29 May 2009

Calon SPM dihad ambil 10 subjek

Mulai tahun depan(2010), calon SPM dihadkan untuk mengambil lebih daripada 10 subjek sahaja. Timbalan Perdana Menteri, tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran Malaysia telah mengumumkan perubahan ini bagi memberi impak yang positif terdapat pengajaran dan pembelajaran kerana guru-guru dapat memberikan fokus terhadap 10 subjek sahaja.

Selain itu ia juga mengurangkan kos kepada ibu bapa yang terpaksa menghantar anak mengikuti kelas tuisyen kerana pengajaran dalam subjek pilihan tidak dibuat secara konsisten di sekolah
Antara aspek yang dikaji ialah perbandingan tahap kecemerlangan pelajar termasuk mengkaji apakah pelajar yang memperoleh 21A itu cemerlang, tetapi mereka yang skor A dalam semua sembilan mata pelajaran yang diambil tidak cemerlang.

Dalam kajian yang dibuat itu juga, kementerian tersebut ingin mendapatkan kepastian tujuan sebenar pelajar berkenaan mengambil lebih daripada 10 subjek dan rasionalnya mengambil subjek bertindih dan skor A.


25 May 2009

Telefon bimbit di sekolah


GAYA atau keperluan? Telefon bimbit kini satu keperluan sebagai alat komunikasi. Bagaimanapun, bagi sesetengah pihak, ia sekadar gaya bahkan dalam keadaan tertentu boleh mengganggu khususnya ketika belajar di bilik darjah.

Ini dibuktikan dengan beberapa kejadian membabitkan pelajar dan penyebaran video lucah serta buli yang dirakam menggunakan telefon bimbit di sekolah.


Kini, isu membawa telefon bimbit ke sekolah mendapat perhatian ramai sehingga kementerian mengeluarkan arahan kepada sekolah supaya merampas daripada pelajar dan hanya dikembalikan jika ibu bapa atau penjaga menuntutnya.

Persoalannya, adakah tindakan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah semata-mata untuk menyebarkan unsur negatif?

Benarkah tumpuan mereka dalam pelajaran 100 peratus terganggu hanya kerana telefon bimbit?

Sesetengah pelajar yang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan turut membawa telefon bimbit ke sekolah.

Selain itu, adakah pelajar sendiri berkeras mahu membawa telefon bimbit ke sekolah atau diminta ibu bapa?

Pelajar sekolah menengah perempuan di Kuantan, Pahang, Nur Atiqah Najwa Zainuddin, 18, berkata dia membawa telefon bimbit ke sekolah bukan untuk menyebarkan perkara negatif, tetapi memudahkan berhubung dengan keluarga dan rakan.

Menurutnya, pelajar terikat dengan jadual waktu pembelajaran dan aktiviti kokurikulum di sekolah. Jika ada maklumat atau perubahan, mereka boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghubungi keluarga dengan pantas.

“Sebagai pelajar, kami ada kelas tambahan serta aktiviti kokurikulum selepas tamat waktu persekolahan.

“Jika ada kelas tambahan atau aktiviti kokorikulum pada saat akhir, kami dapat memaklumkan kepada keluarga, jadi ibu bapa pun tidak risau,” katanya.

Katanya, membawa telefon bimbit satu langkah keselamatan terutama selepas tamat waktu persekolahan dan di luar sekolah.

“Tidak semua pelajar dijemput ibu bapa atau menaiki bas sekolah, ada terpaksa menggunakan pengangkutan awam ke rumah.

“Dengan menggunakan telefon bimbit, kami boleh menghubungi keluarga atau penjaga jika menghadapi masalah,” katanya.

Menurutnya, telefon bimbit bukan digunakan sepanjang masa, jika waktu pembelajaran, ia akan dimatikan bagi menumpukan kepada pengajaran guru.

“Soal fokus kepada pembelajaran tidak timbul jika mempunyai telefon bimbit kerana kami tahu bila untuk menggunakan kemudahan itu.

“Masyarakat jangan fikirkan soal negatif kerana banyak manfaat telefon bimbit kepada kami,” katanya.

Atiqah mengakui, sebagai pelajar perempuan, mempunyai sesuatu benda yang lebih terkini dan canggih daripada rakan sekelas adalah satu kebanggaan.


“Setiap hari, kami sesama pelajar akan sentiasa menunjukkan benda baru melalui telefon bimbit terutama lagu terkini.

