20 July 2007

KPP sedang membuat pemeriksaan barisan diiringi oleh Pengetua

KEM KAWAD BADAN BERUNIFORM 2007


Seramai 45 orang pelajar yang terdiri daripada ketua platun Badan Beruniform yang terdiri daripada Pengakap, Pertubuhan Bulan Sabit Merah, Pergerakan Puteri Islam, KRS, dan Kadet Bomba telah dipilih untuk mengikuti Kem Kawad yang diadakan selama 3 hari sejak 17 hingga 20 Julai 2007.

Menurut Penyelaras Ko-kurikulum, Cikgu Ahmad Pauzi, kursus yang diadakan di Kem Askar Wataniah 512, Bukit Kuang, Kemaman adalah bertujuan untuk memberi pendedahan asas berkawad dan seterus menjadi ketua kepada unit masing-masing apabila tamat kursus nanti.

Kem Kawad Badan Beruniform telah dirasmikan oleh Pengetua, Ustaz Che Ali bin Che Mat di Dewan Kem Wataniah pada 17 Julai 2007. Majlis perasmian penutup disempurnakan oleh Ketua Penolong Pendidikan, Tuan Haji Abdul Aziz Abdullah di padang kawad. Sebelum itu, KPP telah memeriksa perbarisan dan menyampaikan hadiah kepada Ketua Platun Terbaik Lelaki dan Perempuan.
USTAZ HAMZAH LETAK JAWATAN?

Sukar untuk dipercayai bahawa Ustaz Hamzah Omar yang sinonim dengan Koperasi Sekolah Menengah Agama Al-Falah, Kemaman telah meletak jawatan pada 18 Julai 2007. Kerja kuat Ustaz Hamzah selama 7 tahun telah berjaya meletakkan koperasi sekolah ini di suatu tahap yang sangat dibanggakan.

Tiba-tiba, angin yang hanya sepoi-sepoi bahasa telah membawa kepada penyerahan surat meletak jawatan ke meja Pengetua pada 18 Julai yang lalu.
Apa sudah jadi Ustaz Hamzah?

Kalau nak letak jawatan, mengapa tidak tunggu Mesyuarat Agung? Mengapa tiba-tiba membuat keputusan yang emosional? Tiada masalah yang tidak boleh dileraikan. Lupakah Ustaz Hamzah tentang semangat koperasi? Semoga hasrat Ustaz Hamzah untuk meletak jawatan sebagai Pengurus Koperasi akan ditarikbalik.

Apapun, keputusan Ustaz Hamzah harus dihormati kerana beliau mempunyai sebab-sebab tertentu sehingga memaksa beliau untuk tidak terus bersinonim dengan koperasi.

Timbul pula satu persoalan, jika perletakan jawatan Ustaz Hamzah diterima, siapa pula yang bakal menduduki kerusi amat panas ini?

Apa komen Setiausaha dan Bendahari koperasi? Hendak meletak jawatan juga?

AL-FATIHAH

Guru Sekolah Menengah Agama Sultan Ismail, Dungun (SMASID), Allahyarham Mat Rahim bin Umat telah kembali ke rahmatullah pada awal pagi ini. Allahyarham dikatakan dimasukkan ke Hospital Daerah Dungun sebelum dikejarkan ke Hospital Besar Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu setelah terbabit dengan kemalangan jalanraya ketika memandu seorang diri di Kampung Teluk Lipat.


Allahyarham amat dikenali kerana gemar memandu motorsikal berkuasa tinggi. Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar kepada SMASID khasnya dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu(Bahagian Pendidikan)amnya.


Seluruh warga Al-Falah mendoakan agar roh Allahyarham di tempatkan bersama dengan mereka yang beramal soleh. Al-fatihah.