato' Ahmad Said menyampai hadiah dan cenderamata kepada pelajar yang beroleh kejayaan cemerlang dalam PMR dan SPM 2007.
Mesin Perakam Waktu Akan Diganti???
Punch Card....punya nilai sentimental

Dalam era teknologi moden pada hari ini, mesin perakam waktu masih lagi relevan dan digunapakai.Di SMA Al-Falah, mesin perakam waktu menjadi sesuatu yang sentimental kerana sudah sekian lama digunakan.

Mungkinkah suatu hari nanti, AlFalah sudah tidak mahu menggunakan lagi mesin perakam waktu ini dan digantikan dengan mesin perakam waktu berkomputer?
Ustaz Tg Zulkeplee sedang berceramah

KEM PERKASA REMAJA

Seramai 130 orang pelajar tingkatan 5 akan mengikuti Kem Perkasa Remaja yang akan diadakan pada 3-5 Julai 2008.

Kursus yang dianjurkan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Zon Timur dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan SMA. Al-Falah Kemaman akan diadakan selama 3 hari di Institiut Integriti Negeri Terengganu, Kemaman.

Menurut Guru Kaunseling SMA Al-Falah, Ustaz Tengku Zulkeplee Abdullah, penganjuran kursus seumpama ini tepat pada masanya kerana pelajar perlu diberi banyak bimbingan dan peringatan memandangkan gelaja sosial yang semakin parah pada hari ini lebih mudah memerangkap pelajar jika kurang didikan agama.

Menurut Pengarah Kursus, Tuan Haji Razak Jusoh (Penolong Pesuruhjaya Hal Ehwal Pelajar),objektif kem ini antara lain ialah untuk meningkatkan keupayaan serta kecerdasan emosi dan motivasi diri pelajar, memperkasakan minda kelas pertama, penyediaan diri untuk menjadi pelaajar dan ummah terbaik.
PERKHEMAHAN KELAB & BADAN BERUNIFORM SMA. TERENGGANU 2008

Pada 16 Julai hingga 18 Julai 2008, perkhemahan perdana yang melibatkan semua Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu akan diadakan di Pusat Ko-kurikulum Universiti Darul Iman (UDM), Merang, Terengganu.

Setiap sekolah akan menghantar seramai 25 orang pelajar yang mewakili badan beruniform sekolah seperti Pengakap, PBSM, Puteri Islam, Bomba dan lain-lain badan beruniform.

Antara pertandingan yang akan dijalankan ialah kawad kaki, model gajet, pertandingan memasak, berhalangan, lukisan rimba dan juga persembahan kebudayaan.

Menurut Penyelaras Kokurikulum SMA. Al-Falah, Cikgu Ahmad Pauzi Abu Bakar, latihan awal akan diadakan sebagai persediaan untuk menyertai perkhemahan ini.
ANUGERAH KECEMERLANGAN DWI-BULANAN

Mulai bulan Mei, satu anugerah kecemerlangan peringkat sekolah akan diperkenalkan. Setiap 2 bulan, guru dan kakitangan sekolah akan dipilih dan dinobatkan sebagai Staf Cemerlang.

Pemilihan ini akan dibuat oleh Panel di peringkat jabatan (JHEAT) berdasarkan pencalonan yang dibuat oleh pihak sekolah.

Antara syaratnya ialah seseorang calon itu hendaklah terdiri daripada mereka yang pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang di peringkat jabatan atau negeri, selain mempunyai rekod cemerlang selama 3 tahun berturut-turut.

Pekerja Cemerlang akan menerima cenderamata yang bernilai RM300 dan juga sijil

26 June 2008

Peserta sedang khusyuk mendengar ceramah

KURSUS KESEDARAN AQIDAH

Pejabat Agama Daerah Kemaman dengan kerjasama Unit Kaunseling dan Kerjaya SMA. Al-Falah mengadakan Kursus Kesedaran Aqidah untuk pelajar-pelajar tingkatan 3 dan 5 seramai 300 orang.

Antara tajuk ceramah yang disampaikan ialah Gejala Dadah & Cara Mengatasinya yang disampaikan oleh Agensi Dadah Kebangsaan Cawangan Kemaman. Selain itu, Kaunselor Pejabat Agama Daerah menyampaikan ceramah yang bertajuk "Cabaran Pelajar Masakini Bagi Menghadapi Abad ke-21.