“Kami sekadar bertukar pendapat, bukan menyalahgunakan kemudahan itu,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa, Mohd Yusrie Mohamed Satar, 43, berkata pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah kerana ia keperluan dan langkah keselamatan jika mahu menghubungi keluarga.

“Saya sendiri lebih mudah menghubungi anak jika hari itu mungkin datang lewat untuk mengambil dia di sekolah.

“Isu telefon bimbit di sekolah ada pro dan kontra, tetapi masyarakat perlu melihat daripada aspek positif termasuk peningkatan jenayah terutama membabitkan pelajar sekolah.

“Jika berlaku kes kecemasan selepas waktu persekolahan, apa cara untuk menghubungi jika tidak membawa telefon bimbit?

“Telefon bimbit masa kini adalah keperluan, bukan barangan mewah atau sekadar untuk bergaya,” katanya.

Mengenai penyalahgunaan dan mengganggu tumpuan pelajar di bilik darjah, bapa kepada tiga orang anak ini meminta guru kelas memantau dan mengambil tindakan keras jika pelajar bersalah.

“Guru boleh mengarahkan pelajar mematikan telefon bimbit dan meletakkannya di meja guru sepanjang sesi pembelajaran.

“Atau pihak sekolah boleh melarang penggunaan telefon bimbit sepanjang sesi persekolahan dan hanya boleh digunakan selepas waktu persekolahan,” katanya.

Bukan buang masa

JIKA tahun 1970-an dan 80-an, apabila mendapat tawaran ke tingkatan enam selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), ia ibarat anugerah kerana berpeluang melanjutkan pelajaran lagi.

Malah, pelajar tingkatan enam dianggap senior di sekolah kerana ia tempoh dua tahun terakhir sebelum memasuki institusi pengajian tinggi (IPT).


Keputusan cemerlang dalam Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga melayakkan mereka mendapat keutamaan memasuki IPT.

Namun, itu kisah 10 atau 20 tahun lalu. Kini, dengan kebanjiran institusi pengajian tinggi swasta (IPTA), keghairahan untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam semakin lesu.

Ini ditambah kesukaran memasuki IPT berikutan jumlah pemohonan terlalu banyak, sedangkan kuota untuk menempatkan mereka terhad.

Pelajar di tingkatan enam turut merungut kerana perlu belajar mata pelajaran yang membebankan tetapi apabila mendapat keputusan STPM, mereka tiada peluang ke IPT.

Selain itu, untuk mendapat pekerjaan sukar kerana majikan atau sektor industri gemar mengambil mereka yang berkelulusan SPM.

Pelajar lulusan STPM dikatakan tidak kekal lama kerana mereka mempunyai kelulusan lebih tinggi.

Justeru, dengan perkembangan semasa, adakah pembelajaran di tingkatan enam masih relevan atau membuang masa?

Yang Dipertua Persatuan Kebangsaan Pengetua Malaysia, Azam Md Atan, tidak bersetuju belajar di tingkatan enam merugikan dan membuang masa.

Beliau berkata, pelajar lepasan SPM yang melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam mengambil langkah bijak.

"Pelajar di tingkatan enam bertuah, malah sebelah kaki sudah terjamin ke IPTA.

"Mereka juga lebih bersedia sebelum meneruskan pengajian di universiti kerana sudah mendapat pendedahan awal di tingkatan enam," katanya.

Azam yang juga bekas pelajar tingkatan enam berkata, pelajar yang memilih mengikuti pengajian peringkat diploma di IPTS berbanding tingkatan enam itulah merugikan masa belajar mereka.

"Dilihat keputusan STPM yang diambil pelajar tingkatan enam, mereka terus mendapat tawaran di peringkat ijazah dan hanya mengambil masa dua tahun.

"Ini berbeza dengan pengajian di peringkat diploma yang memakan masa tiga tahun dan jika mahu mengambil kursus ijazah, mereka perlu belajar setahun atau dua tahun lebih berbanding pelajar tingkatan enam.

"Ini membuktikan belajar di tingkatan enam menjimatkan masa," katanya.


Cuma bezanya, pelajar tingkatan enam, mereka masih pelajar sekolah dan wajib memakai seragam sekolah seperti pelajar di tingkat satu, tiga atau lima.

Namun, katanya, ia tidak bermakna cara pengajaran dan pembelajarannya di tingkatan enam sama dengan pembelajaran di sekolah menengah.

"Walaupun berpakaian seragam sekolah, suasana pembelajaran di tingkatan enam berbeza kerana di peringkat ini, mereka diajar dan diasuh seperti pelajar universiti.

