31 October 2006

SINAR HARIAN, PENGETUA DAN ALFALAH
Akhbar Sinar Harian yang mula menemui pembaca pantai timur sejak 2 bulan lalu mula mendapat perhatian dengan berita-berita semasa yang disiarkan. Akhbar harian yang diterbitkan setiap hari kecuali Sabtu dan Ahad telah membuat liputan berita di sekolah kita sempena Majlis Sumbangan Zakat oleh Koperasi Sekolah telah disiarkan pada minggu lepas.

Maka terpampanglah gambar Tuan Pengetua kita yang sedang menghulurkan bantuan kepada salah seorang pelajar yang menerima sumbangan zakat. Tapi sayang, gambar tahi cicak, kalau gambar warna barulah cantik!

Sudah 2 kali Tuan Pengetua Al-Falah tersiar dalam Akhbar Harian Sinar, dan nama sekolah kita terpampang dalam berita berkenaan. Jangan keluar berita tentang gosip sudah la....bahaya! Sebab Tuan Pengetua kita termasuk dalam kategori hensem jugak, ala-ala Datuk K gitu!

Ehem : Nak buat Rumah Terbuka, nak jemput Akhbar Sinar Harian jugakla!


MESYUARAT DANA KHAS BERSAMA JKR
Pengetua, Ustaz Che Ali Che Mat bersama-sama dengan Cikgu Adnan (PK 1), Cikgu Mohd Junaidi Alias (PK HEM) dan Cikgu Ahmad Pauzi (Penyelaras Koko) telah menghadiri mesyuarat Dana Khas di Bilik Mesyuarat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kemaman. Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Jurutera Daerah (Bangunan) Tuan Haji Nordin membincangkan beberapa projek pembangunan dan penyelenggaraan yang bernilai RM1.5 juta.

Antara projek yang akan dilaksanakan ialah pengubahsuaian dan membina pejabat sekolah beserta bilik pengetua dan bilik penolong kanan. Selain itu, keutamaan juga diberikan kepada projek pembesaran surau sekolah, menaiktaraf padang bola, lanskap dan seni taman di hadapan bilik guru, mengecat bangunan pentadbiran, asrama putera dan puteri serta dewan makan dan juga kantin sekolah.

Mesyuarat yang turut dihadiri 8 orang juruteknik dan pembantu juruteknik akan menyiapkan kerja-kerja yang berkaitan dengan sebut harga sebelum dibuka kepada kontraktor. Kemungkinan projek terawal akan dijalankan sebaik sahaja peperiksaan SPM berakhir.

Ehem : Tahun depan, program keceriaan dan kebersihan akan menjadi keutamaan.
MACAM-MACAM ADA!
Sesekali apabila membuat lawatan mengejut ke aspura mahupun aspuri, tidak dinafikan semuanya berada di tahap yang memuaskan. Cadar disusun tak ubah macam bilik hotel, pakaian disangkut dengan rapi, buku-buku tersusun indah, bau-bauan tidak kurang hebatnya.

Tetapi sesekali itu juga, ditemui perkara-perkara aneh lagi pelik di aspura dan juga aspuri. Terdapat kulit timun cina di bawah katil, tulang ayam goreng di tepi loker, seluar da*** bergayutan di sana-sini, baju da*** tercampak di bawah katil, di bawah bantal. Itu tak termasuk seluar da*** yang menghiasi kipas siling. Aromanya tak usah cakapla.....

Tak kira di aspura atau aspuri, keadaannya sama sahaja. Kata-kata puisi, madah berhelah, ucapan cinta-cintun terpampang di mana-mana. Ada diluahkan di atas bantal, di atas tilam, di dalam loker, cuma tak ditulis di atas dahi sahaja. Karya kreatif dan keras tangan semua pelajar sudah boleh dibawa ke peringkat kebangsaan, cuma menang yang belum tentu.

Ini bukan sahaja berlaku di asrama sekolah kita sahaja, di sekolah lain, ada yang lebih dahsyat, lebih memilukan dan mengharukan. Harap-harap waden tidak kena sakit jantung dan darah tinggi sudahla....Setakat in belum ada lagi waden yang dikejarkan ke hospital kerana serangan jantung.

Bersambung......

Ehem: Tak suka pakai baju da***

LAWATAN PEMERIKSAAN KEBERSIHAN DAN KECERIAAN
6 orang pegawai daripada Bahagian Pendidikan yang diketuai oleh Ketua Penolong Pesuruhjaya Pendidikan(KPP), Tuan Haji Abdul Aziz Abdullah telah membuat lawatan ke sekolah. Dalam lawatan tersebut, KPP menyatakan rasa puas hati dengan tahap kebersihan dan kekemasan di Asrama Puteri. Walaupun begitu, beliau terkilan kerana terdapat penghuni aspuri menggunakan peralatan yang telah usang seperti katil, tilam, bantal sedangkan bekalan sudah ada dalam simpanan dan sepatutnya diberikan kepada pelajar yang memerlukannya.

