20 September 2008

VIDEO KLIP DENDANG PERANTAU ALFALAH

Video klip ini dibuat oleh Cikgu Junaidi pada tahun lepas untuk diabadikan kenangan bersama guru-guru sempena menyambut hari raya aidil fitri. Diharapkan dengan tersiarnya video klip ini, akan terubat rasa rindu kat orang-orang tersayang, orang yang jauh, orang yang dah lama tak jumpa, dan paling istimewa video klip ini menampilkan bekas pengetua, Ustaz Che Ali selaku sumber inspirasi. Antara yang memegang watak utama dalam video klip arahan Cikgu Junaidi ini ialah; Ustaz Che Ali, Pn. Suzana (pembantu tadbir kewangan), Siti Fatimah (jurutaip), Cikgu Rosdi, Cikgu Azizah, Cikgu Wan Fauziah, Cikgu Suriati, Cikgu Mustaffa, Cikgu Syarifah Sakinah, Cikgu Norhayati, Ustazah Wan Hafsah, Cikgu Adnan, ustaz Tengku Zulkeplee, Cikgu Marina, Cikgu Noor Zuliana, Ustaz Wan Ahmad Bushra, Cikgu Suriyani, Cikgu Pauzi, Cikgu As'ari, Cikgu Wan Nabihah, Cikgu Sulha (sudah bertukar ke Mahmuddiah), Cikgu Norlida, Cikgu Rusiah, Cikgu Maziah, ustazah Siti Mariam, dan beberapa orang pelakon pembantu.
Salam aidil fitri buat semua!

19 September 2008

BERITA AKTIVITI


MEMBURU LAILATUL QADAR

Pada 22 Ramadhan ini, satu ceramah bertajuk 'MEMBURU LAILATUL QADAR' akan diadakan di Dewan Sekolah.

Ceramah akan disampaikan oleh ustaz yang tak asing lagi, seorang guru agama dan juga Guru Kaunseling, Ustaz Sahari Anuar.

Semua pelajar, guru dan kakitangan dijemput hadir.

BERITA PELAJAR

CERAMAH PERSEDIAAN PMR

Pada 18 September lalu, Guru Kaunseling, Ustaz Tengku Zulkeplee telah menyampaikan ceramah kepada semua pelajar yang bakal menduduki PMR pada tahun ini.

Ceramah yang bertajuk "PERSEDIAAN SEBELUM MEMASUKI DEWAN PEPERIKSAAN" disampaikan secara berkesan sebagai persediaan sebelum pelajar menduduki PMR sebaik sahaja berakhirnya bulan Ramadhan.

Menurut Ustaz Tengku Zulkeplee, ceramah ini mesti diadakan bagi menjamin persediaan yang menyeluruh dari segi mental kerana ramai pelajar kecundang apabila gagal mengawal emosi dan tekanan perasaan apabila berada dalam dewan peperiksaan.

BERITA PELAJAR

MAJLIS KHATAM AL-QURAN DAN BERBUKA PUASA

Pada 24 September ini akan diadakan Majlis Khatam Al-Quran dan Berbuka Puasa Warga Sekolah. Majlis akan bermula jam 5 petang dengan program Khatam Al-Quran dan akan dipimpin oleh Ustaz Sahari Anuar. Wakil Bahagian Pendidikan juga akan hadir untuk bersama-sama warga sekolah berbuka puasa.

selepas khatam al-Quran, akan diadakan penyampaian bantuan dan zakat kepada pelajar-pelajar miskin dan yatim.

Kepada semua pelajar dan ibubapa yang tinggal berhampiran dengan sekolah dijemput hadir untuk bersama-sama warga sekolah berbuka puasa.

Pihak sekolah juga menjemput wakil komuniti berhampiran untuk bersama-sama warga sekolah berbuka puasa.

12 September 2008

FORUM BLOG CIKGUJUNAIDI

FORUM UNTUK SEMUA

Blogcikgujunaidi memperkenalkan Forum untuk semua pengunjung blog Al-Falah. Berdaftarlah dengan forum blog cikgujunaidi dan bersama-sama berkongsi idea, pandangan, masalah, petua dan sebagainya.

Sila berkunjung ke Blog Cikgu Junaidi dan Forum Blog Cikgujunaidi.

