05 January 2007

MIMPI KITA ADALAH SERUPA

PMR 2006 tidak begitu membanggakan! Hanya seorang sahaja pelajar yang mendapat 9A dalam semua matapelajaran. Kedudukan sekolah kita masih sama seperti tahun-tahun lepas,iaitu tempat ke-9 daripada 12 buah sekolah menengah agama Terengganu.

Sudah sememangnya Tuan Pengetua tidak berpuashati dengan pencapaian ini. Tetapi bukan Pengetua sahaja merasakan demikian, malah semua guru turut merasakan hal yang sama. Mimpi Pengetua dan mimpi semua guru adalah sama walaupun tidur tidak sebantal. Maka tidak benarlah jika ada yang mengatakan tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain.

Tidak ada guru mahu melihat anak-anak didik mereka gagal dalam peperiksaan apatah lagi dalam PMR mahupun SPM. Guru-guru juga mempunyai anak-anak yang turut sama menduduki PMR ataupun SPM, malah ada di kalangan anak-anak mereka tidak mendapat keputusan seperti yang diharapkan. Mereka juga sedih dengan keputusan yang dicapai oleh anak-anak mereka.

Guru-guru telah memberi sepenuh usaha dan tenaga demi anak-anak didik mereka.Jika kita fikirkan sejenak, mengapa terjadi hal yang sedemikian, sedangkan semua pelajar sama ada yang cemerlang, sederhana ataupun gagal diajar dan dididik oleh guru yang sama, buku teks yang sama, berada dalam kelas yang sama, menduduki ujian demi ujian yang sama tetapi keputusan PMR yang tidak sama. Adalah tidak adil jika kegagalan mencapai keputusan yang cemerlang dikatakan berpunca daripada guru-guru. Mungkin ada yang tidak kena di mana-mana tetapi untuk menyalahkan guru seratus peratus amatlah berat untuk diterima.

Mimpi kita semua adalah sama. Jika pada tahun lepas(2005) ada 3 orang pelajar mendapat 9A, mereka juga diajar oleh guru yang sama mengajar pada tahun 2006. Banyak faktor yang boleh menyumbang kepada kegagalan mencapai sasaran sebenar PMR 2006.

Tidak boleh dinafikan faktor pelajar itu sendiri turut memberi peratusan kepada kejayaan atau kegagalan dalam sesuatu peperiksaan. Pelajar yang berada di kelas hadapan tidak sama cara belajar, kegigihan, kemahuan, kerajinan, ketekunan, latihan dan sebagainya jika dibandingkan dengan pelajar di kelas belakang atau kelas pertengahan walaupun semuanya diajar oleh guru yang sama.

Ada anak guru matematik tidak mendapat A dalam matapelajaran matematik sedangkan anak seorang nelayan boleh mendapat A dalam matematik. Adakah ini sesuatu yang mustahil? Adakah kerana anak nelayan itu mendapat tunjuk ajar yang berkesan daripada ayahnya atau anak guru matematik itu tadi tidak diajar dengan cara yang betul oleh ayahnya? Sedangkan anak nelayan dan anak guru matematik itu tadi belajar dalam satu kelas yang sama.



Mengapa semua pelajar cemerlang terdiri daripada pelajar perempuan sahaja dan bukannya pelajar lelaki? Mengapa pelajar perempuan dan pelajar lelaki tidak mendapat kecemerlangan yang sama sedangkan berada berada dalam kelas yang sama, diajar oleh guru-guru yang sama, menggunakan buku teks yang sama, soalan latihan dan ujian yang sama, tetapi keputusan PMR tidak sama. Adakah pelajar perempuan yang cemerlang itu tadi diajar oleh guru yang berbeza atau cara mengajar yang berbeza dengan pelajar lelaki. Menuding jari kepada guru-guru sahaja adalah tidak adil, semua guru mahu melihat anak-anak didik mereka cemerlang, bukan sahaja pelajar di kelas hadapan, malah pelajar yang berada di kelas paling corotpun kalau boleh biarlah cemerlang juga.