Kursus ini dibiayai sepenuhnya oleh Pejabat Agama Daerah Kemaman.

25 June 2008


Persembahan Koir Sekolah

HARI KOPERASI SEKOLAH 2008

Hari ini, diadakan Hari Koperasi Sekolah, kali kedua dianjurkan semenjak tahun lepas. Sambutan Hari Koperasi Sekolah pada tahun ini lebih meriah apabila banyak gerai jualan dibuka, banyak acara yang diadakan bagi memeriahkan lagi Hari Koperasi Sekolah.

Dalam ucapan perasmian, Tuan Pengetua mengharapkan Koperasi Sekolah akan mendapat tempat atau penghargaan yang lebih tinggi berbanding pencapaian tahun lepas.

Penglibatan banyak organisasi luar seperti Celcom, A&W, gerai jualan makanan, ubat-ubatan, pakaian dan insurans takaful menambahkan lagi kemeriahan.

Antara acara yang diadakan ialah nyanyian koir, pertandingan catur, pertandingan penulisan khat, gubahan hantaran, story telling, khidmat basuh kereta dan sebagainya.

Antara pelajar yang hadir

KURSUS MOTIVASI JATI PELAJAR TERBILANG

Pada 16 Jun lalu, seramai 300 pelajar tingkatan 3 dan 5 telah dipilih mengikuti Kursus Motivasi Jati Pelajar Terbilang. Kursus yang dianjurkan oleh PIBG turut melibatkan sebahagian besar ibu bapa pelajar yang bakal menduduki PMR dan SPM pada tahun ini.

Kursus diselia oleh Unit kaunseling dan Kerjaya berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Di akhir kursus, ibu bapa dan anak masing-masing diberi amanat dan motivasi oleh penceramah sehingga ramai yang hadir mengalirkan air mata.

Kursus berakhir kira-kira jam 11.45 malam.
MAHKAMAH AL-FALAH

Pada 19 Jun baru-baru ini, Lembaga Disiplin bersidang ala mahkamah bagi membicarakan beberapa kes disiplin. Pelajar-pelajar yang didapati bersalah oleh Guru Disiplin dipanggil untuk membela diri di hadapan Lembaga Disiplin Sekolah yang dipengerusikan oleh Pengetua. Penolong Kanan HEM yang bertindak selaku Pendakwaraya membaca kes dan pelajar diberi peluang untuk membela diri dan membuat rayuan.

Pengetua selalu Hakim membuat keputusan berdasarkan pandangan dan perbincangan bersama AJK Lembaga Disiplin Sekolah.

Semua keputusan dibuat secara sebulat suara oleh Ahli Jawatankuasa Disiplin atas beberapa kesalahan seperti ponteng sekolah, mencuri, bergaduh dan mengugut pelajar.

Ibubapa atau penjaga pelajar terbabit akan dipanggil untuk diberi penjelasan mengenai kesalahan yang dilakukan oleh anak-anak mereka.

Dalam mesyuarat tersebut, Guru Kaunseling dan guru tingkatan turut dijemput untuk memerhati dan memberikan pandangan.
Guru Cemerlang Ko-Kurikulum Sek. Men. Agama Negeri Terengganu 2008
Guru Cemerlang Tahun 2008

GURU CEMERLANG SEMPENA HARI GURU 2008

3 orang guru dari SMA. Al-Falah, Kemaman telah dipilih sebagai Guru Cemerlang sempena Sambutan Hari Guru Sek. Men. Agama Negeri Terengganu yang diadakan pada 26 Mei 2008 di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu.

Pn. Syarifah Sakinah bt Engku Muda telah dipilih sebagai Guru Cemerlang SMA. Al-Falah, Kemaman, manakala Encik Zakaria Jusoh dinobatkan sebagai Guru Cemerlang Ko-Kurikulum dan Pn. Zaleha Salleh pula menerima anugerah sebagai Guru Cemerlang Akademik bagi tahun 2008.

Masing-masing menerima sijil dan saguhati daripada YB. Encik Razif bin Ismail, EXCO Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Teknologi Negeri Terengganu yang mewakili YAB. Dato' Ahmad Said, Menteri Besar Terengganu.


24 June 2008