BERITA SEMASA

PENGETUA BARU

Bekas pengetua, Ustaz Che Ali akan bertukar ke SMAASZA, Batu Buruk sebagai guru penolong berkuatkuasa 1 September selepas melalui beberapa siri tsunami. Pengganti beliau di AlFalag ialah Ustaz Aziz Muda dari Bahagian Pendidikan.

Warga AlFalah mengalu-alukan kedatangan pengetua baru dan kepada Ustaz Che Ali, diucapkan selamat bertugas di tempat baru, segala jasa baik dan kenangan bersama akan diabadikan.

08 September 2008

BERITA SEMASA

PERTUKARAN PENGETUA

Sehingga berita ini ditulis, Pengetua Ustaz Che Ali Che Mat dikhabarkan tidak akan bertukar ke SMA. Maarif, Besut, sebaliknya menunggu arahan untuk bertukar ke sekolah lain.

Sebelum ini, Penolong Kanan 1 SMA. Maarif diberitakan akan mengambilalih jawatan Pengetua SMA. Alfalah manakala Ustaz Che Ali akan mengambil tempat sebagai Guru Penolong Kanan 1 di SMA. Maarif.

Atas beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, pertukaran tersebut ditangguhkan buat sementara waktu.

BERITA KEBAJIKAN

SUMBANGAN KURMA

Sebanyak 480 kotak kurma diagihkan kepada pelajar-pelajar yang tidak tinggal di asrama. Menurut Penyelia Hal Ehwal Pelajar (Bahagian Pendidikan), kurma ini adalah sumbangan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

Setiausaha Biro Kebajikan, Cik Suriyani Hassan mengagihkan kesemua kurma kepada pelajar melalui ketua kelas masing-masing.

BERITA PEPERIKSAAN

SELAMAT MENDUDUKI UPSR 2008

Esok seramai 26 orang pelajar Sekolah Rendah Agama Bersepadu AlFalah, Kemaman akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR). Menurut Guru Kanan SRABAK, Ustazah Salbaniah Ali, persiapan dan persediaan UPSR telah dibuat sejak 2 tahun yang lalu dan diharapkan keputusan UPSR pada tahun ini adalah lebih baik berbanding tahun lepas dan menjadi kayu pengukur bahawa SRAB mampu memberikan pencapaian yang terbaik hasil kerjasama semua pihak terutamanya para guru, pihak sekolah dan Bahagian Pendidikan.

Pihak pengurusan sekolah dan PIBG mengucapkan selamat menduduki peperiksaan semoga beroleh kejayaan yang cemerlang!

02 September 2008

BERITA PELAJAR


IMTIAZ KUALA TERENGGANU JOHAN


Menjelang sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-51, AlFalah menjadi tumpuan kontijen yang akan menyertai pertandingan perarakan. AlFalah tidak ketinggalan untuk menyertai pertandingan buat kali yang pertama.

Semua sekolah yang menghantar kontijen masing-masing seperti SMA. Khairiah, Imtiaz Kuala Terengganu(KOSPINT), SMA. Sultan Zainal Abidin, Ladang, SMA. Atas Sultan Zainal Abidin Batu Buruk dan UDM merupakan pasukan favourite yang sentiasa mendapat tempat dalam setiap pertandingan perarakan.

Pada 31 Ogos 2008, seperti yang telah diramalkan, semua kontijen yang menginap di AlFalah memenangi hadiah dalam pertandingan perarakan Hari Kemerdekaan ke-51.

KOSPINT memenangi tempat pertama dalam kategori Sekolah Menengah Tidak Beruniform dan membawa pulang piala dan wang tunai RM4000. Manakala SMAASZA Batu Buruk mendapat tempat kedua (RM3000) dan SMAASZA Ladang pula meraih tempat ketiga dalam kategori yang sama membawa pulang sebuah piala serta wang tunai RM2000.

Sebagai pasukan yang berpengalaman, sewajarnya masing-masing mencapai kemenangan, dan pasukan AlFalah yang pertama kali menyertai pertandingan ini sekadar berpuashati sebagai pasukan biasa-biasa sahaja.

Semua pasukan dari daerah Kemaman tidak mendapat apa-apa kemenangan.