19 May 2009

Ahmad Zuhaili Shafiee - AlFatihah

Inna Lillahi Wa inna Ilaihi Raajiun....
Hari ini, tiada senda dalam bicara... sebentar tadi berkesempatan hubungi Ibu di kampung. Dalam bicara, ibu memaklumkan seorang ustaz j-QAF di SK Ranggon, Kerteh meninggal dalam kemalangan. Ingatan saya terus tertumpu pada Zuhaili atau mesra dengan panggilan "zuet". Hasil carian blog, akhirnya, dapat juga detail mengenai berita ini. Beliau terlibat dalam kemalangan ketika memandu kereta yang pada waktu itu hujan lebat. Beliau masih bujang dan merupakan anak sulung dalam keluarga dan rumah beliau di Bukit Kuang, Kemaman. Jenazah beliau telah disemadikan pada jam 6 petang semalam.



Perkenalan saya dengan Ustaz Zuhaili bermula seawal tingkatan satu (1994) sehingga tingkatan lima (1998). Sewaktu tingkatan lima, arwah duduk di sebelah saya dalam kelas 5A. Sebelum itu, saya dan arwah sekelas (Kelas dari tingkatan 1 sehingga tingkatan 4). Kami berdua amat rapat buleh dikatakan kemana juga bersama. Arwah sering datang ke rumah dan sangat ramah dengan ibu. Dimulutnya, saya dikenal sebagai matmeer, gelaran yang sama kami perolehi ketika di tingkatan satu. Gelaran "zuet" (yang kekal sampai hujung hayatnya - turut digunakan sewaktu beliau di Mesir) adalah tercetus ketika kami ditingkatan satu dan direka oleh Khairul Amilin (Milin) dan Wan Hafiz (Apit).


Selepas SPM, arwah masuk ke Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Kuala Terengganu dan seterusnya menyambung pelajar ke Mesir. Saya selepas SPM menyambung pelajaran ke Universiti Malaya di Nilam Puri, Kelantan. Masih segar perbincangan saya dengan dia dan akhirnya dia sepakat dengan saya untuk meneruskan pengajian dalam bidang agama. Di Mesir dia mengikuti pengajian Usuluddin (kalau tak silap). Kali terkahir bertemu beliau adalah ketika majlis perkahwinan saya pada 12/4/2008, hampir setahun yang lalu, sebelum saya berlepas ke Amerika Syarikat untuk berkhidmat di Kedutaan Malaysia, Washington DC. Beliau hadir bersama dengan Apit dan Amilin.

Arwah seorang yang sangat baik. Seorang yang penyabar. Memang amat sesuai dengan gelaran ustaznya. Masih teringat dengan kata-kata arwah yang mahu membantu keluarganya, kerana beliau anak sulung. Arwah memang sangat senang untuk membantu, dan sangat senang untuk diajak bercakap. Kehilangan beliau amat memberi kesan kepada hati saya. Beliau sangat merendah diri dan sangat tinggi sifat setiakawannya. Cukuplah disini, tak terkata lagi...

Itulah hakikat yang ada, hidup ini bermula, mati penamatnya. Masa dia telah tiba, masa kita mungkin sedetik jua. Zuet, tak sempat aku nak tunjukkan putera baru ku. Maaf, Zuet, aku berada jauh di pelosok ini, tak dapat menziarahi mu sebagai lambaian akhir persahabatan ini. Semoga engkau tenang di sana, dengan semangat kita untuk berpijak dalam landasan agama. Semoga engkau dinaungi rahmat Allah dan bersama para anbiya' dan solehin. Semoga kita berjumpa lagi di akhirat sana. Zuet, rehatlah diperbaringan mu. Selagi mana kita membela agama ini, selagi itu Allah akan membela kita. Terimalah hadiah daripadaku, Al-Fatihah, Surah Al-Ikhlas dan Surah Yaasin. Bacaan terbaikku untuk mu. Selamat jalan sahabat.

Amir Hamzah (matmeer)
Washington DC
5/4/2009

1 comment:

noorzu@madamngoh said...

arwah nie sebaik2 manusia.sahabat baik suami aku ngan aku juga.mmg penuh budi pekerti.sebaik2 sahabat.dok pernoh wak saeng2 kecik ati.rasa mcm mimpi je ye jadi arwah doh.