"Pemikiran pelajar tingkatan enam jauh lebih matang, malah dalam banyak aktiviti, mereka menjadi tonggak sekolahseperti debat, sukan atau aktiviti sosial," katanya.

Jika kegagalan seseorang pelajar STPM dijadikan ukuran dan melabelkan pembelajaran di tingkatan enam membuang masa, itu tidak tepat.

Azam yang juga Pengetua Sekolah Datuk Abdul Razak (SDAR) Seremban berkata, pelajar tingkatan enam mempunyai usaha dan motivasi tinggi untuk berjaya ke peringkat lebih tinggi.

"Tiada istilah kegagalan bagi mereka kerana tingkatan enam ibarat prauniversiti dan bukan masa belajar sambil lewa.

"Memang ada pelajar tingkatan enam yang gagal dalam peperiksaan STPM tetapi ia salah mereka sendiri kerana tidak belajar bersungguh-sungguh," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Masterskill Education Group Berhad, Datuk Edmund Santhara,

berkata jika mereka ingin melanjutkan pelajaran di IPTA, melanjutkan pelajaran di tingkatan enam berbaloi.

Katanya, mereka yang ingin mengikuti bidang yang mempunyai kos pengajian mahal seperti perubatan tetapi tidak ditawarkan tempat di IPTA selepas SPM, tingkatan enam adalah tempatnya.

"Tetapi, jika mereka ditawarkan melanjutkan pelajaran di luar negara atau IPTS, pembelajaran di tingkatan enam membuang masa.

"Ini kerana, jika mereka tidak mencapai kriteria atau Purata Mata Gred Keseluruhan (CGPA) yang ditetapkan untuk sesuatu bidang, mereka tetap gagal mendapat peluang memasuki IPTA," katanya.

19 May 2009

Ahmad Zuhaili Shafiee - AlFatihah

Inna Lillahi Wa inna Ilaihi Raajiun....
Hari ini, tiada senda dalam bicara... sebentar tadi berkesempatan hubungi Ibu di kampung. Dalam bicara, ibu memaklumkan seorang ustaz j-QAF di SK Ranggon, Kerteh meninggal dalam kemalangan. Ingatan saya terus tertumpu pada Zuhaili atau mesra dengan panggilan "zuet". Hasil carian blog, akhirnya, dapat juga detail mengenai berita ini. Beliau terlibat dalam kemalangan ketika memandu kereta yang pada waktu itu hujan lebat. Beliau masih bujang dan merupakan anak sulung dalam keluarga dan rumah beliau di Bukit Kuang, Kemaman. Jenazah beliau telah disemadikan pada jam 6 petang semalam.



Perkenalan saya dengan Ustaz Zuhaili bermula seawal tingkatan satu (1994) sehingga tingkatan lima (1998). Sewaktu tingkatan lima, arwah duduk di sebelah saya dalam kelas 5A. Sebelum itu, saya dan arwah sekelas (Kelas dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 4). Kami berdua amat rapat buleh dikatakan kemana juga bersama. Arwah sering datang ke rumah dan sangat ramah dengan ibu. Dimulutnya, saya dikenal sebagai matmeer, gelaran yang sama kami perolehi ketika di tingkatan satu. Gelaran "zuet" (yang kekal sampai hujung hayatnya - turut digunakan sewaktu beliau di Mesir) adalah tercetus ketika kami ditingkatan satu dan direka oleh Khairul Amilin (Milin) dan Wan Hafiz (Apit).


Selepas SPM, arwah masuk ke Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Kuala Terengganu dan seterusnya menyambung pelajar ke Mesir. Saya selepas SPM menyambung pelajaran ke Universiti Malaya di Nilam Puri, Kelantan. Masih segar perbincangan saya dengan dia dan akhirnya dia sepakat dengan saya untuk meneruskan pengajian dalam bidang agama. Di Mesir dia mengikuti pengajian Usuluddin (kalau tak silap). Kali terkahir bertemu beliau adalah ketika majlis perkahwinan saya pada 12/4/2008, hampir setahun yang lalu, sebelum saya berlepas ke Amerika Syarikat untuk berkhidmat di Kedutaan Malaysia, Washington DC. Beliau hadir bersama dengan Apit dan Amilin.