Tahap kebersihan di Asrama Putera, masih belum memuaskan jika dibandingkan dengan aspuri. Di Aspura, terdapat beberapa paip air yang telah rosak dan air terbuang begitu sahaja tanpa sebarang tindakan.

Dalam lawatan ke aspuri, KPP terkejut apabila terdapat 2 pelajar sedang tidur, dan beliau merasakan tindakan pelajar berkenaan pulang ke asrama ketika sesi persekolahan adalah berbahaya.

Ehem : Nasib baik tidak diminta buku ringkasan mengajar!

Ustazah Paridah kemalangan
Pada pagi ahad 29 Oktober 2006, Cikgu Adnan memberitahu bahawa Ustazah Paridah telah ditimpa kemalangan. Kata Cikgu Adnan lagi, Ustazah Paridah dikejarkan ke Unit Kecemasan kerana beliau mendapat kemalangan apabila kereta yang dipandunya melanggar sebuah treler yang diletakkan di bahu jalan berhampiran kedai nasi ayam di Kampung Mak Chili. Kata Cikgu Adnan lagi yang kebetulan jiran kepada Ustazah Paridah memberitahu, Ustazah Paridah tidak nampak treler yang diletakkan di bahu jalan kerana silau cahaya matahari pada pagi tersebut.

Cikgu Adnanpun mengajak Pengetua menziarahi Ustazah Paridah. Menurut khabarnya, Ustazah Paridah mendapat cedera ringan dan menerima rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang.

Mujurlah Ustazah Paridah tidak mengalami kecederaan yang serius. Pihak sekolah tidak pasti adakah kemalangan yang menimpa Ustazah Paridah dimasukkan dalam statistik kemalangan Ops Sikap yang dilancarkan oleh pihak polis sempena perayaan deepavali dan hari raya aidil fitri. Seluruh warga Al-Falah termasuk SRAB mendoakan agar Ustazah cepat sembuh dan rajin-rajinlah makan ubat.

Ehem : Suka makan nasi ayam Kedai Lut sambil memakai cermin mata hitam.

28 October 2006

RUMAH TERBUKA AL-FALAH
Elok juga diadakan Rumah Terbuka Al-Falah pada tahun ini. Lebih jimat, semua boleh hadir, macam-macam juadah boleh dihidangkan. Kalau setiap orang bawa juadah, akan ada lebih daripada 90 jenis juadah hari raya boleh dinikmati.

Kalau ada cadangan nak buat, silalah beritahu. Kita rancang sama-sama. Mari ramai-ramai, kita pakat pakai baju baru raya, pakai baju melayu, pakai baju kurung...fuh....mesti meriah Majlis Rumah Terbuka Al-Falah pada tahun ini.

Tapi, bila nak buat?

Ehem: Cikgu Adnan tak suka pakai baju melayu sebab kena pakai kasut, takut katak masuk dalam kasut!

Mesyuarat Guru
Mesyuarat dijangka akan diadakan pada 15 November (Hari Rabu). Dalam mesyuarat ini, agenda utama ialah pembentangan senarai jawatankuasa bagi sesi 2007. Seperti mana tahun-tahun lepas, akan ada rombakan untuk jawatan tertentu bagi memastikan sesuatu biro atau jawatankuasa itu dapat mempertingkatkan kualiti pengurusan biro masing-masing.

Guru-guru baru (GSTT) juga akan diberi peluang untuk mengisi jawatan tertentu sebagai persediaan untuk menimba pengalaman dan turut memberi sumbangan ke arah kecemerlangan sekolah kita.

Pengalaman bukanlah asas utama untuk meletakkan seseorang dalam sesuatu jawatankuasa atau mengepalai biro tertentu, kerana pengalaman bekerja diperoleh melalui proses keterlibatan dan bukannya proses pemerhatian.

Walau bagaimanapun, pihak pengurusan sentiasa menerima pandangan dan juga komen daripada guru-guru demi melicinkan lagi pentadbiran sekolah dengan meletakkan matlamat utama sekolah melebihi kepentingan peribadi.

Ehem : Sesiapa yang ingin menjadi Setiausaha Disiplin Sekolah, sila angkat tangan!