Masih ingatkan kita dengan Amalina? Satu-satunya pelajar yang mendapat 17A dalam SPM. Semua orang memuji kehebatan dan kecerdikan Amalina. Malangnya tidak seorangpun ingin bertanya, siapakah guru yang mengajar Amalina sehingga mendapat 17A. Amalina mendapat berbagai-bagai anugerah oleh pelbagai pihak, tetapi guru-guru yang mengajar Amalina tidak pula diberi anugerah. Lebih malang lagi, kejayaan Amalina dikaitkan dengan kehebatan Amalina sejak berada di tadika lagi. Nah, inilah buktinya, kejayaan seseorang pelajar itu, sedikit sebanyak datangnya daripada pelajar itu sendiri.

Guru-guru tidak mengharap apa-apa anugerah mahupun pujian, tetapi memadailah jika tidak menyalahkan guru-guru jika kegagalan dalam mencapai sasaran tertentu.Bagaimana perasaan guru-guru yang mengajar di sekolah-sekolah yang tidak mendapat peratusan yang tinggi dalam PMR baru-baru ini. Adakah mereka terdiri daripada guru-guru yang tidak dedikasi, guru-guru yang pemalas, guru-guru yang banyak bercakap tetapi kurang bekerja, atau bagaimana?

Kita berada dalam satu pasukan, mimpi kita sama, niat kita serupa,sama dan serupa dengan mimpi Menteri Pelajaran, mimpi Pengarah Pelajaran, mimpi Pengetua,mimpi guru-guru yang mengajar di kelas hadapan ataupun di kelas belakang.

Tahniah kepada semua guru yang mengajar di tingkatan 3, tingkatan 2 dan tingkatan 1, kerana tanpa usahasama kita semua, pelajar yang berada di hadapan kita tidak akan ke mana-mana. Ingat,pelajar yang akan menduduki PMR 2007 juga diajar oleh guru-guru yang sama dalam PMR 2006.

PENDAFATARAN PELAJAR BARU

Seramai 228 pelajar Tingkatan 1 telah mendaftar di Sekolah Menengah Agama Al-Falah pada 26 Disember 2006 yang lalu. Pada tahun ini, semua pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya 20 unit dalam UPSR, telah mendapat tawaran ke Tingkatan 1.

Sambutan ibu bapa untuk menyambung pelajaran anak-anak mereka di sekolah ini sangat menggalakkan malah ramai di kalangan ibu bapa yang bersungguh-sungguh mahu anak-anak mereka belajar di sekolah ini walaupun mendapat kurang daripada 20 unit.

Bagaimanapun, syarat minimum 20 unit telah ditetapkan oleh Bahagian Pendidikan untuk memastikan pelajar yang benar-benar mencukupi syarat akan mendapat tempat untuk meneruskan persekolahan di sekolah ini.

Mulai tahun 2007, pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya 4A1B dalam UPSR akan ditawarkan untuk belajar di Kelas Premier.Pelajar-pelajar ini akan mendapat keistimewaan seperti biasiswa dan tinggal di asrama.

01 January 2007

BEKAS GURU KANAN SRAB BERTUKAR

Ustaz Tengku Zulkeplee Abdullah yang lebih dikenali sebagai Ustaz Zul akan berkhidmat di sekolah menengah mulai 2007. Beliau merupakan mantan Guru Kanan SRAB Al-Falah telah bertugas di SRAB Al-Falah selama 6 tahun. Pada tahun ini(2007),bersama-sama beliau mengajar di sekolah menengah ialah Ustazah Wan Moh binti Wan Deris dan Cikgu Irmawati Hani bt Abdullah.

Bahagian Pendidikan(JHEAT) telah melantik Ustazah Salbaniah Ali sebagai Guru Kanan SRAB Al-Falah yang baru bermula 1 Disember 2006 yang lalu.

Pada masa ini, terdapat 3 kelas SRAB Al-Falah, iaitu tahun 4,Tahun 5 dan Tahun 6.
APA SUDAH JADI?