Arwah seorang yang sangat baik. Seorang yang penyabar. Memang amat sesuai dengan gelaran ustaznya. Masih teringat dengan kata-kata arwah yang mahu membantu keluarganya, kerana beliau anak sulung. Arwah memang sangat senang untuk membantu, dan sangat senang untuk diajak bercakap. Kehilangan beliau amat memberi kesan kepada hati saya. Beliau sangat merendah diri dan sangat tinggi sifat setiakawannya. Cukuplah disini, tak terkata lagi...

Itulah hakikat yang ada, hidup ini bermula, mati penamatnya. Masa dia telah tiba, masa kita mungkin sedetik jua. Zuet, tak sempat aku nak tunjukkan putera baru ku. Maaf, Zuet, aku berada jauh di pelosok ini, tak dapat menziarahi mu sebagai lambaian akhir persahabatan ini. Semoga engkau tenang di sana, dengan semangat kita untuk berpijak dalam landasan agama. Semoga engkau dinaungi rahmat Allah dan bersama para anbiya' dan solehin. Semoga kita berjumpa lagi di akhirat sana. Zuet, rehatlah diperbaringan mu. Selagi mana kita membela agama ini, selagi itu Allah akan membela kita. Terimalah hadiah daripadaku, Al-Fatihah, Surah Al-Ikhlas dan Surah Yaasin. Bacaan terbaikku untuk mu. Selamat jalan sahabat.

Amir Hamzah (matmeer)
Washington DC
5/4/2009

18 May 2009

Lagu Tema Hari Guru 2009

GURU PEMBINA NEGARA BANGSA

Bersedia melangkah megah
Walaupun sukar baktiku curah
Demi mu ibu pertiwi
Sumpah ku lafaz janji kukota

Berikrar eratkan bangsa
Kukuhkan cinta kepada Negara
Berjasa terus berjasa
Menyebarkan ilmu tiada batasnya

Guru Pembina Negara Bangsa
Gagah perjuangkan visi Negara
Bangunkan jiwa yang pelbagai rupa
Demi agama dan nusa tercinta

Guru Pembina Negara Bangsa
Tetap Unggul senadakan suara
Sehaluan menggapai matlamatnya
Cemerlang dan gemilangkan Malaysia


Pencipta Lagu : Khairulrizam bin Khalid
Pencipta Lirik : Ili Nurbahirah bt Baharudin
Pengubah Muzik : Marzuki bin Tambi



Untuk mendengar lagu tema hari guru, sila klik di sini.

16 May 2009

Menghargai ibu bapa

KITA baru sahaja menyambut Hari Ibu dan memang ibu adalah ratu.

Banyak sumbangan daripada seseorang bernama ibu. Sempena sambutan itu, kita mendengar di radio dan TV serta akhbar anak yang prihatin memberi ucapan selamat untuk ibu.

Pelbagai jenis perkataan mendatar dan penuh simbolik sarat dengan perasaan dan air mata. Namun, menghargai ibu bapa bukan hanya dengan perkataan sekali setahun tetapi tindakan dan perbuatan selaras dengan ungkapan. Ia disebut adab.

Antara adab sopan yang melambangkan penghargaan kepada ibu bapa ialah:

Anak mestilah mendengar nasihat ibu bapa ke arah kebaikan dunia dan akhirat. Sebagai anak kita tidak boleh bercakap kasar dan meninggikan suara kepada ibu bapa.

Sentiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa paling kurang berdoa sebanyak lima kali sehari selepas solat fardu.

Menjaga kebajikannya seperti makan minum dan kesihatan ibu bapa sepatutnya memberi belanja bulanan ikut kemampuan kita apatah lagi jika mereka miskin. Bagi ibu bapa yang mampu, pemberian itu satu penghargaan.

Anak-anak jangan menyanggah atau menentang ibu bapa. Layani dan hormat mereka dengan bahasa yang baik dan bersopan santun. Ini mengelak diri daripada menyakiti hati ibu bapa.

Hanya satu perkara boleh ditentang, jika ibu atau bapa itu menentang ajaran agama Allah. Tetapi ini jarang berlaku.

Jangan sesekali bersikap keras, kurang ajar, marah kepada ibu bapa. Gunakan bahasa sopan ketika bercakap dengan mereka walaupun menegur kemungkaran.


Jangan sampai retak perhubungan mesra dan kasih sayang dengan ibu bapa. Jika bersama pasangan balik kampung atau bersama dengan ibu bapa jangan bermesra sangat depan mereka, lebihkan ibu bapa.

Jika ibu bapa sudah tua dan uzur jagalah kebajikan dan kesihatannya. Jangan menghantar ke rumah orang tua. Ini bagi mengelak perasaan dan jiwa ibu bapa tersisih atau dipinggirkan.