Cikgu Zack ingin melepaskan jawatan Setiausaha Disiplin Sekolah

ROMBAKAN ORGANISASI SEKOLAH 2007

Pada minggu ini pihak pengurusan akan mengemukakan cadangan pelantikan baru bagi jawatan-jawatan penting untuk tahun 2007. Ada beberapa perubahan besar dijangka akan berlaku, malah rombakan kali ini akan memperlihatkan pertukaran jawatan penting dalam organisasi sekolah kita. Soseh-soseh sudah mula kedengaran, ada yang mahu melepaskan jawatan yang sedang disandang sekarang, ada yang mahu jawatan yang kurang penting dan tidak kurang pula tidak kisah apa jawatan yang diberi, akan jalan tugas dengan sebaik mungkin.

Jawatan dalam pengurusan ko-kurikulum kemungkinan besar banyak perubahan kerana Penyelaras Ko-Kurikulum, Cikgu Pauzi mungkin mahukan kelainan. Mungkinkah jawatan Setiauasaha Sukan akan dikekalkan atau diganti dengan guru perempuan? Hal ini tidak mustahil.

Jawatan yang paling mencabar, Guru Disiplin mungkin akan mengalami pertukaran, mungkin seorang guru wanita (mungkin ustazah!) akan memegang jawatan ini kerana ada ura-ura Cikgu Zakaria tidak lagi mahu memegang jawatan ini untuk tahun depan.

Adakah Penyelaras Projek PMR dan SPM juga akan bertukar tangan? Siapa pula yang akan memegang jawatan ini jika ada perubahan? Bagaimana pula dengan jawatan Jawatankuasa Kurikulum Sekolah (JKS)? Setiausaha Kebersihan dan Keceriaan mungkin akan dikekalkan, mungkin juga akan berganti!

Ehem: Yang pasti pengawal keselamatan akan digantikan dengan orang baru. Mungkin juga Setiausaha Mesyuarat akan bertukar tangan. Hanya johari yang mengenali manikam anak lelaki maniam!

27 October 2006

Khusyuk mendengar ceramah
Kaunselor SM.Teknik Kemaman sedang memberi ceramah


PROGRAM SELEPAS PMR

Unit Bimbingan Kaunseling Dan Kerjaya telah mengadakan beberapa program untuk pelajar-pelajar tingkatan 3 yang baru menduduki PMR. Antaranya ialah ceramah Bahaya Dadah dan Aids oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kemaman, Kursus Pengurusan Jenazah oleh Pejabat Agama Daerah Kemaman, Ceramah Jenayah oleh Ibu Pejabat Polis Daerah dan Ceramah Kemasukan ke Sekolah Menengah Teknik untuk sesi 2007.


Walaupun jumlah kehadiran pelajar tidak memuaskan, namun program yang telah dirancangkan lebih awal dapat dijalankan dengan lancar.

SEMINGGU SELEPAS BERAYA

Setelah bercuti selama seminggu, warga Al-Falah kembali semula ke sekolah untuk meneruskan pembelajaran dan pengajaran seperti biasa. Pelajar Tingkatan 3 seolah-olah sudah mengucapkan selamat tinggal. Pelajar Tingkatan 5 pula sedang menghitung hari demi hari kerana tidak sampai sebulan lagi, mereka akan menduduki ujian paling besar iaitu SPM. Bagi pelajar tingkatan 1,2 dan 4 pula sudah sampai masanya untuk menduduki Peperiksaan Akhir Tahun. Sama ada sudah bersedia atau belum, peperiksaan pasti akan diadakan pada hari pertama persekolahan selepas seminggu bercuti raya.

Ehem: Kalau datang ke sekolah nak tunjuk kuat, nak tunjuk kuasa, lebih baik duduk di rumah drp menghabiskan duit mak bapak!

26 October 2006

Terima kasih Dato'


MAJLIS KHATAM QURAN & BERBUKA PUASA

Pada 11 Ramadhan 1427 bersamaan 4 Oktober 2006 Sekolah Menengah Agama Al-Falah, Kemaman mengadakan Majlis Khatam Quran dan Berbuka Puasa untuk seluruh warga sekolah. Majlis ini dirasmikan oleh YM. Dato' Shaikh Harun bin Shaikh Ismail, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu. Sempena majlis ini juga, Dato' Pesuruhjaya turut memberi bantuan kepada 40 orang pelajar miskin selepas berakhirnya khatam quran yang diketuai oleh Ustaz Ismail Yusof. Program Ihya Ramadhan yang diadakan kali ke-2 pada tahun ini telah berjaya menyemarakkan lagi bulan yang penuh berkat ini. Sejak awal Ramadhan lagi, semua pelajar bertaddarus al-quran sebelum memulakan pembelajaran setiap pagi.


Selepas majlis berbuka puasa bersama warga sekolah, YM Dato' Pesuruhjaya menunaikan solat maghrib berjamaah di Dewan Sekolah.