Apa dah jadi? Dalam bulan Disember 2006, terdapat 3 kes kecurian yang dilaporkan berlaku di Al-Falah. Dalam kes pertama, berlaku kecurian wayar elektrik termasuk wayar yang baru dipasang oleh kontraktor elektrik.

Dalam kejadian kedua pula, kepala paip gas memasak di Asrama Puteri pula dilaporkan telah hilang. Menurut Penyelia Asrama, Encik Wan Abdul Manan, sebanyak 8 unit kepala gas memasak telah dicuri dan sehingga kini belum lagi diganti oleh pihak pembekal gas.

Dalam kejadian ketiga pula, barang-barang kepunyaan Sekolah Rendah Agama Bersepadu(SRAB) pula telah dilaporkan hilang. Antara barang-barang yang dicuri ialah sinki yang beli untuk dipasang di kantin SRAB.

Semua kejadian ini berlaku pada waktu malam dan pengawal keselamatan yang bertugas tidak menyedari kejadian ini.

3 ORANG GURU AL-FALAH MENDAPAT TAWARAN BARU

Seramai 3 orang tenaga pengajar Al-Falah mendapat tawaran sebagai guru JQAF bermula bulan januari 2007. Mereka ialah Cikgu Suziyna Mas Ayu bt Zakaria, Ustazah Nur faizlaili dan Cikgu Nor Haslina bt Ibrahim.

Cikgu Suziyna Mas Ayu merupakan salah seorang guru GSTT yang sudah lama berkhidmat di sekolah ini,manakala Ustazah Nur faizlaili dan Cikgu Nor Haslina baru saja bertugas sebagai tenaga pengajar pada tahun lepas(2006).


Pihak sekolah mengucapkan selamat bertugas di tempat baru,semoga maju jaya dalam kerjaya yang diceburi.
Siapa pengganti PK Akademik?

Tandatanya dan teka-teki yang tidak berkesudahan sudah kedengaran sejak awal cuti persekolahan lagi. Masing-masing mempunyai jawapan tersendiri. Ada ura-ura salah seorang daripada guru sekolah Al-Falah akan mengisi kekosongan itu. Maka tersenarailah nama-nama yang popular untuk ke jawatan tersebut.

Ada juga khabarnya, penggantinya sorang ustazah yang berpengalaman luas akan menjadi pengganti kepada Cikgu Adnan. Tidak kurang pula membuat andaian bekas Penolong Kanan Koko akan kembali semula ke Alfalah untuk mengisi jawatan PK Akademik.

Pada 22 Disember, nama yang dicalonkan untuk menjadi Penolong Kanan Akademik ialah Cikgu Ashari dari SMA. Sultan Ismail, Dungun. Beliau yang berasal dari Kuala Terengganu juga merupakan Guru Penolong Kanan HEM.

Khabar terakhir yang sampai ke Kemaman, Cikgu Ashari tidak berminat untuk berhijrah ke Kemaman walaunpun ditawarkan sebagai Guru Penolong Kanan Akademik. Khabar angin ini belum dapat dipastikan lagi, walaupun surat pertukaran sudah berada di tangan masing-masing.
Cikgu Adnan letak jawatan

Cikgu Adnan Hamzah telah meletak jawatan sebagai Guru Penolong Kanan Akademik berkuatkuasa 1 Januari 2007. Beliau telah membuat keputusan ini atas sebab-sebab kesihatan. Perletakan jawatan beliau merupakan satu kehilangan besar kepada sekolah kerana beliau memang dikenali sebagai sorang yang bekerja kuat, sentiasa memberikan idea-idea yang bernas dan mampu memikul segala tugas yang diamanahkan kepada beliau.

Walaupun Cikgu Adanan tidak lagi memegang jawatan sebagai Penolong Kanan Akademik, beliau berjanji akan sentiasa memberi kerjasama yang diperlukan demi Al-Falah. Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada beliau atas sumbangan khidmat bakti beliau selama ini.