Jaga dan layan ibu bapa yang tua dan uzur dengan sabar serta tabah. Gembirakan ibu bapa dan berikan kebahagiaan dijaga dengan baik anak sendiri.

Firman Allah mengenai tanggungjawab dan kewajipan anak terhadap ibu bapa yang bermaksud:

“Dan, Kami (Allah) mewajibkan manusia berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusukannya); dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (oleh yang demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua-dua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan).” (Surah Luqman, ayat 14)

Daripada firman itu Allah memperincikan beberapa yang wajib disedari iaitu anak diwajibkan berbuat baik kepada ibu bapa dan manusia wajib bersyukur kepada Allah serta berterima kasih kepada mereka.

Jika ibu bapa meninggal dunia, beberapa perkara kebaikan dan adab baik untuk ibu bapa antaranya:

Berdoa dan beristighfar – memohon Allah kurniakan keampunan supaya dimasukkan mereka ke dalam golongan orang yang soleh.

Menyempurnakan perjanjian, jika ibu bapa mengikut sebarang perjanjian dengan orang lain.

Memuliakan sahabat handai si mati. Anak hendaklah menghormati dan memuliakan sahabat handai si mati seperti yang dilakukan oleh ibu bapa ketika hayat mereka.

Menyambung silaturahim kepada orang lain yang tidak sempat disambung oleh si mati sebelum meninggal dunia.

Hanya orang yang mempunyai anak akan tahu betapa cinta ibu dan bapa kepada anaknya. Mereka tidak mengharapkan balasan daripada anaknya. Balasan untuk ibu bapa daripada anak ialah sentiasa melakukan amal ibadat dan bersopan santun dalam kehidupan seharian.

Hadis Rasulullah SAW ada menyebut: “Apabila mati seseorang anak Adam, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang diambil orang manfaatnya atau anak soleh yang mendoakannya.”

Banyak kata-kata mengenai anak dan ibu bapa antaranya; “Anak yang baik bukan lahir daripada ibu bapa yang tidak mengenal orang tuanya. Anak adalah gambaran ibu bapanya. Orang tualah yang membentuk hitam atau putih peribadi seseorang anak itu, seperti sehelai kain putih”.

13 May 2009

Selamat Hari Ibu

Orang kata aku lahir dari perut mak..
(bukan org kata...memang betul)
Bila dahaga, yang susukan aku.....mak
Bila lapar, yang suapkan aku....mak
Bila keseorangan, yang sentiasa di sampingku.. ..mak
Kata mak, perkataan pertama yang aku sebut....Mak
Bila bangun tidur, aku cari....mak
Bila nangis, orang pertama yang datang ....mak
Bila nak bermanja, aku dekati....mak
Bila nak bergesel, aku duduk sebelah....mak
Bila sedih, yang boleh memujukku hanya....mak
Bila nakal, yang memarahi aku....mak
Bila merajuk, yang memujukku cuma....mak
Bila melakukan kesalahan, yang paling cepat marah....mak
Bila takut, yang tenangkan aku.....mak
Bila nak peluk, yang aku suka peluk....mak
Aku selalu teringatkan ....mak
Bila sedih, aku mesti talipon....mak
Bila seronok, orang pertama aku nak beritahu.....mak
Bila bengang.. aku suka luah pada..mak
Bila takut, aku selalu panggil... "mmaaakkkk! "
Bila sakit, orang paling risau adalah....mak
Bila nak exam, orang paling sibuk juga.....mak
Bila buat hal, yang marah aku dulu....mak
Bila ada masalah, yang paling risau.... mak
Yang masih peluk dan cium aku sampai hari ni.. mak
Yang selalu masak makanan kegemaranku....mak
kalau balik ke kampung, yang selalu bekalkan ulam & lauk pauk.....mak
Yang selalu simpan dan kemaskan barang-barang aku....mak
Yang selalu berleter kat aku...mak
Yang selalu puji aku....mak
Yang selalu nasihat aku....mak
Bila nak kahwin..Orang pertama aku tunjuk dan rujuk.....mak

Aku ada pasangan hidup sendiri....
Bila seronok, aku cari.......pasanganku
Bila sedih, aku cari......mak

Bila berjaya, aku ceritakan pada....pasanganku
Bila gagal, aku ceritakan pada....mak

Bila bahagia, aku peluk erat....pasanganku
Bila berduka, aku peluk erat....emakku