SUMBANGAN ZAKAT

KOPERASI SEKOLAH


Pada 18 Oktober, Koperasi SMAAK Berhad telah mengeluarkan zakat perniagaan yang berjumlah RM2500.00. Seramai 50 orang pelajar miskin telah menerima sumbangan zakat yang telah disampaikan oleh Pengetua, Ustaz Che Ali bin Che Mat. Menurut orang kuat Koperasi, Ustaz Hamzah Omar, setiap tahun koperasi SMAAK mengeluarkan zakat sebab koperasi untung banyak, kenalah keluar zakat.

Selain itu, dalam majlis yang sama koperasi turut menyampaikan hadiah dan cenderamata kepada pemenang pertandingan anjuran koperasi. Semoga koperasi akan terus maju dan berjaya memberi kemahiran keusahawanan kepada para pelajar.



Ehem! : Nampaknya tahun depan Ustaz Hamzah kena pegang koperasi lagilah jawabnya! Gedung Mydin pun boleh kalah ni!

23 October 2006


SELAMAT HARI RAYA

Pengurusan sekolah mengucapkan selamat hari raya aidil fitri kepada semua guru, kakitangan dan pelajar. Semoga kedatangan Syawal memberi anjakan baru dalam kehidupan semua, didoakan agar semua akan mendapat kejayaan dan kemenangan dalam semua bidang.

Ehem :Jangan raya lama-lama, kalau ada biskut yang lebih-lebih tu, jangan lupa ya, bawa ke sekolah, kita menjamu ramai-ramai. Kalau sapa-sapa yang nak bawa lemang, rendang, ketupat, nasi dagang atau apa sahaja, bawa sajalah, sebab AIMAN TAK KESAH!

21 October 2006

En. Berhanuddin menyampaikan sumbangan zakat

SUMBANGAN ZAKAT BANK RAKYAT

Tanggal 16 Oktober 2006, seramai 382 orang pelajar telah menerima sumbangan zakat Bank Rakyat yang telah disampaikan oleh Ketua Wilayah Timur, Encik Berhanuddin bin Che Abdullah bersama-sama dengan Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kemaman, Encik Azman bin Abdul Aziz. Berseri-serilah wajah semua pelajar yang menerima sumbangan zakat Bank Rakyat, dapatlah buat beraya. Bukan selalu dapat sumbangan zakat ni. Terima kasihlah Bank Rakyat kerana memberi sumbangan zakat, mudah-mudahan perniagaan Bank Rakyat bertambah maju dan makmur. Manalah tahu, tahun depan, lebih banyak sekolah kita mendapat sumbangan zakat. Tahun ini mendapat RM32,130.00, mungkin tahun depan RM40,000.00.

Siapa-siapa yang belum lagi membuat pinjaman dengan Bank Rakyat, jangan malu dan jangan segan, isi borang. He he he .....Dalam ucapan, Pengurus Bank Rakyat Cawangan Kemaman mengingatkan para pelajar supaya tidak membelanjakan wang sumbangan zakat terhadap perkara-perkara yang membazir seperti membeli mercun dan bunga api. Katanya lagi, pelajar-pelajar kene beri tumpuan terhadap pelajaran dan bukannya memberi fokus kepada rancangan tv sehingga rancangan tv lebih banyak yang dihafal seperti Bawang Merah Bawang Putih, telenovela, Qaseh Ramadhan. Boleh tahan jugak Encik Azman ni, sah Encik Azman memang peminat Qaseh Ramadan.

Pengetua pulak memberitahu pelajar Sekolah Rendah Agama Bersepadu Al-Falah, Kemaman (SRABAK) juga menerima sumbangan wang zakat tetapi jumlahnya hanyalah RM50 berbanding pelajar sekolah menengah yang menerima RM80 setiap seorang. Beliau sempat berjenaka, bahawa budak-budak kecik mana boleh pegang duit banyak-banyak! (Meminjam kata-kata Haji Bakhil bin Haji Kedekut).Kebetulan ketika itu, Cikgu Morni pun ada di atas sudut pentas, maka tersenyum simpullah akan dia,mendengar kata-kata pengetua akan dialog Tuan Haji Bakhil.


Majlis ini berlangsung dalam suasana yang sungguh ceria, teratur dan meriah. Semua guru memberi kerjasama yang erat, terutama mereka yang diberi tugasan untuk melicinkan lagi majlis ini. Kepada Cikgu Suriani, Cikgu Zakaria, Cikgu Wan Fauziah, Cikgu Morni, Cikgu Nor Zuliana, Ustaz Wan Ahmad Bushra(sekadar menyebut beberapa nama!) dan semua yang terlibat, diucapkan ribuan terima kasih. Tanpa kalian, majlis yang begitu murni dan meriah tidak berlangsung dengan sempurna.Terima kasih semua!