Bila nak bercuti, aku bawa....pasanganku
Bila sibuk, aku hantar anak ke rumah.....mak

Bila sambut valentine... Aku bagi hadiah pada pasanganku
Bila sambut hari ibu...aku cuma dapat ucapkan "Selamat Hari Ibu"

Selalu.. aku ingat pasanganku
Selalu.. mak ingat kat aku

Bila-bila... aku akan talipon pasanganku
Entah bila... aku nak talipon mak

Selalu....aku belikan hadiah untuk pasanganku
Entah bila... aku nak belikan hadiah untuk emak

Renungkan: "Kalau kau sudah habis belajar dan berkerja... bolehkah kau kirim wang untuk mak?
mak bukan nak banyak... lima puluh ringgit sebulan pun cukuplah"...
Berderai air mata jika kita mendengarnya........

Tapi kalau mak sudah tiada...........
MAKKKKK...RINDU MAK..... RINDU SANGAT....


Berapa ramai yang sanggup menyuapkan ibunya....
berapa ramai yang sanggup mencuci muntah ibunya.....
berapa ramai yang sanggup mengantikan lampin ibunya......
berapa ramai yang sanggup membersihkan najis ibunya.......
berapa ramai yang sanggup membuang ulat dan membersihkan luka kudis ibunya....
berapa ramai yang sanggup berhenti kerja untuk menjaga ibunya.....
dan akhir sekali berapa ramai yang sembahyang JENAZAH ibunya......
Seorang anak mendapatkan ibunya yang sedang sibuk menyediakan makan malam di dapur lalu menghulurkan sekeping kertas yang bertulis sesuatu. Si ibu segera mengesatkan tangan di apron menyambut kertas yang dihulurkan oleh si anak lalu membacanya.Kos upah membantu ibu:
1) Tolong pergi kedai : RM4.00
2) Tolong jaga adik : RM4..00
3) Tolong buang sampah : RM1.00
4) Tolong kemas bilik : RM2.00
5) Tolong siram bunga : RM3.00
6) Tolong sapu sampah : RM3.00
Jumlah : RM17.00
Selesai membaca, si ibu tersenyum memandang si anak sambil sesuatu berlegar-legar si mindanya. Si ibu mencapai sebatang pen dan menulis sesuatu di belakang kertas yang sama..
1) Kos mengandungkanmu selama 9 bulan - PERCUMA
2) Kos berjaga malam kerana menjagamu - PERCUMA
3) Kos air mata yang menitis keranamu - PERCUMA
4) Kos kerunsingan kerana bimbangkanmu - PERCUMA
5) Kos menyediakan makan minum, pakaian, dan keperluanmu -PERCUMA
Jumlah Keseluruhan Nilai Kasihku - PERCUMA

Air mata si anak berlinang setelah membaca apa yang dituliskan oleh siibu. Si anak menatap wajah ibu,memeluknya dan berkata,
"Saya Sayangkan Ibu". Kemudian si anak mengambil pen dan menulis "Telah Dibayar" pada mukasurat yang sama ditulisnya.
"Jika kamu menyayangi ibumu, "forward"kanlah Email ini kepada sahabat- sahabat anda.

1 orang : Kamu tidak sayangkan ibumu
2-4 orang : Kamu sayang ibumu
5-9 orang : Bagus! Sayang jugak kamu kepada Ibumu
10/lebih : Syabas!Kamu akan disayangi Ibumu

04 May 2009

Penyampaian Anugerah Kecemerlangan

Pada 30 April, Majlis Anugerah Kecemerlangan PMR dan SPM 2008 telah berlangsung di Dewan Makan Asrama Putera. Majlis ini dirasmikan oleh YDP PIBG, YB. Dato' Mohamed bin Haji Awang Tera.

Kira-kira 200 orang jemputan terdiri daripada ibubapa, AJk PIBG dan pelajar-pelajar telah hadir dalam majlis tersebut.
Seramai 25 orang pelajar telah menerima anugerah kecemerlangan PMR dan SPM. Selain itu, pelajar tingkatan 2 dan 4 yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun 2008 turut menerima hadiah yang disampaikan oleh YB. Dato' Mohamed bin Haji Awang Tera.
Pelajar Cemerlang PMR 2009, Bahjatul Solihah

Turut hadir dan menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut ialah Tuan Haji Aziz Wahid, Penolong Kanan Pesuruhjaya Perkhidmatan (Bahagian Pendidikan).